Terjemahan

Islam & Negara Sivil

Hubungan antara undang-undang alam dan undang-undang legal, antara undang-undang agama dan undang-undang buatan manusia, ialah semuanya akan bertemu dengan isu-isu yang memerlukan perbicangan dan pemerhatian yang lebih mendalam. Proses ini perlu diiringi dengan perspektif baru yang mampu membentuk sisi pandang yang baru, yang membawa kita jauh dari pertembungan sempit ke arah mengharmonikan dan mengintegrasikan dengan luas.

Oleh itu, saya bangkitkan satu persoalan mengenai berapa jauhkah Islam dan komuniti Islam boleh harmoni dalam sebuah negara sivil, negara yang mana undang-undangnya tergantung kepada kehendak rakyat, dan sistem perundangan dikuasai oleh sebuah institusi yang dipilih melalui pilihanraya? Institusi ini juga meluluskan sebarang undang-undang yang memenuhi kehendak rakyat dengan berdasarkan matlamat semaksimum mungkin.

Untuk menjawab persoalan ini, saya pilih untuk menonjolkan perbuatan Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang pemimpin (imam) dan kepimpinannya seperti yang dihuraikan oleh ulama’ usul al-fiqh (prinsip mengeluarkan hukum shar’ie) klasik. Cara-cara ini menunjukkan sinar baru dalam perbuatan Nabi yang telah melepasi pemerhatian, dalam kaitannya dengan membangunkan pengalaman politik semasa seorang muslim. Hal ini boleh memberi sumbangan dalam membebaskan seorang muslim semasa daripada rantai pengalaman sejarah, yang mungkin membataskan kejayaan yang boleh memberi manfaat kepada kita dalam kehidupan manusia semasa.

Kepelbagaian Perbuatan Rasulullah

Perbuatan Rasulullah telah dihuraikan oleh ramai orang sebagai perbuatan-perbuatan satu dimensi yang semuanya diilhamkan oleh Tuhan. Namun, beberapa ulama’ fiqh (ilmu perundangan shar’ie) dan ulama’ klasik usul al-fiqh (ilmu teknik mengeluarkan perundangan shar’ie daripada sumber) menyanggah pandangan ini dan percaya bahawa pandangan ini bertentangan dengan asal perbuatan Nabi. Sesetengah ulama’ mencadangkan perbuatan-perbuatan Nabi dibahagikan. Antara pelopor ulama’ ini ialah Abi Muhammad ibn Qutaybah al-Dinori (meninggal 276H) dalam bukunya Ta’wil Mukhtalaf al-Hadtih (menghuraikan hadith yang bercanggah), al-Qadi `Iyad al-Yahsebi (meninggal 544H) dalam bukunya al-Shifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa (Penawar bagi mengenali hak-hak Nabi Pilihan), ibn Qayyim al-Jawziyah (meninggal 751H) dalam beberapa tulisannya, dan ilmuan India Shah Wali Allah al-Dahlwi (meninggal 1176H) dalam bukunya Hujjat Allah al-Balighah (Petunjuk Allah yang Agung).

Beberapa ulama mencadangkan beberapa jenis pembahagian bagi perbuatan-perbuatan Nabi.

Sheikh Muhammad al-Taher ibn ‘Ashour, penulis buku Maqasid al-Shari’ah al-Islamiah (tujuan dan prinsip shari’ah) antara ulama semasa yang membuat satu sumbangan bernilai dalam medan ini.

Tetapi ulama’ pelopor prinsip-prinsip hukum ialah Shihab ad-Din al-Qarafi (meninggal 684H) yang merupakan penghurai paling luas dalam membahagikan jenis-jenis perbuatan Nabi. Dia menggambarkan sisi-sisi pandang ini dalam beberapa bukunya seperti ensiklopedia Fiqhnya berjudul az-Zakhirah, dan bukunya dikenali dalam menggambarkan kategori-kategori ini. Terakhir, ada bukunya yang dikhususkan untuk perkara ini berjudul al-Ihkam fi Tamiez al-Fatwa ‘an al-Hakam wa Tasarufat al-Qadi wa al-Imam (Penjelasan dalam membezakan fatwa (pandangan hukum) daripada pemberi fatwa, serta perbuatan hakim dan pemerintah).

Berdasarkan usaha-usaha terkumpul ini, perbuatan Nabi boleh secara umumnya dibahagikan kepada:

1.      Perbuatan yang menjadi syariat. Perbuatan yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan dan ikutan. Perbuatan ini pula dibahagikan kepada:

a.      Perbuatan yang menjadi syariat secara umum. Perbuatan yang tujuannya menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari Kiamat. Perbuatan ini samada diriwayatkan atau diberi dalam bentuk fatwa (pandangan hukum).

b.      Perbuatan yang menjadi syariat secara khusus. Perbuatan ini dikaitkan dengan tempat tertentu, masa, keadaan, atau orang tertentu, dan bukan umum untuk seluruh umat. Perbuatan ini termasuklah pemberian hukum-hakam, kepemimpinan, dan perbuatan-perbuatan khusus. Perbuatan ini dikaitkan dengan orang yang ditujukan kepadanya dan bukan untuk selainnya. Ianya dihuraikan oleh sesetengah sebagai perbuatan sebahagian atau syariat sebahagian atau percakapan sebahagian.

