Mahasiswa

Negara Rahmah : Kita Harus Bagaimana?

“Kaum nasionalis hanya berfikir untuk membebaskan negerinya. Bila kemudian mereka membangun negerinya, mereka hanya memerhatikan aspek­-aspek fisik seperti yang kini terjadi di daratan Eropah. Sebaliknya, kami percaya bahawa di setiap leher Muslim tergantung amanah besar untuk mengorbankan seluruh jiwa dan raga serta hartanya demi membimbing manusia menuju cahaya Islam…”

Petikan kata­-kata Imam Hassan Al-Banna dalam bukunya Himpunan Risalah (Maj’muatul Rasail) yang berkisar tentang semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme itu sebenarnya perlu dalam sebuah perjuangan. Perubahan itu bukan semata dalam aspek fisik bahkan juga dalam aspek spritiual dan pemikiran demi kesejahteraan manusia.

Hari ini, Malaysia bakal melalui satu anjakan dan perubahan menuju sebuah negara rahmah yang diimpikan. Aspirasi yang dibawa melalui gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah barangkali merupakan satu titik permulaan ke arah masa depan yang lebih baik. Fenomena kebangkitan rakyat di negara-­negara Timur tengah –Syria, Palestin, Tunisia dan Mesir, menyaksikan semangat masyarakatnya yang ingin berubah kepada keadaan yang lebih baik telah meransang generasi muda untuk lebih progresif dan bersifat analitikal.

Penelitian dan pemahaman terhadap konsep rahmah yang cuba dibawakan perlu dilakukan dengan sebaiknya untuk mengelakkan berlaku salah faham seterusnya mencetuskan ketegangan antara banyak pihak. Frasa Rahmah jika diteliti secara literasinya membawa maksud belas kasihan, keberkatan, kebahagiaan dan kelebihan serta berhikmah. Dalam erti kata lain, nilai yang cuba diterapkan dalam konsep ‘negara rahmah’ ini ialah tafahum (saling memahami) dan tasamuh (toleransi dan kesefahaman) dalam segenap ruang masyarakat sejajar dengan sifat tabii (fitrah) agama islam dan risalah yang dibawa berdasarkan firman Allah SWT:

 “Dan kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam” (Surah al-­anbiya:107)

Malahan konsep ini juga sangat bertepatan dengan Maqasid Syariah yang terkandung dalam sistem syariah islam yang menjadi kemaslahatan umat dan menolak kefasadan. Apa yang menarik, dasar ini mengambil kira ketiga-­tiga elemen penting pembinaan sebuah negara iaitu dalam kerangka politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Bahkan juga, ia bukanlah semata-­mata dapat dirasai oleh Muslim bahkan kesejahteraan yang ingin dibawa juga bakal dirasai oleh mereka yang berlainan bangsa dan agama. Dasar dan intipati yang ingin diimplementasikan bukanlah sebuah retorik dan bersifat ‘angan­-angan mat jenin’ kerana bagi penulis inilah satu dasar yang sesuai dan relevan dalam konteks masyarakat majmuk dalam usaha mengarus­perdanakan syariat islam.

Tambahan pula, sebuah gagasan yang berorientasikan muafakat dan kesefahaman ini pastinya mampu menarik sokongan ramai di saat negara sedang bergolak dengan pelbagai konspirasi dan masalah perselisihan faham. Di samping itu, usaha ini dilihat mampu menyemai benih kasih sayang dan suasana mawaddah antara ahli masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia sesuai dengan firmanNya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal­kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia­mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya). “(Surah al-Hujurat : 13)

Cabaran

Analisis kondisi negara Malaysia menunjukkan berlaku terlalu banyak masalah dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial dalam masyarakat kita. Medan politik negara makin dicemari dengan masalah ketirisan, korupsi dan penipuan yang terus berleluasa di sana sini. Pemerintah dilihat gagal mengatasi angka korupsi yang kian meningkat saban tahun walhal pembangunan fisik negara terus-­terusan berjalan. Perpecahan kian merebak dan sentimen perkauman terus menjadi mainan politik. Rakyat jelata berterusan dihantui dengan kadar kemiskinan yang tinggi dan keperitan hidup lantaran peningkatan kos sara hidup serta pelaksanaan cukai yang semakin tinggi. Fenomena keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan rakyat kita dilihat semakin menjadi­-jadi barangkali natijah daripada sistem pendidikan yang kurang berkesan sedangkan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan telah dilakukan, namun hasilnya masih tidak menunjukkan kesan positif.

