Isu Semasa

Kemandirian Ekonomi dan Kebebasan Minda

PRU 14 sudahpun melabuhkan tirainya, rakyat juga sudah memilih untuk berubah. PRU kali ini menyaksikan Barisan Nasional kalah buat pertama kalinya sejak PRU pertama, sehinggakan pengerusinya terpaksa bertindak meletakkan jawatan.
. . .
Pada malam sebelum pilihanraya, saya meluangkan sedikit masa untuk melepak di gerai burger milik Usahawan Budak Sekolah Selangor. Ia adalah gerai yang saya usahakan untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Gerai ini diuruskan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar sekolah di kawasan taman perumahan saya sejak 2 bulan yang lalu.

Pada malam itu, seorang pelajar yang juga merupakan key player gerai telah memohon kebenaran untuk pulang dari tempat kerja lebih awal.

Fir : “Cikgu, saya nak gerak awal malam ni”.
Saya : “Nak ke mana?”
Fir : “Nak pergi bawa bendera BN”.
Saya : “Kenapa tak bawa bendera PKR ke PAS ke?”
Fir : “BN bagi RM250. PKR tak bagi, PAS suruh niat kerana Allah. Saya nak beli barang tak boleh bayar pakai niat.”

Saya kelu. Hanya mampu menasihatkan supaya berhati – hati semasa menunggang dan berkonvoi serta mengelakkan diri daripada sebarang provokasi. Untuk makluman, Fir merupakan pelajar Tingkatan 5 yang lahir daripada keluarga bermasalah. Dia tinggal bersama datuknya, berhampiran dengan rumah ibu bapanya.
Sebenarnya, naratif sebegini agak biasa didengari dalam kalangan belia yang sebaya atau sedikit muda daripada saya. Namun, mendengar kata – kata seperti ini daripada seorang pelajar Tingkatan 5, benar-benar menakutkan saya. Jika sebelum ini saya hanya sekadar mendengar cerita, kali ini saya menjadi sebahagian daripada cerita itu. Golongan ini adalah kelompok yang bakal menjadi pengundi pada PRU 15 nanti. Andai sekarang mereka sudahpun terbiasa mengaitkan politik dengan wang, bagaimanakah pertimbangan mereka apabila mengundi kelak?

Hakikat yang Menyedihkan

Dalam Dunia Pendidikan hari ini, adalah mustahil bagi meneruskan pendidikan di peringkat lebih tinggi menggunakan duit poket sendiri. Para pelajar sememangnya tidak banyak pilihan melainkan meminjam kepada institusi kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain mengharapkan sedikit bantuan kewangan daripada yayasan negeri ataupun pihak lembaga zakat negeri masing – masing.

Maka, bertebaranlah graduan universiti ini setelah tamat pengajian, untuk mencari peluang pekerjaan yang semakin tipis dan tidak berbaloi dengan kelayakan mereka. Terjunlah mereka ke dalam bidang pekerjaan yang tidak setara serta tidak mempunyai perkaitan langsung dengan segala ilmu yang dipelajari sewaktu menuntut di universiti.

Semakin hari, mereka semakin tersepit dan terhimpit dengan tekanan ekonomi yang semakin menggila. Bahkan, diburukkan lagi dengan ketidakupayaan untuk keluar daripada daripada tekanan tersebut. Segala ilmu yang dipelajari daripada buku teks yang tebal hanyalah sekadar untuk bekerja dengan majikan dan pada majikanlah tempat bergantung harap. Dengar atau berhenti!

Dalam suasana sebegjni juga, pelbagai skim cepat kaya dan perniagaan yang menggunakan teknik head hunting mengambil kesempatan untuk menipu dan mengaut segala keuntungan tanpa belas ehsan. Bukan sedikit, bahkan ramai anak – anak muda yang terjebak sehingga terbeban dengan hutang berpuluh – puluh ribu, bahkan sehingga beratus ribu ringgit di usia yang sangat muda. Malah, sudah mencapai jumlah berbillion ringgit wang rakyat Malaysia, yang ditipu sehingga sebahagiannya diisytiharkan muflis.

Pendidikan Keusahawanan

Sepanjang lebih 4 tahun saya mengusahakan gerakan Usahawan Budak Sekolah Selangor (UBSS), saya telah menyaksikan ramai alumni UBSS yang mampu berdikari untuk mencari sumber kewangan sendiri melalui perniagaan dalam pelbagai bidang. Ada yang telah membuka syarikat sendiri seawal usia 18 tahun, ada yang telah mencapai keuntungan puluhan ribu ringgit dan ada juga yang masih lagi bertatih bagi mencari rentak dalam Dunia Perniagaan dan Keusahawanan. Sebahagian besar daripada alumni ini sedang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

Saya berasa bangga apabila beberapa orang daripada mereka berjaya menyambung pelajaran tanpa mengharapkan sebarang bantuan kewangan daripada PTPTN mahupun mana – mana institusi kewangan yang lain. Segala perbelanjaan yang berkaitan dengan pengajian dibayar melalui hasil perniagaan yang mereka usahakan dengan kudrat mereka sendiri.

Oleh: Haris Harun

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s