Ramadhan

SOLEH RITUAL TETAPI TIDAK SOLEH SOSIALNYA?

Al-Harith al-Muhasibi berkata: 

“Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar darinya.”

Mungkin ramai Mahasiswa yang tidak sedar. Masa berlalu begitu pantas. Ya terlalu pantas sehingga manusia alpa Ramadan sudah tiba. Sewaktu penulis mengarang artikel ini, sudah 24 kali Ramadan berlalu dalam hidup penulis. 17 Ramadan 1438. Pantas sungguh masa.

PENURUNAN AL-QURAN DARI LANGIT

Setibanya 17 Ramadan setiap tahun, pastinya Muslim di Malaysia akan menyambut perayaan Nuzul al-Quran. Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi.
Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran.

Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran. Al-Quran pula bermaksud kalam Allah yang merupakan mukjizat, yang diwahyukan kepada Rasul Allah saw melalui perantaraan Malaikat Jibril as., diturunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Ikhlas, diriwayat secara mutawatir serta membacanya termasuk ibadah. 
Ringkasnya, Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah, sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.

EGOSENTRIK? PENTINGKAN DIRI?

Seperti penulis lain, setiap penulisan pasti bermula dengan persoalan akar, yang menjadikan isi artikel mula mencapah. Tanya penulis, “apa erti Ramadan tahun ini?”.

Setiap Muslim yang melalui Ramadan pasti mahu memaknakan Ramadan. Tanyalah sesiapa pun, pasti jawapan mereka sekitar mahu menjadi manusia yang paling beruntung, yang menghidupkan ibadah setiap detik dalam Ramadan.

Namun, mengapakah ibadah yang dilakukan seringkali bersifat egosentrik dan pentingkan diri sendiri? Sedarkah kita wahai Mahasiswa?

Kita mahu ke syurga tetapi seorang diri. Hairan. Bukankah sepatutnya kesolehan ritual melahirkan kesolehan sosial?

Ya. Kita sangat sibuk. Sangat sibuk berkongsi juadah apa yang dibeli di bazaar, lauk apa untuk berbuka, terawih di masjid mana, persiapan itu dan ini sehingga terlupa akan golongan miskin, tertindas, gelandangan, yang wujud dalam komuniti kita.

Kita sangat sibuk sehingga tidak sempat memikirkan hal mereka. Bukankah antara pesanan terbesar Ramadan adalah untuk mengingati golongan miskin yang bersusah payah menyara hidupnya?

Selain itu, apakah falsafah disebalik galakan bersedekah di bulan Ramadan?

Mengapa Rasul Allah saw sangat pemurah ketika Ramadan?

Tanya diri kita, mengapa berbuka dengan kurma itu sunnah?

Mengapa tidak berbuka dengan kambing mungkin?

Apa falsafah disebalik itu?

Tanya lagi, adakah saat kita berbuka, masih ada insan lain yang tidak punya makanan untuk berbuka?

Yang mungkin telah pun ‘berpuasa’ lebih awal dari kita?

Mengapa kita beli makanan sehingga membazir? 

Tanya diri, Tanya iman. Kenapa hanya fikir diri sendiri sahaja?
Tanya.

TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN

Sempena Nuzul Quran, mari kita mengambil semangat al-Quran. Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
 
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

MAKSUDNYA: “(AL-QURAN INI) SEBUAH KITAB YANG KAMI TURUNKAN KEPADAMU (DAN UMATMU WAHAI MUHAMMAD), -KITAB YANG BANYAK FAEDAH-FAEDAH DAN MANFAATNYA, UNTUK ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA BERINGAT MENGAMBIL IKTIBAR.”

Berdasarkan dalil di atas, tujuan al-Quran itu jelas. Al-Quran itu menghadirkan segala faedah dan manfaat yang sememangnya terlalu banyak untuk dikongsikan sini.

Manfaat dan faedahnya bukan hanya dirasakan manusia bahkan seluruh alam cakerawala turut mendapat manfaatnya.

Pastinya, segala isi al-Quran bukan sebagai penjenamaan mahupun menjadi hujah kerana nafsu duniawi, tetapi nilai-nilainya seperti rahmah, keadilan, menolak kezaliman, menjaga nyawa, membantu yang lemah perlu dibumikan agar matlamat, prinsip dan maqasid yang sesuai dengan kemanusiaan tercapai.

Demikian al-Quran hadir merubah nasib manusia. Hadir menghidupkan peradaban manusia. Membangunkan hidup manusia. Mendidik manusia agar berakhlak mulia dan menolak kezaliman.

Mendidik manusia agar tidak pentingkan diri serta menyeru ke arah perpaduan sejagat. Ini terbukti melalui wahyu pertama Surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang menekankan perihal pendidikan melalui pembacaan sekaligus integrasi tauhid sebagai sumber segala ilmu pengetahuan.
Inilah yang dimaksudkan “soleh ritual melahirkan kesolehan sosial”. Beribadah dalam ruang lingkup tidak syok sendiri, di samping memahami dan membantu insan lain yang mungkin menghadapi kesusahan seperti tiada makanan, tiada tempat tinggal serta lain-lain keperluan.

Secara umumnya, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

1 Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.

2 Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.

3 Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.

4 Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.

5 Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.

6 Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.

KESIMPULAN

Kita perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Bacalah al-Quran. Jangan sesekali biarkan ia menjadi tempat mengumpul habuk Al-Quran tidak turun saja-saja tanpa sebab.
Ia diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia. Bahkan antara nilai yang terpenting, Islam menganjurkan perpaduan dan kesatuan serta bertaaruf antara satu sama lain agar ikatan ukhuwah begitu ampuh sesama manusia.

Kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna :

“AL-QURAN AL-KARIM ADALAH SEBUAH PERLEMBAGAAN YANG LENGKAP MERANGKUMI SELURUH HUKUM ISLAM. AL-QURAN ADALAH SUMBER YANG MENCURAHKAN SEGALA KEBAIKAN DAN ILMU KE DALAM HATI YANG BERIMAN. AL-QURAN ADALAH SUMBER YANG TERBAIK UNTUK PARA AHLI IBADAT MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT DENGAN CARA MEMBACANYA.” 

Akhir sekali, marilah kita Mahasiswa menjadikan Nuzul al-Quran sebagai inspirasi. Inspirasi untuk terus memaknakan Ramadan. Inspirasi untuk terus membumikan nilai-nilai al-Quran.
Inspirasi untuk menjadi qudwah hasanah. Inspirasi untuk memperbaiki diri sekaligus membaiki masyarakat sosial. Inspirasi untuk bersatu hati serta bertoleransi antara satu sama lain agar kita semua mencapai kebahagiaan abadi.