Realitinya, kita perlukan sebuah perubahan ke arah negara yang baru. Mengguna pakai model negara­-negara membangun sedia ada dan sejarah lampau adalah kunci penyelesaian terhadap semua masalah ini. Pengislahan sedikit demi sedikit dalam setiap aspek pembangunan negara adalah sangat perlu bagi membangunkan sebuah masyarakat madani sekaligus membina sebuah negara rahmah yang dicita-­citakan.

Titik Perubahan

Perlu difahami suatu gerakan perubahan bukanlah bersifat segera tetapi ia merupakan satu proses jangka masa panjang yang memerlukan usaha dan kerjasama yang tinggi. Status quo negara Malaysia kini perlulah diambil kira dalam menilai aspek mana yang perlu diubah dan diperkukuhkan. Justeru, melihat senario masyarakat kini yang telah dibahaskan semasa pembentangan ucapan dasar, saya meyakini bahawa untuk mencapai ciri-­ciri negara rahmah yang telah digariskan sangat memerlukan sokongan dan kerjasama padu dari semua pihak.

Seruan untuk membentuk sebuah negara “baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur”­ negeri yang baik dan mendapat keampunan tuhan, (Surah ­Saba`: 15) dan menjadikan konsep rahmatan lil’alamin sebagai tunjangnya perlu disahut oleh semua lapisan masyarakat. Dengan menjadikan sejarah negeri Saba’ sebagai contoh sebuah negara makmur justeru adalah satu paradigma yang jauh kehadapan. Namun, apakah titik perubahan yang ingin dilakukan dalam dasar gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah”?.

Penulis melihat perubahan yang cuba dilakukan tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadikan prinsip­-prinsip Syariah Islamiyah itu dapat dilaksanakan dalam semua cabang kehidupan. Antaranya mewujudkan sistem pemerintahan yang adil dan berlandaskan syariah, sistem kehakiman yang telus dan saksama, bahkan juga mempersiapkan sebuah negara yang menampilkan para ulama sebagai rujukan utama para umara’. Menurut Saari Sungib (2011) di dalam bukunya “Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia”, fasa­-fasa perubahan dan pengukuhan ini dilakukan dalam kerangka memelihara kesejahteraan manusia sejajar dengan prinsip hak asasi manusia yang terkandung dalam Shahifatul Madinah pada zaman Rasulullah SAW dan Maqasid Syariah itu sendiri.

Antaranya, memastikan pemerintah yang dipilih benar­-benar adil dalam melaksanakan tuntutan syariah dan meletakkan ketaatan sepenuhnya kepada pemerintah disamping menjamin hak sama rata antara manusia dapat dipertahankan. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya telah musnah umat sebelum daripada kamu kerana apabila orang yang mulia di kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya dan apabila orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan ke atasnya hudud (hukuman). Demi Allah sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya” (Bukhari dan Muslim) .

Di satu sudut yang lain, perubahan berlandaskan syariat dalam sistem pendidikan perlu segera dilakukan. Sistem pendidikan sedia ada hari ini didapati gagal menjamin penghasilan modal insan yang diimpikan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan Negara. Penekanan dalam aspek pembinaan intelek dan akhlak perlu selari memandangkan pada peringkat pelajar akan mula dibentuk dengan acuan tertentu. Oleh itu, sesebuah institusi pendidikan perlu dilengkapkan dengan sebuah proses yang syumul, yang merangkumi proses tarbiyah (mendidik), ta’dib (membentuk akhlak) dan ta’lim (memberi pengajaran).

Mahasiswa: Pemuda Dan Ejen Pengubah

“Kalau engkau ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada pemuda­pemudinya” ­(Saidina Ali).

Suatu masa dahulu, pengasas fahaman Marxism, Marx secara terang-­terangan mengemukakan pandanganya terhadap cara (uslub) yang seharusnya diambil oleh gerakan­gerakan Komunis dalam melakukan perubahan sosial dan mengubah Kapitalisme. Katanya, “Tidak ada jalan bagi menggantikan Kapitalisme dengan Sosialisme kecuali dengan revolusi”. Menurut Fathi Yakan, pemuda dalam konteks revolusi adalah medan yang sangat subur untuk digunakan dalam proses ke arah itu.

