Ramadhan

SOLEH RITUAL TETAPI TIDAK SOLEH SOSIALNYA?

Al-Harith al-Muhasibi berkata: 

“Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar darinya.”

Mungkin ramai Mahasiswa yang tidak sedar. Masa berlalu begitu pantas. Ya terlalu pantas sehingga manusia alpa Ramadan sudah tiba. Sewaktu penulis mengarang artikel ini, sudah 24 kali Ramadan berlalu dalam hidup penulis. 17 Ramadan 1438. Pantas sungguh masa.

PENURUNAN AL-QURAN DARI LANGIT

Setibanya 17 Ramadan setiap tahun, pastinya Muslim di Malaysia akan menyambut perayaan Nuzul al-Quran. Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi.
Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran.

Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran. Al-Quran pula bermaksud kalam Allah yang merupakan mukjizat, yang diwahyukan kepada Rasul Allah saw melalui perantaraan Malaikat Jibril as., diturunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Ikhlas, diriwayat secara mutawatir serta membacanya termasuk ibadah. 
Ringkasnya, Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah, sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.

EGOSENTRIK? PENTINGKAN DIRI?

Seperti penulis lain, setiap penulisan pasti bermula dengan persoalan akar, yang menjadikan isi artikel mula mencapah. Tanya penulis, “apa erti Ramadan tahun ini?”.

Setiap Muslim yang melalui Ramadan pasti mahu memaknakan Ramadan. Tanyalah sesiapa pun, pasti jawapan mereka sekitar mahu menjadi manusia yang paling beruntung, yang menghidupkan ibadah setiap detik dalam Ramadan.

Namun, mengapakah ibadah yang dilakukan seringkali bersifat egosentrik dan pentingkan diri sendiri? Sedarkah kita wahai Mahasiswa?

Kita mahu ke syurga tetapi seorang diri. Hairan. Bukankah sepatutnya kesolehan ritual melahirkan kesolehan sosial?

Ya. Kita sangat sibuk. Sangat sibuk berkongsi juadah apa yang dibeli di bazaar, lauk apa untuk berbuka, terawih di masjid mana, persiapan itu dan ini sehingga terlupa akan golongan miskin, tertindas, gelandangan, yang wujud dalam komuniti kita.

Kita sangat sibuk sehingga tidak sempat memikirkan hal mereka. Bukankah antara pesanan terbesar Ramadan adalah untuk mengingati golongan miskin yang bersusah payah menyara hidupnya?

Selain itu, apakah falsafah disebalik galakan bersedekah di bulan Ramadan?

Mengapa Rasul Allah saw sangat pemurah ketika Ramadan?

Tanya diri kita, mengapa berbuka dengan kurma itu sunnah?

Mengapa tidak berbuka dengan kambing mungkin?

Apa falsafah disebalik itu?

Tanya lagi, adakah saat kita berbuka, masih ada insan lain yang tidak punya makanan untuk berbuka?

Yang mungkin telah pun ‘berpuasa’ lebih awal dari kita?

Mengapa kita beli makanan sehingga membazir? 

Tanya diri, Tanya iman. Kenapa hanya fikir diri sendiri sahaja?
Tanya.

TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN

Sempena Nuzul Quran, mari kita mengambil semangat al-Quran. Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
 
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

MAKSUDNYA: “(AL-QURAN INI) SEBUAH KITAB YANG KAMI TURUNKAN KEPADAMU (DAN UMATMU WAHAI MUHAMMAD), -KITAB YANG BANYAK FAEDAH-FAEDAH DAN MANFAATNYA, UNTUK ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA BERINGAT MENGAMBIL IKTIBAR.”

Berdasarkan dalil di atas, tujuan al-Quran itu jelas. Al-Quran itu menghadirkan segala faedah dan manfaat yang sememangnya terlalu banyak untuk dikongsikan sini.

Manfaat dan faedahnya bukan hanya dirasakan manusia bahkan seluruh alam cakerawala turut mendapat manfaatnya.