Inspirasi untuk membangunkan negara memacu perubahan sekaligus menjadi negara rahmah, iaitu negara yang harmoni aman makmur serta diampuni Tuhan.
Wallahu’alam.

Penulisan oleh :-

Amir ‘Izzuddin Bin Muhammad

Isu Semasa

12 Ciri Asas Menuju Negara Rahmah

Hari ini kita melangkah ke tahun baru 2017 selepas kita lalui pelbagai pengalaman pada tahun 2016. Episod suka dan duka yang dihadapi negara dan ummah amnya hendaklah dijadikan sebagai pengajaran untuk kita melangkah ketahap yang lebih baik tahun ini.

Tahun baru kali ini disambut dengan suasana suram dengan peristiwa kejatuhan Aleppo di tangan musuh dan tahun 2016 juga kita dapat saksikan kezaliman dan penindasan yang berlaku terhadap saudara seislam kita di Rohingya.

Di negara kita pula, rakyat terus resah dan gelisah dek pelbagai krisis yang melanda.

 

klcc.jpg

Pertama adalah berkenaan urus tadbir ekonomi negara yang tidak transparen dan tidak berintegriti, hutang negara terus meningkat dan kos sara hidup menjadi semakin tinggi.

Kita juga berhadapan dengan fenomena kemiskinan yang semakin mencengkam, jurang pendapatan yang bertambah luas, kejatuhan ringgit yang mendadak dan ramai yang berhadapan risiko kehilangan pekerjaan kerana situasi ekonomi yang tidak menentu.

Kedua, isu yang besar juga dihadapi oleh rakyat Malaysia, iaitu isu politik. Pemerintah mengamalkan politik kepartian yang sempit, penyalahgunaan kuasa dan politik dan selama kita merdeka, kita dimomokkan dengan politik perkauman sehingga menafikan hak kaum-kaum lain di Malaysia.

Ketiga, isu Sosial. Pendidikan negara kita yang masih gagal dalam menuju pembangunan modal insan kelas pertama. Isu perpaduan nasional melibatkan perpaduan antara kaum dan kesatuan merentas negeri Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia. Seterusnya, keruntuhan institusi keluarga yang semakin meningkat dan keruntuhan sosial serta akhlak generasi muda yang semakin tenat.

Mengapa semua ini berlaku?

Islah menyeluruh

Di dalam Al-quran, Allah telah menyebut di dalam Surah Arrum: 41, “Telah tampak kerosakan di darat dan dilaut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia”. Dan Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran.”.

Berdasarkan keadaan negara kita yang sebegini, ia sangat memerlukan pembaikan dan pengislahan yang menyeluruh, perubahan yang mendasar mesti dilakukan oleh gabungan organisasi masyarakat madani atau NGO bersama gabungan parti-parti politik yang mampu memiliki keupayaan untuk memenangi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang serta mampu menguruskan perjalanan pentadbiran negara dengan lebih baik.

Jika sebelum ini kita fokus mengislahkan masyarakat, sekarang adalah masanya kita membaik pulih negara.

Pemimpin perlu mencontohi kepimpinan Umar Alkhattab R.a dalam urus tadbir negara.

“Orang yang paling sakit seksaan di hari kiamat adalah pemimpin yang zalim dan curang (Hr Tabrani dari Abdullah Bin Mas`ud).

Sebuah kisah yang signifikan dan perlu kita ambil iktibar ialah tentang kisah Umar Alkhattab r.a yang mana berlaku selepas peperangan dengan kerajaan Parsi.

Umar membahagikan harta rampasan perang iaitu kain kepada rakyatnya. Keesokan hari, rakyatnya masing-masing memakai baju daripada kain yang dibahagikan termasuk Umar Alkhattab r.a.

Tiba-tiba bangun seorang sahabat dan membantah, “Kami tidak mahu mendengar dan taat kepada tuan”. Lalu Umar bertanya, “Mengapa kamu berkata begitu?”. Kemudian dia membalas, “Dari mana kamu mengambil baju yang kamu pakai ini sedangkan jika ikut pembahagian semalam, kain yang kamu dapat tidak cukup untuk tubuh kamu”.

Maka Umar menyuruh anaknya Abdullah bangun untuk menjelaskan. Maka kata Abdullah “Saya beri bahagian saya kepada ayah saya”.

Inilah contoh terbaik dari seorang pemimpin. Membenarkan rakyat bertanya seperti Saidina Umar Alkhattab yang terbuka kepada muhasabah dan mempraktikkan ketelusan dan integriti dalam pemerintahan.

Nafas baru untuk Malaysia

Sempena Tahun baru 2017 ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah NGO masyarakat madani terus komited membawa dan merealisasikan idea atau gagasan yang dinamakan Gagasan Malaysia menuju negara rahmah (Gagasan MMNR).

Gagasan MMNR ini sangat signifikan dan ia merupakan ciri-ciri negara yang kita impikan bersama pada masa akan datang dan usaha untuk merealisasikannya perlu bermula daripada sekarang, bukan sahaja usaha dari pihak pemerintah, tetapi juga rakyat.

Kedua-dua pihak harus bergandingan dan bekerjasama dalam membentuk negara yang lebih sejahtera dan makmur dengan menggerakkan amal dakwah dengan pendekatan rahmatan lil alamin, memelihara hubungan baik dengan masyarakat muslim dan bukan muslim dan membangunkan tapak politik ummah yang kuat di dalam negara untuk kelangsungan demokrasi yang matang.

12 ciri asas negara rahmah, yang menjadi impian setiap jiwa rakyat Malaysia:

1-Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2- Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan Imbang yang berkesan
3- Tadbir urus yang baik
4- Undang-undang yang adil
5- Masyarakat yang berilmu berakhlak dan penyayang
6- Institusi keluarga yang utuh
7- Hubungan etnik dan penganut agama yang Harmoni
8- Ekonomi yang mampan
9- Agihan kekayaan yang saksama
10- Pembangunan yang lestari
11- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara
12- Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Memetik kata-kata Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam ucaptama beliau pada perhimpunan tahunan IKRAM 2016, “Negara rahmah mithali yang ingin kita bangunkan di Malaysia ialah sebuah negara rahmah yang menaungi penduduknya, melebarkan naungan tersebut ke bahagian lain dunia secara berperingkat-peringkat pada masa hadapan agar dunia sepenuhnya berubah kepada dunia baru yang rahmah, saling menyantuni semua penjurunya dengan santunan kemanusiaan, santunan ihsan dan santunan peradaban”.