2.      Perbuatan yang bukan menjadi syariat. Perbuatan-perbuatan yang bukan tujuannya untuk diikuti dan diteladani, samada daripada seluruh umat atau kepada yang ditujukan sendiri. Antara perbuatan ini adalah perbuatan yang berdasarkan sangkaan, perbuatan berkaitan kehidupan harian, perbuatan yang menunjukkan pengajaran, dan perbuatan peribadi.

Pembahagian ini mempunyai kesan baik dalam memahami agama dan menguruskan tradisi Nabi menghadapi isu-isu dengan cara satu segi (one-sided) yang biasa dilakukan oleh mereka yang tidak memahami kata-kata dan perbuatan kecuali dari satu perspektif, dan menganggap semuanya mempunyai cara yang sama. Mereka membataskan kata-kata ini dari aspek pilihan huruf dan perkataan, dari aspek bahasa, dan tidak melihat suasana yang meliputi konteks kata-kata tersebut. Mereka mensia-siakan fakta yang menyebut begitu banyak perbuatan Nabi boleh berubah dengan situasi baru dan lebih terkait dengan kes-kes tertentu secara umumnya.

Pendekatan sebegini belum lagi jika kita lihat tujuan perbuatan Nabi, matlamat, dan objektif pengajaran dan pernyataan itu. Dalam konteks ini, sunnah Nabi Muhammad SAW, berubah menjadi prinsip dan peraturan abstrak yang tiada kaitan dengan realiti yang dinamik, kerumitan hidup manusia, atau situasi-situasi baru yang akan berlaku seiring dengan peredaran zaman. Pendekatan sebegini menjadikan sunnah sebagai undang-undang yang disusun dalam dunia abstrak yang tiada kaitan dengan kepelbagaian situasi politik atau sosial dan lebih jauh lagi daripada sifat semulajadi hidup manusia.

Semua ini menjelaskan kenapa Shihab ad-Din al-Qarafi menyusun perbezaan antara jenis-jenis perbuatan Nabi yang berbeza sebagai satu asal perundangan yang patut diberi perhatian dan diambil berat. Setelah menggambarkan jenis-jenis perbuatan Nabi yang berbeza dan apakah perbezaannya, dia menyatakan, dengan kaedah membezakan perbuatan ini, apa sahaja yang perkara dalam topik ini yang datang kepada kamu boleh dibezakan jenis perbuatannya (selawat dan salam atasnya), jadi perhatikan dengan teliti, kerana ini merupakan salah satu keutamaan agama ini.

Ibn Qayyim al-Jawziyah juga menyebut satu peraturan penting, “kata-kata Nabi yang sebahagian dan juga peribadi tidak sepatutnya dijadikan sebagai (peraturan) umum, atau dijadikan yang umum sebagai khusus, kelak akan menimbulkan percanggahan dan kesilapan.”

Perbuatan Nabi sebagai pemimpin (imam)

Perbuatan-perbuatan Nabi sebagai pemimpin didefinisikan sebagai perbuatan-perbuatan Nabi SAW sebagai ketua negara: seorang yang menguruskan urusan negara mengikut cara yang menjaga kepentingannya, dan mengelakkannya dari apa sahaja keburukan. Nabi, sebagai pemimpin, membuat keputusan-keputusan dan prosedur yang perlu untuk mencapai objektif Shari’ah dalam masyarakat. Sesetengah ulama’ menamakan perbuatan sebegini sebagai polisi berasaskan Shari’ah atau kepimpinan negara.

Sesetengah ulama’ klasik dalam bidang prinsip-prinsip perundangan Islam (fiqh) mengira konteks ketika perbuatan Nabi berlaku, dalam kes kita ini, berkaitan dengan kepimpinan negara. Perbuatan Nabi sebagai pemimpin, seperti yang dihuraikan oleh al-Qarafi, “adalah tambahan kepada perbuatan-perbuatan Nabi yang lain, yang diilhamkan oleh wahyu, peraturan-peraturan agama, dan penilaian legal.” Seterusnya diikuti dengan kepimpinan Nabi tidak akan sama keadaannya seperti perbuatan Nabi dan penyampaian Nabi dalam risalah wahyu. Perbezaaan ini secara asasnya dari dua segi:

1.      Pemimpin, seperti disebutkan al-Qarafi, ialah seorang yang “berkuasa mengurus polisi awam rakyat dan kepentingan-kepentingan, menolak keburukan, menghalang jenayah, menghukum orang yang zalim, dan untuk memberi kemudahan kepada warga sesebuah kawasan…”

2.      Pemimpin diberikan kuasa eksekutif. Kuasa ini tidak diberikan kepada mufti mahupun hakim. Perlaksanaan tanggungjawab kepimpinan, dari segi definisi, “dimaksudkan untuk memasukkan kuasa dan kerajaan.”

