Ramadhan

5 HADIAH RAMADAN

Saban tahun, saya memerhati dan mengamati erti satu bulan yang amat istimewa. Ia umpama tetamu VIP yang membawa hadiah yang mahal. Biasanya, hadiah dari VIP kita akan simpan dengan rapi dan kemas agar menjadi kenangan sepanjang masa.
Bezanya bulan Ramadan, ia adalah tetamu yang hadir dalam tempoh sebulan. Hadir membawa hadiah yang perlu kita manfaatkan. Hadiah yang menjadi pemangkin untuk menyuburkan benih iman yang ada di dalam jiwa. Jiwa yang yakin bahawa Allah itu ada. Jiwa yang tunduk patuh dan pasrah pada aturanNYA.
Apabila hadiah Ramadan dimanfaatkan sehabis baik dalam sebulan, kita akan rasa syahdu saat Ramadan melabuhkan tirai. Pasti kita mengharapkan bulan Ramadan akan bertamu lagi pada tahun hadapan.
Hadiah 1 : Puasa
Allah berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
Wahai orang-orang yang beriman..

Ini adalah ayat seruan untuk orang beriman. Apa saja arahan Allah selepas seruan ini adalah untuk meningkatkan tahap iman kita. Buat ikut aturannya baru rasa meningkat iman.

Di hujung ayat pula diungkapkan:

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Mudah-mudahan kamu mendapat taqwa

Puasa agar meningkat rasa taqwa. Taqwa ini bermaksud sedar diri hidup bertuhan. Sedar diri hamba. Ikut segala aturanNya. Berwaspada terhadap apa yang ditegah.

Hadiah 2 : Al-Quran
Bulan Ramadan adalah bulan Al-Quran.

Al-Quran mempunyai 3 fungsi yang kita dapat manfaatkan. Antaranya:

1. Petunjuk
2. Menerangkan, menjelaskan dan memperincikan petunjuk.
3. Pemisah antara yang baik atau sebaliknya

Al-Quran adalah kalam Allah. Kita perlu membacanya dan mentadabburnya sehingga kita merasai ada interaksi dalam jiwa. Bila wujud interaksi, emosi kita akan tersentuh seolah-olah kita membaca novel atau menonton filem. Bahkan lebih dahsyat lagi apabila terasa belaian Al-Quran yang menakjubkan.

Hadiah 3 : Doa
Kita berdoa semoga setiap langkah kita dipimpin olehNya.
Allah sedia mendengar.
Allah sedia memperkenankan doa.
Allah menjawab doa dengan cara yang paling baik.
Setiap langkah sentiasa dalam panduan. Selamat dan tetap fokus.

Sungguh Allah itu Dekat. Satu lagi dimensi rasa yang mahu kita tingkatkan lagi pada Ramadan tahun ini.

Hadiah 4 : Solat taraweeh
Jika dibilang pasti terasa banyak. Jika diamati pada kualiti pasti terasa nikmat. Taraweeh membawa erti rehat yang banyak.
Pasti ada aturan untuk meraih solat yang memberi impak. Ramadan peluang untuk meningkatkan kembali kualiti berhubung denganNya melalui solat taraweeh. Pada setiap solat perlu ada interaksi dengan apa yang dibaca oleh imam. Bukan sekadar aktiviti fizikal dalam solat.
Melazimi solat teraweeh satu persediaan penting untuk menanti malam yang paling istimewa. Malam yang hanya ada di bulan Ramadan. Itulah hadiah ke lima.

Hadiah 5 : Lailatul Qadar
Lailatul Qadar hanya ada di bulan Ramadan. Hadiahnya tersedia untuk kita ambil. Sungguh untung siapa yang dapat. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Hadirnya adalah rahsia. Tiada siapa dapat buat ketetapan dan umumkan seperti hebahan bermula Ramadan dan syawal.

Malam yang perlu kita usaha untuk dapatkan agar ia menjadi antara hadiah bermakna untuk Ramadan kali ini. Kerana ganjarannya luar biasa. Apatah lagi impak pada diri dan hidup.

Untuk dapatkan hadiah ini bukan cukup sekadar menunggu sahaja. Ia berbeza dari malam-malam yang lain. Caranya ialah dengan menggunakan sebaiknya 4 hadiah sebelum ini.

Inilah serba sedikit refleksi saban tahun pada indahnya Ramadan. Nikmat bertamu meneguk kasih rahmatNya di bulan yang begitu mulia. Sungguh, bulan ini memberi 1001 harapan untuk jiwa.

Moga puasa kita tidak sekadar lelah menahan lapar dan dahaga. Moga Ramadan kali ini penuh impak untuk menuju hidup bahagia dan berjaya.

Penulis : Mardhiah Samsuri

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s