Ayuh rakyat Malaysia, bangkit dan terus mendokong gagasan yang akan kita realisasikan bersama ke arah pembentukan negara rahmah!

Malaysiaku rahmah! Selamat tahun baru!

Isu Semasa

Kemandirian Ekonomi dan Kebebasan Minda

PRU 14 sudahpun melabuhkan tirainya, rakyat juga sudah memilih untuk berubah. PRU kali ini menyaksikan Barisan Nasional kalah buat pertama kalinya sejak PRU pertama, sehinggakan pengerusinya terpaksa bertindak meletakkan jawatan.
. . .
Pada malam sebelum pilihanraya, saya meluangkan sedikit masa untuk melepak di gerai burger milik Usahawan Budak Sekolah Selangor. Ia adalah gerai yang saya usahakan untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Gerai ini diuruskan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar sekolah di kawasan taman perumahan saya sejak 2 bulan yang lalu.

Pada malam itu, seorang pelajar yang juga merupakan key player gerai telah memohon kebenaran untuk pulang dari tempat kerja lebih awal.

Fir : “Cikgu, saya nak gerak awal malam ni”.
Saya : “Nak ke mana?”
Fir : “Nak pergi bawa bendera BN”.
Saya : “Kenapa tak bawa bendera PKR ke PAS ke?”
Fir : “BN bagi RM250. PKR tak bagi, PAS suruh niat kerana Allah. Saya nak beli barang tak boleh bayar pakai niat.”

Saya kelu. Hanya mampu menasihatkan supaya berhati – hati semasa menunggang dan berkonvoi serta mengelakkan diri daripada sebarang provokasi. Untuk makluman, Fir merupakan pelajar Tingkatan 5 yang lahir daripada keluarga bermasalah. Dia tinggal bersama datuknya, berhampiran dengan rumah ibu bapanya.
Sebenarnya, naratif sebegini agak biasa didengari dalam kalangan belia yang sebaya atau sedikit muda daripada saya. Namun, mendengar kata – kata seperti ini daripada seorang pelajar Tingkatan 5, benar-benar menakutkan saya. Jika sebelum ini saya hanya sekadar mendengar cerita, kali ini saya menjadi sebahagian daripada cerita itu. Golongan ini adalah kelompok yang bakal menjadi pengundi pada PRU 15 nanti. Andai sekarang mereka sudahpun terbiasa mengaitkan politik dengan wang, bagaimanakah pertimbangan mereka apabila mengundi kelak?

Hakikat yang Menyedihkan

Dalam Dunia Pendidikan hari ini, adalah mustahil bagi meneruskan pendidikan di peringkat lebih tinggi menggunakan duit poket sendiri. Para pelajar sememangnya tidak banyak pilihan melainkan meminjam kepada institusi kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain mengharapkan sedikit bantuan kewangan daripada yayasan negeri ataupun pihak lembaga zakat negeri masing – masing.

Maka, bertebaranlah graduan universiti ini setelah tamat pengajian, untuk mencari peluang pekerjaan yang semakin tipis dan tidak berbaloi dengan kelayakan mereka. Terjunlah mereka ke dalam bidang pekerjaan yang tidak setara serta tidak mempunyai perkaitan langsung dengan segala ilmu yang dipelajari sewaktu menuntut di universiti.

Semakin hari, mereka semakin tersepit dan terhimpit dengan tekanan ekonomi yang semakin menggila. Bahkan, diburukkan lagi dengan ketidakupayaan untuk keluar daripada daripada tekanan tersebut. Segala ilmu yang dipelajari daripada buku teks yang tebal hanyalah sekadar untuk bekerja dengan majikan dan pada majikanlah tempat bergantung harap. Dengar atau berhenti!

Dalam suasana sebegjni juga, pelbagai skim cepat kaya dan perniagaan yang menggunakan teknik head hunting mengambil kesempatan untuk menipu dan mengaut segala keuntungan tanpa belas ehsan. Bukan sedikit, bahkan ramai anak – anak muda yang terjebak sehingga terbeban dengan hutang berpuluh – puluh ribu, bahkan sehingga beratus ribu ringgit di usia yang sangat muda. Malah, sudah mencapai jumlah berbillion ringgit wang rakyat Malaysia, yang ditipu sehingga sebahagiannya diisytiharkan muflis.

Pendidikan Keusahawanan

Sepanjang lebih 4 tahun saya mengusahakan gerakan Usahawan Budak Sekolah Selangor (UBSS), saya telah menyaksikan ramai alumni UBSS yang mampu berdikari untuk mencari sumber kewangan sendiri melalui perniagaan dalam pelbagai bidang. Ada yang telah membuka syarikat sendiri seawal usia 18 tahun, ada yang telah mencapai keuntungan puluhan ribu ringgit dan ada juga yang masih lagi bertatih bagi mencari rentak dalam Dunia Perniagaan dan Keusahawanan. Sebahagian besar daripada alumni ini sedang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

Saya berasa bangga apabila beberapa orang daripada mereka berjaya menyambung pelajaran tanpa mengharapkan sebarang bantuan kewangan daripada PTPTN mahupun mana – mana institusi kewangan yang lain. Segala perbelanjaan yang berkaitan dengan pengajian dibayar melalui hasil perniagaan yang mereka usahakan dengan kudrat mereka sendiri.

Oleh: Haris Harun

Ramadhan

5 HADIAH RAMADAN

Saban tahun, saya memerhati dan mengamati erti satu bulan yang amat istimewa. Ia umpama tetamu VIP yang membawa hadiah yang mahal. Biasanya, hadiah dari VIP kita akan simpan dengan rapi dan kemas agar menjadi kenangan sepanjang masa.
Bezanya bulan Ramadan, ia adalah tetamu yang hadir dalam tempoh sebulan. Hadir membawa hadiah yang perlu kita manfaatkan. Hadiah yang menjadi pemangkin untuk menyuburkan benih iman yang ada di dalam jiwa. Jiwa yang yakin bahawa Allah itu ada. Jiwa yang tunduk patuh dan pasrah pada aturanNYA.
Apabila hadiah Ramadan dimanfaatkan sehabis baik dalam sebulan, kita akan rasa syahdu saat Ramadan melabuhkan tirai. Pasti kita mengharapkan bulan Ramadan akan bertamu lagi pada tahun hadapan.
Hadiah 1 : Puasa
Allah berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
Wahai orang-orang yang beriman..