Dalam isu ini, sangat penting untuk mengkaji perbuatan-perbuatan Nabi berkaitan kepimpinan, untuk menjelaskan perspektif matlamat yang mana ulama’ klasik dalam bidang prinsip perundangan enggan mengaitkan isu ini. Empat jenis utama dalam perbuatan Nabi dibincangkan di bawah ini.

1.      Perbuatan Perundangan Khas

Perbuatan Nabi dalam memimpin, yang tidak berasaskan wahyu, adalah sejenis perbuatan sebahagian yang khas berkaitan dengan mengurus status dan polisi masyarakat, dalam masa, tempat, dan suasana tertentu. Oleh itu, ibn al-Qayyim menghuraikan jenis ini sebagai “polisi sebahagian,” menurut kepentingan yang tersirat bagi sesebuah ummah pada masa dan tempat itu, dengan disuluh oleh suasana khas. Al-Taher ibn ‘Ashour menamakannya sebagai “perundangan sebahagian.”

Oleh itu, ianya tidak ditetapkan untuk seluruh ummah selamanya, manakala para imam dan pemimpin, yang mengikuti jejak langkah Nabi, tidak seharusnya mengikuti yang ini secara membuta tuli. Sebaliknya, mereka seharusnya mengikut cara dan lebih memberi perhatian kepada memenuhkan kepentingan yang diambil berat oleh Nabi Muhammad SAW dalam konteks suasana tersebut. Al-Qarafi menggambarkan jenis perbuatan Nabi ini sebagai “tidak patut dicontohi melainkan dengan keizinan pemimpin semasa kerana dia (selawat dan salam atasnya) tidak melakukannya di bawah pimpinannya; tiada keizinan untuk diikuti jenis perbuatan ini tanpa pengesahannya (pemimpin).”

Sewajarnya, perbuatan-perbuatan berkaitan kepimpinan negara ini dirujuk kepada pemimpin atau pihak berkepentingan dalam sesebuah masyarakat, yang memastikan objektif shari’ah diambil berat, dan kepentingan dijaga, sepertimana yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW, dengan mengambil kira sepenuhnya tempat, masa, dan suasana kejadian. Kebekuan tanpa anjal menuruti perbuatan-perbuatan ini, tanpa mengira keperluan untuk berubah, adalah bercanggah dengan objektif shari’ah sepertimana bercanggah dengan sunnah itu sendiri.

Contohnya, sekiranya kita menganggap kata-kata Nabi, “sesiapa yang menghidupkan satu tanah, maka ia menjadi milknya,” tradisi ini dianggap oleh para ulama’ yang melihatnya berdasarkan cahaya kepimpinan politik sebagai satu kuasa yang ada sewaktu hayat Nabi untuk memberi hak pemilikan tanah kepada sesiapa yang menghidupkannya. Setelah kematiannya, kuasa ini terletak dalam tangan pemimpin atau pihak berkaitan untuk mengelakkan atau untuk menguruskan sistem ini menurut kepentingan tertentu. Inilah maksud Imam Abu Hanifah apabila dia berkata, “tiada siapa boleh menghidupkan (dan menjadikannya milik) suatu tanah terbiar kecuali setelah diizinkan oleh pemimpin.”

Kata-kata Nabi Muhammad SAW, “siapa membunuh seseorang (dalam peperangan) maka dia akan mendapat miliknya,” menurut al-Qarafi, ialah satu perbuatan berkaitan kepentingan semasa sewaktu dia (selawat dan salam atasnya hanya menyebutkannya kerana keperluan ketika itu, untuk menggalakkan orang ramai berperang.” Kerana itulah al-Qarafi menyatakan, “apabila seorang pemimpin melihat hadith ini ada kepentingan, dia patut gunakannya. Jika tidak, dia tidak patut. Inilah yang kami maksudkan sebagai perbuatan berkaitan kepemimpinan.”

2.      Perbuatan Berkaitan Kepentingan Awam

Ciri perbuatan kedua yang utama seorang pemimpin ialah asalnya perbuatan-perbuatan ini menyasarkan untuk memperolehi kepentingan awam. Al-‘Ezz ibn Abdul Salam menjelaskan bahawa “jika bukan kerana pemimpin, kepentingan awam mungkin telah hilang dan keburukan awam mungkin berlaku.” Perkara yang memberi makna bagi kepimpinan ketua negara (atau imam) ialah menurut al-Qarafi, “untuk menjadi jelas dalam menguruskan kepentingan dan politik mentadbir rakyat.” Seumpamanya, seperti penghakiman memerlukan alasan, bukti, dan sokongan–mengeluarkan fatwa (pendapat undang-undang shar’ie) ialah berdasarkan bukti yang sah– perbuatan kepimpinan yang bergantung kepada “kepentingan hak rakyat terbaik atau semata-mata.” Perkara ini kerana pemimpin ialah seseorang yang diwakilkan untuk menguruskan polisi awam rakyat, menguruskan kepentingan awam, mengelakkan keburukan, menentang jenayah, menghukum kezaliman, dan memberi kemudahan kepada rakyat.”