Walau bagaimanapun, ia tidaklah menafikan pentingnya peranan orang-­orang dewasa dan orang­-orang tua dalam turut sama menyumbang ke arah sebuah perubahan. Sesuai dengan kata­-kata yang telah diungkapkan oleh Saidina Ali, pemuda merupakan ladang-­ladang tanaman yang perlu dibaja dengan sebaiknya supaya hasil yang terbaik dapat dinikmati oleh manusia. Begitu juga dengan pemuda, perlu dipersiapkan jasmani dan spiritual untuk sama­-sama membina sebuah tamadun yang berjaya. Penulis tertarik dengan petikan Imam As-syahid Hassan Al-Banna dalam “Risalah Wahai Pemuda”, yang menjelaskan “karakter iman, ikhlas, semangat dan amal yang melekat pada pemuda sebenarnya rahsia kepada sebuah pemikiran yang berjaya diwujudkan”.

Jika dilihat kembali dalam ciri­-ciri negara rahmah di fasa transisi yang telah diceritakan, secara zahirnya kita hanya melihat perubahan di fasa itu perlu dilakukan oleh mereka yang dewasa dan dimanakah peranan seorang mahasiswa? Mahasiswa hari ini perlu mengorak langkah menjadi tiang pendukung kepada golongan pelopor. Betapa beruntungnya mahasiswa hari ini apabila mereka sudah tidak perlu berjuang bermati­-matian menuntut hak kebebasan beragama mahupun mengembalikan hak yang dirampas seperti yang telah dilalui oleh mereka pada zaman dahulu. Malah, hari ini, pemuda merasa bahagia dengan kesejahteraan yang dikecapi. Namun, sedar atau tidak ia justeru menyebabkan kita leka dan cenderung untuk bermain­-main kerana merasa aman dan tenang dalam kondisi yang sedia ada.

Dalam keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang pelbagai, seharusnya kita mengambil peluang untuk lebih proaktif dan agresif menyebarkan batas­-batas islam secara jelas dan sempurna. Peluang hidup bercampur antara bangsa perlu dimanfaatkan dengan memelihara imej Islam supaya tidak menjadi fitnah kepada agama. Bahkan atas dasar kepelbagaian inilah, kita belajar untuk lebih bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain. Jika para masyayikh (orang tua) berhempas pulas berfikir untuk melakukan perubahan diperingkat yang tinggi, apa salahnya kita sebagai mahasiswa muslim memainkan peranannya di akar umbi untuk sebuah perubahan. Medan ilmu yang dibentangkan seharusnya mampu mempersiapkan diri kita menjadi pengganti para pemimpin sedia ada untuk memacu sebuah negara yang sejahtera.

Namun dari satu sudut, kita perlu sedar bahawa membina mahasiswa yang berdaya saing dan benar­-benar memahami Islam itu tidak cukup sekadar itu. Mahasiswa yang kompeten perlu sama­-sama turun padang menyampaikan risalah­-risalah dakwah kerana pada hakikatnya matlamat utama persiapan pemuda ini bukanlah sekadar memelihara dirinya daripada kecundang oleh hawa nafsu. Menurut Fathi Yakan dalam bukunya “Generasi Pemuda dan Perubahan” sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-­pemuda islam hari ini adalah untuk melaksanakan matlamat tercapainya ‘Qawamah’ (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia.

Hal ini memerlukan tugas pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliyyah ke tangan Islam dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliyyah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam. Ia selari dengan ciri yang digariskan dalam fasa pengukuhan dasar “Negara Rahmah” iaitu sebuah negara yang memastikan risalah dan dakwah Islam ditegakkan dan menjadikannya ciri utama kelangsungan pentadbirannya. Bergaullah dengan masyarakat sekeliling kerana dengan banyaknya bergaul, kita akan lebih maju kehadapan. Bahkan Islam sendiri menganjur kita untuk saling kenal­ mengenal antara satu sama lain. Seorang ahli falsafah terkemuka, Aristotle ada menyebut “orang yang menyisihkan diri daripada pergaulan tidak akan mencapai kemajuan. Pergaulan itu mencerdaskan dan menajamkan ingatan”.

Buat Mahasiswa Timur Tengah

Jika diintai kembali keseluruhan dasar gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah”, tidak dapat tidak, golongan pemikir dan intelektual terutama bakal ilmuwan Islam sangat diperlukan pada masa akan datang. Masyarakat pastinya ternanti­-nanti siapakah yang bakal menggantikan ulama’ yang sedia ada hari ini.