Ini adalah ayat seruan untuk orang beriman. Apa saja arahan Allah selepas seruan ini adalah untuk meningkatkan tahap iman kita. Buat ikut aturannya baru rasa meningkat iman.

Di hujung ayat pula diungkapkan:

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Mudah-mudahan kamu mendapat taqwa

Puasa agar meningkat rasa taqwa. Taqwa ini bermaksud sedar diri hidup bertuhan. Sedar diri hamba. Ikut segala aturanNya. Berwaspada terhadap apa yang ditegah.

Hadiah 2 : Al-Quran
Bulan Ramadan adalah bulan Al-Quran.

Al-Quran mempunyai 3 fungsi yang kita dapat manfaatkan. Antaranya:

1. Petunjuk
2. Menerangkan, menjelaskan dan memperincikan petunjuk.
3. Pemisah antara yang baik atau sebaliknya

Al-Quran adalah kalam Allah. Kita perlu membacanya dan mentadabburnya sehingga kita merasai ada interaksi dalam jiwa. Bila wujud interaksi, emosi kita akan tersentuh seolah-olah kita membaca novel atau menonton filem. Bahkan lebih dahsyat lagi apabila terasa belaian Al-Quran yang menakjubkan.

Hadiah 3 : Doa
Kita berdoa semoga setiap langkah kita dipimpin olehNya.
Allah sedia mendengar.
Allah sedia memperkenankan doa.
Allah menjawab doa dengan cara yang paling baik.
Setiap langkah sentiasa dalam panduan. Selamat dan tetap fokus.

Sungguh Allah itu Dekat. Satu lagi dimensi rasa yang mahu kita tingkatkan lagi pada Ramadan tahun ini.

Hadiah 4 : Solat taraweeh
Jika dibilang pasti terasa banyak. Jika diamati pada kualiti pasti terasa nikmat. Taraweeh membawa erti rehat yang banyak.
Pasti ada aturan untuk meraih solat yang memberi impak. Ramadan peluang untuk meningkatkan kembali kualiti berhubung denganNya melalui solat taraweeh. Pada setiap solat perlu ada interaksi dengan apa yang dibaca oleh imam. Bukan sekadar aktiviti fizikal dalam solat.
Melazimi solat teraweeh satu persediaan penting untuk menanti malam yang paling istimewa. Malam yang hanya ada di bulan Ramadan. Itulah hadiah ke lima.

Hadiah 5 : Lailatul Qadar
Lailatul Qadar hanya ada di bulan Ramadan. Hadiahnya tersedia untuk kita ambil. Sungguh untung siapa yang dapat. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Hadirnya adalah rahsia. Tiada siapa dapat buat ketetapan dan umumkan seperti hebahan bermula Ramadan dan syawal.

Malam yang perlu kita usaha untuk dapatkan agar ia menjadi antara hadiah bermakna untuk Ramadan kali ini. Kerana ganjarannya luar biasa. Apatah lagi impak pada diri dan hidup.

Untuk dapatkan hadiah ini bukan cukup sekadar menunggu sahaja. Ia berbeza dari malam-malam yang lain. Caranya ialah dengan menggunakan sebaiknya 4 hadiah sebelum ini.

Inilah serba sedikit refleksi saban tahun pada indahnya Ramadan. Nikmat bertamu meneguk kasih rahmatNya di bulan yang begitu mulia. Sungguh, bulan ini memberi 1001 harapan untuk jiwa.

Moga puasa kita tidak sekadar lelah menahan lapar dan dahaga. Moga Ramadan kali ini penuh impak untuk menuju hidup bahagia dan berjaya.

Penulis : Mardhiah Samsuri

Ramadhan

10 BEKAL DAKWAH DALAM IBADAH PUASA

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”

(Albaqarah: 183)

Ibadah puasa merupakan satu ibadah yang penting dan ia menjadi bekal kepada para daie dalam meneruskan perjalanan dakwah.

Kata Sheikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Fiqh Dakwah beliau menyatakan “Muslim yang benar dalam keislamannya akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan gembira dan bahagia, sebagaimana kegembiraan kaum mukmin dengan karunia dan rahmat Allah. Ia beristirahat sejenak dari kepenatan hidup, berbekal dan memperbaharui semangatnya untuk meneruskan perjalanan dakwah. Namun tiada yang dapat menikmati kebaikan tersebut dan memperoleh bekal tersebut kecuali orang hidup bersama Ramadhan dan menunaikan puasa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW”.

10 BEK

Di sana terdapat pelbagai bekal dakwah yang dapat diperolehi melalui ibadah puasa antaranya:

1- Bekal Alquran. Pada bulan Ramadhan, kita lebih bersemangat untuk membaca, mengkaji, menghafal dan mengamalkan Alquran. Di samping itu kita dapat meneguk hikmah, hidayah, ibrah dan sebagainya untuk menghidupkan hati kita yang kering. Ini adalah sebenar-benar bekal untuk seorang dai. Alquran sebagai bekalnya dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam dakwah. Alquran menjadi tempat rujukannya untuk melalui jalan dakwah.

2- Bekal solat malam. Orang yang berpuasa melakukan solat malam selama sebulan penuh, ini adalah bekalan yang tidak terhingga, ia dapat mendidik jiwa, merasai kenikmatan berhubung secara langsung dengan Allah disepertiga malam, mengadu dan merintih kepadaNya.

3- Bekal Iktikaf. Bulan Ramadhan adalah bulan yang Rasulullah SAW melazimi iktikaf. Iktikaf memiliki pengaruh dan kesan yang amat mendalam pada jiwa. Orang yang beriktikaf menjadi tetamu Allah di rumahNya, meninggalkan seketika kesibukan dunia semata-mata untuk fokus beribadat kepada Allah, mendekatkan diri kepadaNya, berzikir, bermunajat dan menangis kerana takit pada Allah. Allah memuliakan para tetamuNya, sehingga mereka keluar dari Ramadhan dengan membawa bekal taqwa, keimanan dan petunjuk.

4- Bekal Ikhlas. Puasa membimbing pelakunya untuk sentiasa mengikhlaskan niat kepada Allah. Dan keikhlasan menjadi bekal yang signifikan oleh setiap individu yang menapaki jalan dakwah kerana amal akan menjadi sia-sia tanpa keikhlasan.