Nabi Muhammad SAW pernah menghalang daging korban disimpan lebih dari tiga malam dengan menyebut, “simpanlah hanya untuk tiga hari dan sedekahkan bakinya.” Namun, pada tahun hadapan dia menyebut, “saya hanya menyebutkan sedemikian kerana ada orang memerlukan sedang menziarahi Madinah. Tetapi sekarang, makanlah, sedekahkan, dan simpanlah seperti yang kamu mahu.”

Nabi Muhammad menghalang daging disimpan lebih tiga hari pada tahun pertama kerana dia mengambil kira keadaan ekonomi dan kehidupan disebabkan ramainya yang menziarahi Madinah. Dia maksudkan dalam arahannya ini untuk menyelesaikan krisis dan mengurangkan tekanan. Bahkan ‘A’ishah menyebutkan dalam kata-kata lain, “dia (Nabi) hanya menyebutkan demikian pada tahun rakyat sedang kelaparan.  Jadi dia mahu yang kaya memberi kepada yang miskin”.

Kepentingan awam ini diambil kira apabila berhadapan dengan undang-undang legal. Ahmad Muhammad Shakir mengira “perbuatan Nabi Muhammad SAW ini sebahagian daripada perbuatan seorang pemimpin berkaitan dengan mendepani kepentingan rakyat, dan jangan diambil sebagai undang-undang dalam seluruh urusan awam.”

3.      Perbuatan Berkaitan Logik Peribadi

Apabila Nabi Muhammad SAW menyampaikan kata-kata Allah atau menjelaskan sesuatu isu keagamaan, dia melakukan sepertimana yang diwahyukan; ketika dia membuat keputusan sebagai imam atau pemimpin politik, dia sentiasa bekerja berdasarkan logik (ijtihad) peribadi, yang boleh jadi betul atau salah. Perkara kedua ini dipersetujui oleh semua ulama’ klasik dalam prinsip perundangan dan ulama’ perundangan (fiqh dan usul al-fiqh). Konsep ini diriwayatkan oleh Muhammad ibn Ali al-Shawkani, “telah dipersetujui oleh ulama’ Islam bahawa Nabi mungkin bersandarkan kepada logik peribadi dalam berdepan dengan kehidupan seharian, peperangan dan seumpamanya. Perbuatan sebegini dikhabarkan oleh Selim al-Razi dan Ibn Hazm; sama seperti yang sebenarnya dibuat oleh Nabi SAW apabila membuat keputusan untuk membuat perdamaian dengan (kabilah) Ghatfan dalam isu buah-buahan Madinah, dan apabila dia mencadangkan jangan dikacukkan benih buah-buahan Madinah.” Abu Bakr al-Jassas, Abu al-Hassan al-Basri, Imam al-Juwaini, dan Fakhru al-Din al-Razi memilih pendapat ini. Pilihan yang sama ditekankan oleh Ibn Battah melalui Taqi al-Din Ibn Taimiyah:

“Nabi dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk sesetengah keputusan dan arahannya dan ini bukti jelas bahawa banyak darinya berasaskan pendapat dan penilaian peribadi. Hal ini diaplikasikan atas penilaian Nabi dalam urusan seperti tawanan Badar, menerima tebusan mereka, dan membenarkan rakyat yang datang kepadanya dengan apa sahaja alasan untuk dikecualikan dari peperangan Tabuk, sehingga orang yang tiada alasan mengecualikan diri mereka sendiri. Juga, ayat “ambillah pandangan-pandangan mereka dalam berurusan,” (Al‘Imran 3:159). Jika penilaian-penilaian ini merupakan wahyu, Nabi tidak memerlukan sebarang nasihat pandangan.”

Contoh ini menjelaskan banyak perbuatan dan keputusan politik Nabi dan menunjukkan yang mana daripadanya yang merupakan logik peribadi.

Mengambil nasihat dan pandangan para sahabatnya dalam membuat keputusan merupakan bukti selanjutnya bahawa perbuatan Nabi sebagai pemimpin adalah berdasarkan logik peribadi. Jika isunya diilhamkan oleh wahyu, dia tidak akan terpaksa memerlukan sebarang nasihat. Tetapi sebenarnya, dia mendengar pandangan mereka, bertanya kepada pakar dan mempertimbangkan serta membincangkan semua urusan dengan pilihannya sendiri.

Para sahabat dahulunya membezakan antara tugasnya sebagai penyampai risalah dan wahyu dan tugasnya sebagai pemimpin politik dan ketenteraan. Jika mereka keliru, mereka akan meminta penjelasan dari Nabi. Contohnya soalan al-Hubab ibn Munzir mengenai tempat yang dipilih dalam Badar, “adakah ini tempat yang dipilih oleh Allah, atau ianya pendapat, peperangan, dan muslihat?” Contoh lain ialah bukti soalan Sa’d ibn Mu’adh dan Sa’d ibn ‘Ubadah dalam peperangan Parit (Khandaq), “wahai Rasul Allah! Adakah ianya satu perkara yang kalau kamu sukai untuk kami lakukan, atau ianya arahan Allah yang wajib kami taati, atau ianya satu perbuatan yang kamu lakukan untuk kepentingan kami?”