Pastinya, segala isi al-Quran bukan sebagai penjenamaan mahupun menjadi hujah kerana nafsu duniawi, tetapi nilai-nilainya seperti rahmah, keadilan, menolak kezaliman, menjaga nyawa, membantu yang lemah perlu dibumikan agar matlamat, prinsip dan maqasid yang sesuai dengan kemanusiaan tercapai.

Demikian al-Quran hadir merubah nasib manusia. Hadir menghidupkan peradaban manusia. Membangunkan hidup manusia. Mendidik manusia agar berakhlak mulia dan menolak kezaliman.

Mendidik manusia agar tidak pentingkan diri serta menyeru ke arah perpaduan sejagat. Ini terbukti melalui wahyu pertama Surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang menekankan perihal pendidikan melalui pembacaan sekaligus integrasi tauhid sebagai sumber segala ilmu pengetahuan.
Inilah yang dimaksudkan “soleh ritual melahirkan kesolehan sosial”. Beribadah dalam ruang lingkup tidak syok sendiri, di samping memahami dan membantu insan lain yang mungkin menghadapi kesusahan seperti tiada makanan, tiada tempat tinggal serta lain-lain keperluan.

Secara umumnya, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

1 Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.

2 Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.

3 Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.

4 Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.

5 Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.

6 Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.

KESIMPULAN

Kita perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Bacalah al-Quran. Jangan sesekali biarkan ia menjadi tempat mengumpul habuk Al-Quran tidak turun saja-saja tanpa sebab.
Ia diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia. Bahkan antara nilai yang terpenting, Islam menganjurkan perpaduan dan kesatuan serta bertaaruf antara satu sama lain agar ikatan ukhuwah begitu ampuh sesama manusia.

Kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna :

“AL-QURAN AL-KARIM ADALAH SEBUAH PERLEMBAGAAN YANG LENGKAP MERANGKUMI SELURUH HUKUM ISLAM. AL-QURAN ADALAH SUMBER YANG MENCURAHKAN SEGALA KEBAIKAN DAN ILMU KE DALAM HATI YANG BERIMAN. AL-QURAN ADALAH SUMBER YANG TERBAIK UNTUK PARA AHLI IBADAT MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT DENGAN CARA MEMBACANYA.” 

Akhir sekali, marilah kita Mahasiswa menjadikan Nuzul al-Quran sebagai inspirasi. Inspirasi untuk terus memaknakan Ramadan. Inspirasi untuk terus membumikan nilai-nilai al-Quran.
Inspirasi untuk menjadi qudwah hasanah. Inspirasi untuk memperbaiki diri sekaligus membaiki masyarakat sosial. Inspirasi untuk bersatu hati serta bertoleransi antara satu sama lain agar kita semua mencapai kebahagiaan abadi.

Inspirasi untuk membangunkan negara memacu perubahan sekaligus menjadi negara rahmah, iaitu negara yang harmoni aman makmur serta diampuni Tuhan.
Wallahu’alam.

Penulisan oleh :-

Amir ‘Izzuddin Bin Muhammad

Isu Semasa

Kemandirian Ekonomi dan Kebebasan Minda

PRU 14 sudahpun melabuhkan tirainya, rakyat juga sudah memilih untuk berubah. PRU kali ini menyaksikan Barisan Nasional kalah buat pertama kalinya sejak PRU pertama, sehinggakan pengerusinya terpaksa bertindak meletakkan jawatan.
. . .
Pada malam sebelum pilihanraya, saya meluangkan sedikit masa untuk melepak di gerai burger milik Usahawan Budak Sekolah Selangor. Ia adalah gerai yang saya usahakan untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Gerai ini diuruskan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar sekolah di kawasan taman perumahan saya sejak 2 bulan yang lalu.

Pada malam itu, seorang pelajar yang juga merupakan key player gerai telah memohon kebenaran untuk pulang dari tempat kerja lebih awal.

Fir : “Cikgu, saya nak gerak awal malam ni”.
Saya : “Nak ke mana?”
Fir : “Nak pergi bawa bendera BN”.
Saya : “Kenapa tak bawa bendera PKR ke PAS ke?”
Fir : “BN bagi RM250. PKR tak bagi, PAS suruh niat kerana Allah. Saya nak beli barang tak boleh bayar pakai niat.”