5- Bekal mujahadah. Dalam puasa kita akan menghadapi saat mujahadah terhadap keinginan nafsu kita. Mujahadah adalah bekal penting bagi seorang dai yang berjuang di jalan Allah. Orang yang berpuasa mengekang nafsu liar dalam jiwa mereka dan hal itu dapat membantunya untuk menghindari yang diharamkan pada bulan-bulan berikutnya.

6- Bekal sifat sabar. Ibadah puasa akan membangunkan sifat sabar dalam diri muslim. Kesabaran merupakan sifat yang paling penting oleh para daie kerana dengan sifat itulah mereka dapat mengatasi rintangan dan meneruskan perjalanan dalam jalan dakwah tanpa kelemahan dan kelesuan.

7- Bekal sifat santun. Puasa dapat membentuk sifat santun (tidak mudah marah) dalam diri muslim. Apabila ada yang menentangnya, mencelanya, maka dia menahan amarahnya dan mengatakan “sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Alangkah pentingnya sifat ini kepada para aktivis dakwah, pengendalian jiwa yang baik, berlapang dada dan tidak mudah marah kerana inilah menjadi penyebab keberhasilan dakwah.

8- Bekal mengasihi yang lain. Puasa akan mendidik hati untuk mengasihi orang lain terutamanya golongan fakir miskin. Kewajipan zakat fitrah di akhir Ramadhan menegaskan makna ini. Saat berpuasa kita akan merasai betapa peritnya apa yang dihadapi oleh orang miskin dan kita akan lebih mengasihi mereka dengan sedekah yang kita hulurkan kepada mereka yang memerlukan. Ini bekalan penting dalam dakwah.

9- Bekal ketahanan fizikal. Puasa, terutamanya pada musim panas menyebabkan muslim perlu bersabar dan tahan ujian di medan jihad atau peperangan dan melawan musuh. Kita kembali menyelak lembaran sejarah bahawa Perang Badar juga berlaku dalam bulan Ramadhan dan bekal puasa menyebabkan mereka kuat dan thabat dalam menentang kaum musyrikin.

10- Bekal disiplin dengan masa. Puasa membiasakan muslim untuk disiplin waktu, kerana setiap orang yang berpuasa akan memerhatikan waktu berbuka dan waktu imsak. Para dai sangat memerlukan bekalan ini untuk menjadikan mereka berdisplin dengan masa kerana kehidupan para dai penuh dengan pertemuan, mesyuarat, dan sebagainya yang memerlukan para dai untuk sentiasa menepati waktu dan menguruskan masa dengan sebaiknya. Melalui ibadah puasa, ia secara automatik membentuk peribadi muslim yang bijak menguruskan masa.
Semoga dengan bekalan yang kita perolehi daripada ibadah puasa ini, memudahan untuk kita menempuhi jalan dakwah ini.

Jalan dakwah kita masih panjang dan semoga syurga menjadi pengakhirannya.

Selamat Menyambut Ramadhan 1439H!

*artikel ini diadaptasi daripada Buku Fiqh Dakwah, Sheikh Mustafa Masyur tajuk Dalam Ibadah Puasa Terdapat Bekal Dakwah, ms 64.

Penulis: Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad

Akhlak

Adab Berbeza Pendapat di Kalangan Sahabat Radhiallahu ‘Anhum

Sedia maklum bahawa telah tercatat di dalam sejarah Islam satu peperangan yang amat memilukan, iaitu peperangan al-Jamal di antara Khalifah Ali bin Abi Talib r.a. di satu pihak dengan tentera pimpinan Zubair, Talhah dan Aisyah radhiallahu ‘anhum di pihak yang satu lagi. Tidak ada siapa yang menginginkan peperangan itu berlaku. Namun itulah kehendak serta taqdir Yang Maha Esa supaya kita dapat belajar banyak perkara.

Sewaktu pertempuran sedang memuncak, Zubair telah bertindak meninggalkan medan pertempuran. Beliau diekori oleh Amru bin Jurmuz.
Zubair berhenti di satu lembah, Amru membunuhnya semasa beliau sedang tidur. Apabila khabar kematian Zubair sampai ke pengetahuan Ali r.a. beliau berkata:
“Berikanlah khabar gembira kepada pembunuh Ibn Sofiyyah dengan balasan neraka!”

Demikian mulianya akhlak Sayyidina Ali r.a. dan betapa tulusnya kasih sayangnya terhadap saudaranya. Zubair yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah pelaksanaan qisas terhadap pembunuh Uthman bin Affan r.a. sehingga membawa kepada tercetusnya peperangan. Namun perpezaan pendapat itu tidak sedikitpun menjejaskan kasih sayangnya kepada Zubair. Ali bukan sahaja tidak gembira dengan kematian Zubair, malah sebaliknya mengutuk keras pembunuhnya.

Manakala Talhah r.a. meninggal dunia di medan pertempuran akibat terkena panah. Ali duduk di sisi jenazah Talhah sambil menyapu debu-debu di wajahnya yang kaku seraya berkata:
“Rahmat Allah ke atasmu wahai Abu Muhammad. Berat bagiku melihat engkau terbunuh di bawah sinaran bintang-bintang di langit.” Kemudian beliau berkata: “Aku mengadu kepada Allah akan kelemahanku … Demi Allah! Aku bercita-cita kalaulah aku mati sebelum hari ini 20 tahun yang lalu. Aku sungguh-sungguh berharap agar aku, Talhah, Zubair dan Uthman termasuk di dalam kalangan mereka yang disifatkan Allah di dalam firmanNya (bermaksud) “Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing (di dalam syurga).”
(Al-Hijr 15:47)

Sikap serta layanan Ali r.a. terhadap Ummul-Mukminin Aisyah r.a. pula:
Ketika beliau diberitahu bahawa di pintu rumah tempat Aisyah r.a. menumpang terdapat dua orang lelaki mencela dan mengutuk Aisyah r.a., beliau mengarahkan Qa’qa’ bin Amru agar menyebat kedua-dua lelaki itu 100 kali sebatan setiap seorang dan membuka baju kedua-duanya.
Ketika Aisyah r.a. hendak berangkat meninggalkan Basrah, Ali menyediakan segala kelengkapan dan keperluan perjalanan merangkumi kenderaan, bekalan serta barang-barang. Ali r.a. memilih 40 orang wanita yang terkenal di kalangan penduduk Basrah untuk menemani Aisyah r.a. serta mengarahkan adik Aisyah, Muhammad bin Abu Bakar r.a. (yang memihak kepada Ali dan bersama di dalam pasukannya) berangkat bersama dengan Aisyah r.a.
Ali r.a. sendiri mengucapkan selamat jalan dan berjalan mengiringi rombongan itu berbatu-batu jauhnya.