4.      Perbuatan Berkaitan Urusan-Urusan “Bukan Agama”

Frasa yang digunakan oleh al-Qarafi untuk menggambarkan logik peribadi pemimpin hanya sesuai apabila dikaitkan dengan “sebarang yang dipertikaikan atas kepentingan dunia.” Dia menambah, “logik peribadi dalam perkara berkaitan ritual (ibadat) terpaksa dikecualikan, kerana perbahasan mengenainya adalah berkaitan dengan urusan selepas mati (akhirat) dan bukan urusan-urusan harian manusia; maka sudah pasti tiada ruang untuk ijtihad peribadi seorang pemimpin.

Membezakan antara perkara-perkara duniawi dan perkara-perkara akhirat adalah kritikal; namun demikian konsep ini perlu difahami melalui kerangka Islam (yang menghubungkan perkara-perkara agama dan duniawi secara holistik) dan bukan melalui kerangka Barat yang hanya melihat perkara tersebut sebagai sebuah perkara yang hanya melibatkan gereja. “Keagamaan” mempunyai dua maksud yang berbeza dalam teks Shari’ah. Maksud yang pertama merangkumi segala aktiviti seseorang Muslim, termasuk politik. Apa-apa amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim secara amnya adalah sebuah ibadah selagi niat di sebalik amal tersebut semata-mata hanya kerana Allah. Perbuatan-perbuatan yang disenaraikan di atas boleh diklasifikasikan di bawah terma “agama”.

Buku-buku fiqh berkaitan hukum-hakam praktikal mempunyai bab-bab berkaitan solat, puasa, dan zakat, di samping hukum-hakam hubungan kekeluargaan, perkahwinan, perceraian, dan wasiat. Buku-buku tersebut juga mengandungi hukum-hukum yang berkait dengan aktiviti-aktiviti ekonomi seperti jual beli, riba, pinjaman gadai janji, perkongsian tanaman dan urusan penyewaan, di samping bab-bab berkaitan aktiviti politik seperti kepimpinan, amar makruf nahi mungkar, jihad, dan mobilisasi tentera. Perkara-perkara ini dikategorikan sebagai urusan-urusan agama, yakni “agama” di sini bermaksud setiap amal kebaikan yang bermanfaat yang dilakukan oleh seorang Muslim.

Maksud “agama” yang kedua hanya merujuk kepada perkara-perkara berlawanan dengan perkara-perkara duniawi. Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Jika ia adalah perkara berkaitan agama, maka ikutilah aku. Tetapi jika ia adalah perkara duniawi, maka berbuatlah seperti yang kamu tahu,”. “Agama” yang dimaksudkan di sini diperjelaskan dalam sabda Baginda dalam sebuah hadith, tatkala Baginda melihat beberapa orang berdiri di sebelah beberapa pokok kurma, dan menanyakan mereka apa yang mereka lakukan. Mereka menjawab “Pendebungaan”. Baginda kemudian berkata “Padaku ia tidak akan menghasilkan apa-apa”. Mereka pun meninggalkan perkara itu dan pokok-pokok itu pun tidak membuahkan hasil. Apabila baginda mengetahui hal tersebut, baginda pun bersabda “lakukan apa yang berguna untuk kamu. Aku hanya memberi pendapat, maka janganlah mengambil pendapat tersebut sebagai sebuah arahan. Ikutilah kata-kataku jika berkaitan dengan Allah, kerana aku tidak akan berbohong tentang Allah”.

Dalam hadith yang berlainan, Nabi Muhammad SAW bersabda “jika aku memerintahkan kamu dalam perkara berkaitan agama, maka ikutilah arahan tersebut. Jika arahan tersebut merupakan pendapatku, maka pertimbangankanlah bahawa aku juga manusia”. Amalan agama adalah perbuatan berpandukan wahyu atau pertimbangan pendapat dalam perkara-perkara yang setaraf dengan wahyu. Amalan duniawi pula adalah amalan yang berkaitan kehidupan di dunia ini yang berdasarkan pendapat peribadi. Penekanan terhadap tindakan-tindakan Rasulullah SAW sebagai pemimpin dalam hal-hal duniawi adalah penting kerana:

–          Ia membezakan tindakan-tindakan tersebut daripada maksud kedua “agama”. Hal ini membuktikan wujudnya perbezaan dalam Islam antara “agama” dan kehidupan, aktiviti politik dan amalan-amalan ibadat khusus.

–          Ia menjelaskan tujuan Islam untuk membuang unsur-unsur pensakralan aktiviti politik, untuk menghalang monopoli (kuasa) politik atas nama agama dan membuang penyekatan kreativiti dan kebebasan.