Saya kelu. Hanya mampu menasihatkan supaya berhati – hati semasa menunggang dan berkonvoi serta mengelakkan diri daripada sebarang provokasi. Untuk makluman, Fir merupakan pelajar Tingkatan 5 yang lahir daripada keluarga bermasalah. Dia tinggal bersama datuknya, berhampiran dengan rumah ibu bapanya.
Sebenarnya, naratif sebegini agak biasa didengari dalam kalangan belia yang sebaya atau sedikit muda daripada saya. Namun, mendengar kata – kata seperti ini daripada seorang pelajar Tingkatan 5, benar-benar menakutkan saya. Jika sebelum ini saya hanya sekadar mendengar cerita, kali ini saya menjadi sebahagian daripada cerita itu. Golongan ini adalah kelompok yang bakal menjadi pengundi pada PRU 15 nanti. Andai sekarang mereka sudahpun terbiasa mengaitkan politik dengan wang, bagaimanakah pertimbangan mereka apabila mengundi kelak?

Hakikat yang Menyedihkan

Dalam Dunia Pendidikan hari ini, adalah mustahil bagi meneruskan pendidikan di peringkat lebih tinggi menggunakan duit poket sendiri. Para pelajar sememangnya tidak banyak pilihan melainkan meminjam kepada institusi kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain mengharapkan sedikit bantuan kewangan daripada yayasan negeri ataupun pihak lembaga zakat negeri masing – masing.

Maka, bertebaranlah graduan universiti ini setelah tamat pengajian, untuk mencari peluang pekerjaan yang semakin tipis dan tidak berbaloi dengan kelayakan mereka. Terjunlah mereka ke dalam bidang pekerjaan yang tidak setara serta tidak mempunyai perkaitan langsung dengan segala ilmu yang dipelajari sewaktu menuntut di universiti.

Semakin hari, mereka semakin tersepit dan terhimpit dengan tekanan ekonomi yang semakin menggila. Bahkan, diburukkan lagi dengan ketidakupayaan untuk keluar daripada daripada tekanan tersebut. Segala ilmu yang dipelajari daripada buku teks yang tebal hanyalah sekadar untuk bekerja dengan majikan dan pada majikanlah tempat bergantung harap. Dengar atau berhenti!

Dalam suasana sebegjni juga, pelbagai skim cepat kaya dan perniagaan yang menggunakan teknik head hunting mengambil kesempatan untuk menipu dan mengaut segala keuntungan tanpa belas ehsan. Bukan sedikit, bahkan ramai anak – anak muda yang terjebak sehingga terbeban dengan hutang berpuluh – puluh ribu, bahkan sehingga beratus ribu ringgit di usia yang sangat muda. Malah, sudah mencapai jumlah berbillion ringgit wang rakyat Malaysia, yang ditipu sehingga sebahagiannya diisytiharkan muflis.

Pendidikan Keusahawanan

Sepanjang lebih 4 tahun saya mengusahakan gerakan Usahawan Budak Sekolah Selangor (UBSS), saya telah menyaksikan ramai alumni UBSS yang mampu berdikari untuk mencari sumber kewangan sendiri melalui perniagaan dalam pelbagai bidang. Ada yang telah membuka syarikat sendiri seawal usia 18 tahun, ada yang telah mencapai keuntungan puluhan ribu ringgit dan ada juga yang masih lagi bertatih bagi mencari rentak dalam Dunia Perniagaan dan Keusahawanan. Sebahagian besar daripada alumni ini sedang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

Saya berasa bangga apabila beberapa orang daripada mereka berjaya menyambung pelajaran tanpa mengharapkan sebarang bantuan kewangan daripada PTPTN mahupun mana – mana institusi kewangan yang lain. Segala perbelanjaan yang berkaitan dengan pengajian dibayar melalui hasil perniagaan yang mereka usahakan dengan kudrat mereka sendiri.