Aisyah r.a. apabila ditanya tentang kedudukan mereka yang terbunuh di dalam peperangan al-Jamal, sama ada mereka yang berada di pihaknya atau di pihak Ali, beliau berkata: “Semoga Allah mencurahkan rahmat ke atasnya” pada setiap orang yang disebut namanya di hadapannya.

Ustazah Maznah Daud

Terjemahan

Iman Yang Kuat Melahirkan Pemuda Yang Hebat

الإيمــان القــــوي يصنـــع الرجــال

(Khutbah ini disampaikan oleh Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qurra Daghi di dalam khutbah jumaat di masjid Saidatina ‘Aisyah r.a, di Fareej Kulaib, Qatar)

faith

قال فضيلة الشيخ الدكتور علي محيي الدين القره داغي، الأمين العام للاتحاد العالمي لعلماء المسلمين، إن الله تعالى أراد لهذه الأمة أن تكون أمة قوية، قادرة على تحقيق الخير والحضارة وأن تكون أمة فاعلة لا مفعولاً بها، كما هو اليوم فالجميع منشغل بنفسه، ومنشغل بهذا الجدل الفلسفي العقيم حول الإنسان إذا كان مخيراً أم مسيرا، لأننا لو عدنا إلى قرآننا الكريم وقرأناه قراءة صحيحة وفهمناه لما انشغلنا، ولوجدنا كل خير في هذا القرآن ولوجدنا تبياناً لكل شيء.
Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qurra Daghi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia berkata, sesungguhnya Allah mahukan ummah ini menjadi ummah yang kuat, yang mampu melakukan kebaikan serta membina tamadun. Ummah ini juga perlu menjadi aktif dan bukannya pasif. Pada hari ini, semua manusia sangat sibuk dengan kehidupan masing-masing. Sibuk dengan perbalahan falsafah yang sia-sia. Jika kita kembali kepada Al-Quran , membacanya serta cuba untuk memahaminya kita, kita tidak akan disibukkan oleh perkara-perkara tadi dan akan mendapati Al-Quran mempunyai segala kebaikan serta penjelasan tentang setiap sesuatu perkara.

وواصل فضيلته في خطبة الجمعة، بجامع السيدة عائشة، رضي الله عنها، بفريج كليب أمس، قائلاً: مازلنا نتحدث عن سنن الله سبحانه وتعالى، والتي يترتب على فهمها وفقهها الوقوف على كثير من القضايا والمشاكل التي ربما تستشكل على كثير من الناس لتوضيحها وفهمها فهماً دقيقاً، واليوم سنتحدث عن سنن الله سبحانه وتعالى وعلاقتها بقدر الله جلّ في علاه، فالكل يعلم أن الإيمان بالقضاء والقدر ركن أساسي من أركان هذا الدين الحنيف، حيث لما جاء جبريل عليه السلام إلى نبينا وحبيبنا وسيدنا محمد صلى الله عليه وسلم وسأله عن عدة أشياء منها سؤاله عن الإيمان، فقال: «أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله وباليوم الآخر وبالقدر خيره وشره من الله تعالى».
Syeikh menyambung lagi, beliau berkata, “Kita masih lagi berbicara tentang sunnatullah. Kefahaman kita mengenai mengenai hal sunnatullah ini menjadikan kita mengambil langkah berhati-hati untuk tidak membicarakannya di dalam sesetengah hal dan isu. Ini kerana apabila kita mengambil langkah untuk menjelaskan secara terperinci kepada masyarakat, takut-takut penjelasan itu akan menimbulkan masalah kepada mereka, dan pada hari ini kita akan membincangkan mengenai sunatullah s.w.t dan kaitannya dengan qadar Allah. Sebagaimana yang semua sedia maklum, beriman kepada qada’ dan qadar merupakan salah satu rukun asas daripada rukun-rukun yang lain di dalam agama yang lurus ini, maka tatkala Jibril a.s. mendatangi nabi yang kita cintai, sayyidina Muhammad s.a.w. dan menanyakan tentang beberapa perkara dan antaranya ialah mengenai iman maka baginda pun menjawab :” Hendaklah kamu beriman kepada Allah dan malaikatNya dan kitab-kitabNya dan para utusanNya dan juga beriman kepada takdir Allah sama ada yang baik atau sebaliknya”.

التوحيد الخالص
Pentauhidan kepada Allah Semata

وأضاف: إذاً فالإيمان بالقدر يقتضي التوحيد الخالص لله سبحانه وتعالى بإرجاع الخلق والأمر إليه سبحانه وتعالى، وأنه هو الخالق والرازق والعالم المحيط بعمله بكل شيء وأنه كل شيء يحدث في هذا الكون بقدر الله وبعلمه سبحانه وتعالى.
Beliau menambah lagi, “Maka, beriman dengan qadar memerlukan kita untuk mentauhidkan Allah semata, kita perlu mengembalikan segala urusan kepada Allah Taala kerana sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Menciptakan, Maha Memberi Rezeki, dan Maha Mengetahui segala sesuatu. Segala apa yang berlaku di bumi ini hanya akan berlaku dengan ketetapan Allah SWT dan berada dalam pengetahuanNya.

 

الإيمان والرجال
Keimanan dan Pemuda
ورأى ان هذا الإيمان القوي يصنع الرجال، الذين يكونون أقوى من الجبال الشوامخ، فالإيمان الصحيح يجعل المؤمن كالطود العظيم الذي لا تهزه الريح والبلاء والمصائب والابتلاءات، مهما كانت قوة هذه الرياح إن هذا الإيمان القوي يجعل المؤمن مطمئناً قوياً منشرح الصدر مهما
تعرض للمصائب والبلايا.
Keimanan yang kuat ini akan melahirkan pemuda yang lebih kuat daripada gunung ganang yang tinggi. Keimanan yang benar akan menjadikan mukmin seperti gunung yang tidak tergugat dengan angin, bala bencana atau segala musibah yang mendatang. Walau sekuat mana pun angin yang datang, kekuatan iman tetap menjadikan orang mukmin ini tenang. Dirinya kuat serta dadanya lapang walau apa pun musibah yang melanda ke atas dirinya
———–

أمره كله خير

قائلاً: عجباً لأمر المؤمن إن أمره كله خير، إن أصابته سراء فشكر فكان خيراً له وإن أصابته ضراء فصبر فكان خيراً، هذا هو المقصود بهذا الإيمان وهو الهدف والغاية، وليس المقصود منه أن يركن الإنسان إلى الكسل بل عليه أن يعتقد بأن هذا الإيمان يجعله مطمئناً، ثم ينطلق إلى الأخذ بالأسباب، حيث أمرنا الله سبحانه وتعالى.