–          Ia juga menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mengubah tindakan-tindakan baginda sebagai pemimpin jika ada perubahan dalam kepentingan rakyat yang menatijahkan tindakan tersebut. Kefahaman tersebut mengenai tindakan Rasulullah SAW adalah kefahaman yang disetujui semua.

Beberapa tindakan Rasulullah SAW sebagai pemimpin tidak menjadi kewajipan bagi sesebuah badan legislatif dan kita tidak perlu terus mengikutinya atas andaian bahawa amalan tersebut adalah sunnah. Parti-parti terbabit patut mengikuti cara yang diamalkan Rasulullah SAW dalam memimpin negara, yang mengambil kira kepentingan rakyat yang berasas. Tiada sesiapa yang patut memberi kata putus atas sesebuah tindakan melainkan ia berada dalam bidang pengurusan atau legislatif.

Apabila Ibn Qayyim meriwayatkan beberapa tindakan Rasulullah SAW dan beberapa khulafa’ dalam polisi kerajaan yang berorientasikan Shari’ah, beliau menyebut bahawa “polisi tersebut bersifat sementara dan akan berubah mengikut kepentingan am dan keadaan semasa. Ada juga mereka yang mengandaikan bahawa tindakan-tindakan tersebut tetap dan tidak berubah; setiap orang mempunyai alasan-alasan mereka dan ganjaran mereka. Sesiapa yang berusaha untuk menginterpretasi tindakan-tindakan tersebut demi Allah dan RasulNya akan mendapat ganjaran pahala sebanyak satu atau dua kali ganda.”

Penubuhan Negara Sivil

Tindakan Baginda Rasulullah SAW dalam hal-hal berkaitan polisi berlandaskan Shari’ah membuka ruang ijtihad dalam fiqh politik dan juga pertimbangan semula isu-isu lama. Hal ini juga memberi asas kepada keperluan kesedaran metodologi dalam merangka polisi berlandaskan Shari’ah dan juga penyebaran kesedaran tersebut dalam kalangan orang-orang yang mempunyai minat dalam kebangkitan Islam secara teori atau praktikal. Perbezaan antara apa yang diwahyukan dan apa yang dibuat oleh manusia adalah amat jelas di sisi Islam, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan aktiviti-aktiviti politik. Pemahaman yang mendalam dan pengamatan yang tajam tentang tindakan-tindakan Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin memberi asas yang penting dan kukuh dalam merangka strategi untuk menangani isu-isu semasa yang berkaitan dengan pemikiran politik Islam moden. Beberapa asas disenaraikan di bawah:

  1. Pemahaman yang mantap tentang tindakan Nabi SAW sebagai imam -yang tidak terhad- menawarkan asas sistematik yang penting dan jitu untuk kebanyakan isu semasa berkaitan dengan trend pemikiran politikal Islam moden.

Sifat-sifat tindakan Nabi sebagai imam menunjukkan bahawa negara Islam  pada asasnya adalah bersifat sivil dan tidaklah bersifat keagamaan seperti yang dianggap melalui pendekatan politik Barat. Sifat semulajadi dan peri tindakan Nabi sebagai imam menekankan bahawa Islam tidak mengkuduskan praktis dan keputusan pemimpin atau cara yang digunapakai oleh negara dalam menguruskan perihal ummah. Negara dalam Islam tidaklah teokratik dan tiada satu negara pun yang diinspirasikan oleh kuasa keagamaan mahupun oleh wahyu.

Negara dalam Islam adalah negara duniawi, yang mana keputusannya bersifat manusiawi dan tugasnya adalah untuk menerima pakai polisi terbaik yang subjektif dan praktikal dalam menguruskan hal-hal kemasyarakatan.  Seorang pemimpin dalam Islam seharusnya tidak mendapatkan legitimasi daripada kuasa keagamaan; beliau merupakan seorang insan biasa yang diiktiraf dan dipilih dengan rela oleh ummah yang diwakilinya dan dipertanggungjawabkan ke atasnya. Beliau, paling penting, adalah bertanggungjawab di hadapan Allah dalam setiap satu tindakannya.

Ulama` politik muslim klasik menekankan maksud sedemikian dalam mendefinisikan polisi yang berorientasikan Shari’ah atau fungsi imam dalam Islam. Sebahagian pendapat mereka, walau bagaimanapun, disalahfahami. Abu Al Hasan Al-Mawardi mendefinisikan imamiah (kepimpinan) sebagai “kepemangkuan bagi pihak kenabian dalam mempertahankan agama dan politik duniawi.” Ibn Khaldun telah berkata, “Ia adalah kebenaran untuk mempertahankan agama dan politik duniawi.” Kemudian dia berkata, “dalam perkara menggelarkannya sebagai seorang khalifah, ia adalah kerana beliau merupakan pewaris kepada Nabi dalam menguruskan perihal ummah”.