Apabila berbicara mengenai kelahiran ulama’, pastinya graduan timur tengah akan menjadi fokus utama perkara ini kerana sewajarnya mereka inilah yang menjadi seorang tokoh ilmuwan yang menguasai bidangnya dengan mendalam. Namun begitu, tidak dapat dinafikan keadaan mahasiswa di sini yang tidak terdedah dengan realiti kehidupan masyarakat di Malaysia terkadang menyebabkan mereka leka dan tidak tahu menyesuaikan diri. Bahkan adakalanya, kelompok­-kelompok mahasiswa timur tengah tidak bersedia untuk mendepani mehnah dan tribulasi di tanah air sehingga ada yang hanyut dibawa arus gelombang modenisasi.

Mahasiswa ini juga kurang berpeluang untuk sama­-sama menyumbang masa dan tenaga turun padang bergaul dengan masyarakat Malaysia dalam usaha menyebarkan risalah dakwah. Tetapi menyedari hakikat ini, penulis sendiri berpendapat relung dakwah itu luas dan sebenarnya keadaan ini bukanlah satu kelompongan yang besar. Jika dilihat dari aspek lain, graduan timur tengah sebenarnya lebih berpeluang untuk menyumbang sumbangan yang lebih besar kepada ummat apabila pulang ke tanahair dengan penguasaan ilmu Islam yang ada.

Kepulangan mahasiswa timur tengah sebenarnya sangat dinanti-­nantikan kerana merekalah yang bakal menjadi ejen perubahan kelak. Tidak kira mahasiswa jurusan perubatan mahupun pengajian Islam, seharusnya mereka mengambil peluang yang ada untuk menggarap segala ilmu dan pengalaman dari bumi ini kerana sememangnya suatu masa dahulu perubahan dan peradaban manusia bermula dari Tanah Arab. Jika mereka yang berkelulusan Pengajian Islam diasuh untuk menjadi ulama’, bagi jurusan selainnya tanamlah tekad untuk menjadi golongan teknokrat yang benar-­benar merasai roh Islam yang sebenar.

Persiapkanlah diri dengan kefahaman­ Islam yang jelas dan terus membumikannya di dalam diri supaya ia menjadi bekal untuk dibawa pulang. Mulakan langkah membina sebuah negara rahmah di sini dengan saling bertukar­ pendapat, cakna dan terus bersungguh­-sungguh dalam memperdalam ilmu. Teruslah berdampingan dengan ulama’ kerana para ulama’ itu adalah pewaris para nabi.

Sikap Kita

Nilai dan usaha murni untuk mengaplikasikan syariat Islam dan pada masa yang sama memelihara keharmoniaan umum perlu untuk kita hargai. Bahkan inilah yang pernah dilakukan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW di saat baginda ingin membangunkan negara islam pertama, Madinah. Mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar seterusnya melakukan baiah antara penduduk Islam dan bukan Islam melalui Shahifatul Madinah. Sejarah ini turut mengajar kita cara bermuamalah dan berdakwah dengan mereka yang baru mengenali Islam. Syeikh Ramadhan Al-Buti dalam bukunya Fiqh Seerah turut menjelaskan bahawa sikap toleransi, lemah lembut dan sabar sangat dituntut di fasa ini. Islam sendiri menuntut umatnya untuk berhikmah dalam menyampaikan risalah Agung selaras dengan Firman Allah Taala :

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik…”(Surah annahl: 125)

Justeru bersiap siagalah! Jalan ini masih panjang. Untuk menegakkan syariah Islam di muka bumi memerlukan kesungguhan dan Himmah ‘Aaliyah dalam diri semua manusia. Bercita­citalah untuk melihat Islam kembali memayungi empayar dunia seperti mana suatu masa dahulu. Berusahalah untuk menjadi salah satu dari batu bata kepada binaan sebuah peradaban Islam dan sedarlah agama ini tidak memerlukan kita bahkan kita yang memerlukannya sesuai dengan firmanNya:

“Ingatlah, kamu adalah orang-­orang yang diajak mengifakkan (hartamu) di jalan Allah. Lalu di antara kamu ada orang yang kikir dan barangsiapa kikir maka sesungguhnya dia kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah lah yang maha Kaya dan kamulah yang membutuhkan karunianya. Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar), Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan (durhaka) seperti kamu.” (Surah Muhammad: 36)

Penulis adalah mahasiswi tahun akhir Fakulti Syariah pengkhususan Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Mu’tah Jordan. Beliau juga telah dilantik sebagai salah seorang penasihat bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu’tah Jordan (PERMATA) dan terlibat aktif sebagai aktivis Kelab IKRAM Jordan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s