Kesemua urusannya adalah baik
Begitu menakjubkan urusan seorang mukmin itu, kesemua urusannya adalah baik. Bilamana dia dalam keadaan senang, dia bersyukur. Maka, ganjaran kebaikan untuknya. Bilamana dia dalam keadaan susah, dia bersabar. Maka, baginya ganjaran kebaikan.
Inilah yang dimaksudkan dengan “iman”. Iman adalah objektif dan tujuan. Keimanan tidak membuatkan sesorang itu malas bahkan imanlah yang menjadikannya tenang lalu bergerak mengambil asbab atau faktor (dalam sesebuah perkara) sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t.

الإيمان والعمل

وربط فضيلته بين الإيمان والعمل بقوله: إلى جانب هذا الإيمان القوي وفي كثير من الآيات والأحاديث أمرنا بالعمل والأخذ بالأسباب والتجهيز لكل شيء كما فعل عليه الصلاة والسلام حينما هاجر من مكة إلى المدينة، وهو أكمل الناس إيماناً وأقواهم وأشدهم أقربهم علاقة مع ربه، قد أخذ بكامل أسباب السفر والهجرة من هروب وتغيير للطريق والراحلة وتقصي الأخبار وما إلى ذلك، وقد قال الله تعالى: (وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ )، وأيضاً تجهيزه للحروب ووضع الخطط والاستشارة وما إلى من الأسباب، لكي يعلمنا إلى جانب الإيمان يجب الأخذ بالأسباب.

Iman dan ‘Amal

Sheikh kemudiannya mengaitkan antara iman dan amal.
Kata beliau: “Sebagaimana halnya iman yang kuat ini, terdapat banyak firman Allah dan hadis-hadis yang menyuruh kita beramal dan mengambil asbab (faktor) serta persediaan terhadap semua perkara, sepertimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika mana Baginda s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Walaupun baginda merupakan manusia yang paling sempurna imannya, yang paling kuat, erat dan yang paling dekat hubungannya dengan Tuhan, baginda, tetap mengambil kesemua asbab bermusafir dan hijrah. Bermula dengan menyelamatkan diri, pertukaran jalan dan haiwan tunggangan sehinggalah kepada menyelidik khabar berita dan lain-lain. Sedangkan Allah s.w.t telah berfirman; ﴿ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ ﴾ “Allah akan melindungi kamu daripada manusia”.
Begitu juga dengan persiapan nabi semasa perang, perancangan serta meminta pandangan dan sebagainya. Semua itu untuk mengajar kita bahawa iman harus seiring dengan pengambilan asbab sesuatu perkara.

بعض الناس

وأشار إلى أن هناك إشكالية يأتي بها بعض الناس، إذا الله كان خالقا كل شيء وهو المرجع لكل شيء، وإذا كان قدر الله قد كُتب فما الذي نستفيد منه؟ وما الذي نستطيع أن نفعل وأن نقابل إرادة الله تعالى؟ هذه الشبهة هي شبهة المشركين الذين قالوا للرسول، صلى الله عليه وسلم، وقد سجلها القرآن الكريم في قوله تعالى: (سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكْنَا وَلَا آبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَيْءٍ)، فكان ردّ الله سبحانه وتعالى: (قُلْ فَلِلَّهِ الْحُجَّةُ الْبَالِغَةُ ۖ فَلَوْ شَاءَ لَهَدَاكُمْ أَجْمَعِينَ)، إن الله ليس عاجزاً، بل هو قادر على ذلك، ولكن ليقيم عليكم الحجة، وما يقيم هذه الحجة إلا حينما يقدم الإنسان على شيء بعمله وتصرفاته وإرادته ومشيئته.
Segelintir Manusia
Beliau menegaskan bahawa terdapat segelintir manusia yang menimbulkan persoalan;
jika Allah adalah pencipta segala-galanya dan kepadaNyalah kembali tiap sesuatu, dan jika Allah telah menentukan takdir sepertimana yang telah tertulis, maka apakah yang manfaat yang kita peroleh? Apa yang kita mampu lakukan sedangkan kita tidak mampu menentang kehendak Allah?
Tanggapan ini adalah tanggapan orang-orang musyrik yang berkata kepada Nabi saw, sepertimana yang telah tertulis dalam Al-Quran; (سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكْنَا وَلَا آبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَيْءٍ) maksudnya: “Orang-orang yang mempersekutukan Tuhan akan mengatakan, “Jika Allah menghendaki niscaya kami tidak mempersekutukan-Nya dan juga bapak-bapak kami dan tidak pula kami mengharamkan sesuatu apa pun”. Maka, Allah menolak tanggapan tersebut melalui firman-Nya; (قُلْ فَلِلَّهِ الْحُجَّةُ الْبَالِغَةُ ۖ فَلَوْ شَاءَ لَهَدَاكُمْ أَجْمَعِينَ) “katakanlah (wahai Muhammad: kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah mempunyai bukti yang tegas nyata, oleh itu jika Dia menghendaki tentulah Dia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya”. Allah s.w.t sama sekali tidak lemah, bahkan Dia berkuasa melakukan sedemikian (memberi hidayah kepada semua makhluk), tetapi Dia tidak melakukan sedemikian sebagai hujah ke atas kamu. Maka tidaklah didatangkan hujah ini melainkan ketika diberikan kepada manusia sesuatu disebabkan perbuatannya, tindakannya, kemampuannya dan keinginannya.