Pewarisan kenabian mungkin menyebabkan sedikit kekaburan makna berkenaan imamiah (kepimpinan). Walau bagaimanapun, sifat tindakan kenabian berkenaan hal ini menjelaskan bahawa pihak yang mempunyai kuasa hanya menggantikan Nabi dalam kedudukan baginda sebagai seorang pemimpin, yang dikendalikan baginda menggunakan sifat manusiawi baginda dan praktis politikal baginda secara kendiri (tidak dipandu secara terus oleh wahyu), yang mana baginda tidak maksum. Namun begitu, berdasarkan kesepakatan ulama Muslim,  pemimpin Muslim tidak menggantikan Nabi dalam hal kenabian, yang mana melibatkan penyebaran risalah dan Nabi adalah maksum dalam hal ini.

2.                  Hubungan antara apa yang bersifat keagamaan dan apa yang bersifat politikal telah mengambil bentuk yang berbeza dan bercanggah dalam pemikiran kontemporari.  Hal ini turut terpakai kepada Barat, walaupun terdapat titik persamaan antara pengalaman Muslim dan Barat.

Ia adalah perlu dalam perkara ini untuk mengambil manfaat daripada pengalaman pihak lain dalam mewujudkan model demokratik kita. Pengalaman politik manusia telah menyumbang dengan banyaknya dalam mencapai kestabilan negara dan merasionalisasikan sumbangan pelbagai pihak dalam pengurusan hal negara. Pembacaan yang dalam berkenaan pengalaman politik Barat membolehkan kita untuk mencapai sebuah model yang menggabungkan kedua-dua keagamaan dan undang-undang yang positif, model yang bertindak balas kepada keperluan khas kita dan membantu kita mencapai sebarang keperluan yang penting.  Hal ini memerlukan, sebagai timbal balik, pengecualian sebarang petanda yang mengkuduskan aspek politik agama, pengecualian prinsip-prinsip umum dan tujuan utama Shari’ah. Selebihnya merupakan manusia, hal keduniaan dan tindakan kepimpinan Nabi dalam konteks ini hanyalah sebagai seorang manusia.

Ulama perundangan muslim (tidak kira yang lama mahupun kontemporari) bersetuju  bahawa ummah ataupun rakyat merupakan asal kepada legitimasi sesebuah negara. Nabi Muhammad SAW sendiri wafat tanpa melantik seorang pengganti. Baginda SAW meninggalkan hal itu sepenuhnya kepada rakyat untuk bukan sahaja memilih individu yang dikehendaki, malah untuk memilih kaedah pemilihan. Tindakan sebegitu daripada Nabi membentuk sebuah asas perlembagaan yang bermakna. Para pemimpin dipilih oleh rakyatnya sahaja; persetujuan ikrar setia adalah sebuah kontrak yang termeterai antara pemerintah dan yang diperintah, di mana persetujuan mutlak merupakan syarat utama yang mana kontrak tersebut adalah terbatal dan tidak sah tanpanya. Pemerintah, akhirnya, adalah seorang individu yang dipilih daripada ummah untuk menguruskan kuasa; beliau tidak mempunyai kelebihan disebabkan pemilihan tersebut, dan beliau seharusnya bertindak berdasarkan kontrak yang telah dipersetujui.

Ulama` klasik dan kontemporari bersama-sama menyumbang beberapa hujah berkenaan hal ini. Namun saya hanya menyebut penghujahan Imam Shafi’i. Beliau selalunya merujuk kepada kata-kata Nabi “Tiada diterima solat seorang imam (pemimpin solat) yang dibenci orang…” Beliau merumuskan bahawa “tidak digalakkan seseorang untuk menjadi imam kepada sekumpulan orang yang membencinya.” Kemudian, beliau menggunakan prinsip tersebut kepada aspek politik: “Tidak disukai bagi seseorang untuk memimpin rakyat yang membencinya. Dan sekiranya dia memerintah sedangkan majoriti tidak membencinya dan sebahagian kecil membencinya, aku berkata ia masih begitu, disebabkan prinsip tidak disukai menguruskan wilayah secara amnya.” Tidak diragukan lagi bahawa ia merupakan satu inferens yang hebat; sekiranya adalah tidak diterima untuk menjadi imam kepada orang yang membenci imam tersebut, hal yang sama boleh digunakan kepada prinsip pemerintahan.

Legitimasi dalam sejarah Islam selalunya bergantung kepada ummah dalam satu cara atau yang lain. Negara baru diasaskan di atas runtuhan negara yang lain, yang mana sama ada gagal untuk mencapai keadilan dalaman atau kestabilan atau mempertahankan wilayah ummah daripada musuh. Seseorang selalunya termotivasi untuk menubuhkan sebuah negara yang mampu mencapai kedua-dua tujuan, agar natijahnya rakyat berhimpun sekelilingnya, seterusnya memberikan legitimasi kepada pemerintahannya. Kes ini mengingatkan tentang kemunculan projek negara bangsa atau bentuk lain di dunia Arab, yang mana telah ditubuhkan melalui revolusi. Negara-negara ini dalam satu cara atau yang lainnya bertindak balas kepada harapan kebebasan dan keadilan sosial yang popular. Negara-negara sebegini diangkat pada awalnya, namun ia kemudiannya bertukar kepada negara penindasan dan paksaan untuk beberapa sebab yang subjektif dan objektif, dan ia seterusnya gagal untuk mencapai kebebasan mahupun keadilan sosial.