Oleh: Haris Harun

Akhlak

Adab Berbeza Pendapat di Kalangan Sahabat Radhiallahu ‘Anhum

Sedia maklum bahawa telah tercatat di dalam sejarah Islam satu peperangan yang amat memilukan, iaitu peperangan al-Jamal di antara Khalifah Ali bin Abi Talib r.a. di satu pihak dengan tentera pimpinan Zubair, Talhah dan Aisyah radhiallahu ‘anhum di pihak yang satu lagi. Tidak ada siapa yang menginginkan peperangan itu berlaku. Namun itulah kehendak serta taqdir Yang Maha Esa supaya kita dapat belajar banyak perkara.

Sewaktu pertempuran sedang memuncak, Zubair telah bertindak meninggalkan medan pertempuran. Beliau diekori oleh Amru bin Jurmuz.
Zubair berhenti di satu lembah, Amru membunuhnya semasa beliau sedang tidur. Apabila khabar kematian Zubair sampai ke pengetahuan Ali r.a. beliau berkata:
“Berikanlah khabar gembira kepada pembunuh Ibn Sofiyyah dengan balasan neraka!”

Demikian mulianya akhlak Sayyidina Ali r.a. dan betapa tulusnya kasih sayangnya terhadap saudaranya. Zubair yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah pelaksanaan qisas terhadap pembunuh Uthman bin Affan r.a. sehingga membawa kepada tercetusnya peperangan. Namun perpezaan pendapat itu tidak sedikitpun menjejaskan kasih sayangnya kepada Zubair. Ali bukan sahaja tidak gembira dengan kematian Zubair, malah sebaliknya mengutuk keras pembunuhnya.

Manakala Talhah r.a. meninggal dunia di medan pertempuran akibat terkena panah. Ali duduk di sisi jenazah Talhah sambil menyapu debu-debu di wajahnya yang kaku seraya berkata:
“Rahmat Allah ke atasmu wahai Abu Muhammad. Berat bagiku melihat engkau terbunuh di bawah sinaran bintang-bintang di langit.” Kemudian beliau berkata: “Aku mengadu kepada Allah akan kelemahanku … Demi Allah! Aku bercita-cita kalaulah aku mati sebelum hari ini 20 tahun yang lalu. Aku sungguh-sungguh berharap agar aku, Talhah, Zubair dan Uthman termasuk di dalam kalangan mereka yang disifatkan Allah di dalam firmanNya (bermaksud) “Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing (di dalam syurga).”
(Al-Hijr 15:47)

Sikap serta layanan Ali r.a. terhadap Ummul-Mukminin Aisyah r.a. pula:
Ketika beliau diberitahu bahawa di pintu rumah tempat Aisyah r.a. menumpang terdapat dua orang lelaki mencela dan mengutuk Aisyah r.a., beliau mengarahkan Qa’qa’ bin Amru agar menyebat kedua-dua lelaki itu 100 kali sebatan setiap seorang dan membuka baju kedua-duanya.
Ketika Aisyah r.a. hendak berangkat meninggalkan Basrah, Ali menyediakan segala kelengkapan dan keperluan perjalanan merangkumi kenderaan, bekalan serta barang-barang. Ali r.a. memilih 40 orang wanita yang terkenal di kalangan penduduk Basrah untuk menemani Aisyah r.a. serta mengarahkan adik Aisyah, Muhammad bin Abu Bakar r.a. (yang memihak kepada Ali dan bersama di dalam pasukannya) berangkat bersama dengan Aisyah r.a.
Ali r.a. sendiri mengucapkan selamat jalan dan berjalan mengiringi rombongan itu berbatu-batu jauhnya.

Aisyah r.a. apabila ditanya tentang kedudukan mereka yang terbunuh di dalam peperangan al-Jamal, sama ada mereka yang berada di pihaknya atau di pihak Ali, beliau berkata: “Semoga Allah mencurahkan rahmat ke atasnya” pada setiap orang yang disebut namanya di hadapannya.

Ustazah Maznah Daud