 

——–
يحاسبنا بعدله

وأضاف: أما لو فرض الله سبحانه وتعالى على الناس وأجبرهم وأكرههم على شيء، لما كان هناك من مسؤولية عليهم، ولكن عدل الله يقتضي ذلك، لأنه عندما يحاسبنا فإنه يحاسبنا بعدله لا بعلمه، فهو يحاسبنا حسب الشهود والبينات والشهادات من الإنسان نفسه، لأن الله تعالى يعلم ما يفعله الإنسان ولكنه عندما يسأل الشخص عما فعله، فإذا قال: لا، فتشهد عليه ألسنته وتشهد عليه أيديه وتشهد عليه جميع جوارحه كل حسب المسألة المتعلقة به، بالإضافة إلى هذا السجل (وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ ۖ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا -اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا) إذاً القضية ليست قضية إكراه أو أجبار إنما القضية هي هل الإنسان مسير أم مخير كما هو منشور بين الناس.

Allah Memberi Perhitungan Dengan KeadilanNya.

Beliau menambah lagi : sekiranya Allah s.w.t mewajibkan atau menyuruh manusia melakukan sesuatu secara terpaksa, tentulah tidak ada tanggungjawab yang dipersoalkan ke atas mereka. Namun keadilan Allah menentukan perkara itu, iaitu ketika Allah memberi perhitungan, Allah melakukan perhitungan dengan keadilan bukan ilmuNya, dan Allah menghitung kita berdasarkan jawapan daripada saksi saksi, keterangan dan penjelasan yang terdiri daripada manusia itu sendiri, ini kerana Allah mengetahui apa yang dilakukan oleh setiap manusia, akan tetapi apabila disoal kepada manusia itu, dia menjawab ‘tidak’, maka yang memberi kesaksian pada saat itu adalah lidahnya sendiri, dan tangannya dan setiap anggotanya akan menjadi saksi terhadap apa yang telah dilakukan mengikut persoalan yang ditanyakan, sepertimana yang dicatatkan di dalam al-Quran
“Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya rantai) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka”. (17:13) “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.(17:14) maka disini isunya bukanlah pada paksaan namun ia berbalik kepada manusia itu sendiri adakah dia dipaksa atau berhak memilih sepertimana yang tersebar di kalangan manusia jagat.

 

إيماننا بالله
Keimanan kita kepada Allah
فهذا الكلام غير معقول وغير وارد بالنسبة للقرآن الكريم لمن يفهم حقيقته، ويقتضي إيماننا بالله تعالى أن نسند الأمر كله له لتطمئن قلوبنا، وأن نأخذ بالأسباب، فالله جل في علاه خلق إلى جانب الإيمان السنن، وجعل لكل شيء سبباً وهو منه وإليه، كما قال رب العالمين: (كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ)، فالله تعالى قد كتب على نفسه مجموعة من السنن وجعلها قاضية بأمره والأمر كله من قبل ومن بعد راجع إليه.
maka kata-kata tadi sudah semestinya tidak masuk akal dan tidak seiring dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran al kareem bagi mereka yang benar benar memahami hakikatnya. Tetapi keimanan kita kepada Allahlah yang membuatkan kita menjadikan Allah sebagai sandaran atas setiap perkara agar hati kita menjadi tenang, setelah itu kita perlu berusaha bagi mencapai matlamat/hajat@mengambil asbab yang akan menyampaikan kita kepada matlamat/hajat. Allah taala menciptakan iman dan aturan dan menjadikan setiap sesuatu itu ada sebabnya dan ianya semua daripada Allah dan akan kembali kepadaNya, sepertimana firman Tuhan sekalian alam (كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ) maksudnya: “Dia telah menetapkan (sifat) kasih sayang pada diriNya”. Allah s.w.t telah menetapkan ke atas dirinya perkara perkara mengikut ketentuanNya dan segala ketentuan itu adalah daripadaNya dan akan kembali kepadaNya.

وأكد على أمر مهم في سنن الله: سنن الله تعالى تقتضي بأن يكون الإنسان مخيراً في دائرته وأن تكون قضايا الإيمان بالله في دائرة العقيدة، وليس هناك تعارض بين الدائرتين، فدائرة إرادة الله محيطة بالإنسان، وأن الإنسان إذا أراد شيئاً وأخذ بأسبابها فإن الله سبحانه وتعالى يحقق له ما أراد.
dan pastinya perkara yang paling penting dalam ketentuan Allah ialah: Allah telah menetapkan bahawa manusia bebas memilih apa jua dalam kehidupannya. Salah satunya ialah beriman kepada Allah, iaitu dari sudut aqidah/pegangan dan di situ tiada yang bertentangan antara keduanya. Kehendak Allah meliputi manusia, jika manusia menginginkan sesuatu maka dia perlu mengambil sebab-sebab (dengan berusaha)maka dengan cara itu barulah Allah akan memberi apa yang diinginkan.

مقتل الإنسان

Kematian Manusia

عندما يطلق طلق ناري على مكان مقتل الإنسان فالموت بيد الله واقتضت سنته أن تكون تلك الرصاصة سبباً لموته، فالموت واحد والأسباب متعددة، والإنسان مهما كانت قوة إيمانه قد يكون الجوع سبباً لموته أيضاً، فهذه الأسباب وغيرها تؤدي إلى النتيجة بقدر الله تعالى، وإن هؤلاء الذين لا يفهمون يقولون: إن الإنسان مخير وله كامل الخيار، هذا الكلام غير صحيح، أو يقولون إن الإنسان مسير وليس له إرادة وهذا أيضاً غير صحيح، لأنهم لم يفقهوا كتاب الله حيث إن القرآن الكريم كتاب متكامل مجموع يضم بعضه إلى بعض ولا يضرب بعضه ببعض.
Ketika seseorang melepaskan tembakan daripada senjata api dan tepat mengenai sasaran, maka kematian itu adalah dibawah kekuasaan Allah dan telah ditetapkan bahawa peluru itu menjadi sebab kematiannya. Kematian itu satu namun atas sebab yang pelbagai, dan manusia bagaimana tinggi pun keimanannya, boleh jadi sebab kematiannya adalah kerana kelaparan.Maka sebab ini dan selainnya akan terjadi sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah. Golongan yang tidak memahami hakikat ini akan berkata : manusia berhak memilih dan dia sebaik2 pemilih, pernyataan ini adalah tidak benar,atau mereka akan berkata manusia ini dipaksa dan mereka tidak mempunyai kebebasan untuk memilih pernyataan ini juga tidak benar, mereka membuat pernyataan yang sedemikian kerana mereka tidak mendalami kitab Allah. Al-Quran adalah kitab yang lengkap, terhimpun di dalamnya segala sesuatu dan tiada percanggahan di dalamnya.

Hanis Halim
Aisyah Jamal
Aisyah Sakinah