Mengaitkan legitimisi kepada kemampuan memenuhi keperluan asasi ummah telah digambarkan sebagai legitimasi berdasarkan agama, namun bukanlah dalam erti kata teokratik. Sebaliknya, ia bermaksud legitimasi ummah sedemikian lebih bergantung kepada kemampuan untuk mempertahankan agama dan menyuburkan ummah islami. Dalam kata lain, ia merupakan sebuah negara sivil, dengan legitimasi popular, yang diberikan kuasa untuk melindungi agama ummah tersebut, seperti mana negara moden melaksanakan tugasnya untuk melindungi rakyat dan kepentingannya.

Dengan cara yang sama, prinsip ini boleh digunakan kepada artikel perlembagaan yang lain seperti pindaan institusi politik, pilihanraya, penentuan tempoh berkuasa, dan mendefinisikan hubungan antara pelbagai pihak berkuasa, kebebasannya dan sebagainya. Hal yang telah disebutkan sebelum ini tertakluk kepada pertimbangan manusia yang bebas.

3.                  Berurusan dengan peristiwa sejarah pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin; pengalaman Islam pada zaman khalifah-khalifah tersebut sentiasa mendominasi pemikiran politik dan legislatif kontemporari. Ia tidak diragukan lagi, merupakan pengalaman yang cemerlang dan unggul; meskipun begitu, hal ini tidak bermakna ia mempunyai sebarang implikasi secara terus yang dapat mengatasi zaman, tempat dan keadaan sekelilingnya.

Jika praktis politik Nabi adalah relatif, maka pengalaman khalifah-khalifah tersebut tentulah relatif juga. Sekiranya kita diwajibkan untuk menuruti jejak langkah kaedah umum Nabi sebagai ketua negara, tanpa kepatuhan tidak berbelah bagi kepada keputusan separa, maka kita perlu mengambil Khulafa’ ar-Rasyidin sebagai model hanya dalam hal mereka menuruti Nabi SAW, interaksi mereka dengan pembolehubah realiti islamik dan pelaksanaan penyataan agama mereka.

Bentuk institusi, mekanisme institusi, interpretasi legislatif dan politik semasa zaman khalifah tersebut hanyalah hasil manusiawi yang dipengaruhi konteks sejarah, persekitaran kebudayaan dan melieu pada zaman tersebut. Legasi tersebut tidak seharusnya dijadikan sebagai sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada agama yang mengikat semua muslim pada setiap zaman. Pemikiran politik dan budaya manusia sentiasa ditenggelami oleh beberapa aksiom yang telah mempengaruhi  pemahaman muslim berkenaan sistem politik Islam. Aksiom-aksiom ini telah menghalang muslim daripada mencapai tujuan Islam melainkan dalam had persekitaran budaya manusia yang terdapat pada setiap zaman.  Qur’an, walau bagaimanapun, merupakan satu inspirasi yang mana dimanfaatkan manusia berdasarkan potensi mereka, yang mana mereka tidak mampu menghabiskan ajaran yang cuba disampaikannya.

Mewujudkan sebuah negara islam yang sivil yang memperoleh legitimasinya daripada rakyatnya menjadikan muslim lebih terbuka kepada perkembangan bentuk kerajaan yang berterusan berdasarkan mekanisme dan sistem yang dijana oleh manusia. Ini menjadikan mereka juga lebih berkemampuan untuk melaksanakan bentuk demokrasi yang terbaik, yang mana mereka mampu lebih memperkayakannya dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam yang membawa keunggulan kepercayaan (iman) dan kedalaman sosial dan kemanusiaan kepada bentuk demokrasi yang telah disokong.

Penulis asal: Saadedine El ‘Othmani (Setiausaha Agung Parti Keadilan dan Pembangunan di Maghribi)

Diterjemahkan oleh:

Zainal Abidin Bin Abdul Rahim merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti al-Eman Yaman yang kini calon Ijazah Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau merupakan tenaga pengajar di beberapa pusat Pendidikan Islam. Penulis kini merupakan sukarelawan JK Ulama` IKRAM Malaysia dan JK dakwah IKRAM bagi kawasan Setiawangsa.

Iskandar Zulqarnain Bin Mohamed merupakan graduan berkelulusan M.B.B.S dari University College London (UCL) dan B.A dari University of Cambridge (Cantab). Kini beliau sedang berkhidmat sebagai seorang doktor serta terlibat aktif sebagai aktivis IKRAM UKE.

Mohamad Danial Bin Othman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Astronomi dan Astrofizik dari Pennsylvania State University dan sekarang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Pendidikan Al-Itqan, Pulau Pinang. Beliau turut terlibat aktif dalam IKRAM Siswa Perlis dan IKRAM Siswa Pulau pinang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s