Isu Semasa

Bingkisan Wasatiyyah

Pada era yang sangat mencabar ini, pelbagai  krisis yang menyerang dunia umat Islam. Polemik yang tidak berkesudahan. Misalnya kemunculan suatu kelompok yang melaungkan slogan slogan jihad. Mengibarkan panji panji hitam lalu mendakwa mereka adalah pejuang Islam sejati. Kelompok yang sangat ekstrim. Berjuang dengan pedang dan senjata semata mata. Sesiapa yang tidak menerima dakwah mereka akan dipancung. Tidak langsung menonjolkan nilai nilai Islam sebagai agama yang rahmah dan mahabbah. Itulah modus operandi ISIS ( Islamic State of Iraq ) yang dipelopori  oleh Abu Bakar Al Baghdadi. Terang dan nyata mereka ini membawa suatu virus kepada umat manusia tentang definisi agama Islam itu adalah bermula dan berakhir dengan mata pedang sahaja. Sungguh menyakitkan.

Suatu ketika dahulu, gejala takfir menjadi suatu permasalahan yang tidak punya penyelesaian. Terutamanya kelompok kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai islamis dan agamawan. Jika  ada suatu kelompok manusia yang tidak bersetuju dengan mereka, habis dikafirkan secara membabi buta. Tidak hairanlah mereka itu ahli akademik, ahli politik dan ahli agama. Padahal mereka hanya berbeza dalam ruangan yang boleh berbeza dan ruang cabangan atau furu’ dalam agama. Tetapi kelompok ini semakin menjadi menjadi apabila ada pendokong pendokong mereka yang taksub terhadap ideologi mereka. Hinggakan kekal komited untuk menegakkan benang yang basah. Menggunakan agama  sebagai modal untuk menjatuhkan lawan dengan mengkafirkan kelompok yang tidak sependapat dengan mereka. Gaya mereka seumpama khawarij barangkali. Sungguh merugikan umat islam dan menambah lagi kecelaruan kepada masyarakat untuk menilai.

Polemik ini semakin serius. Jikalau tiada tindakan ianya akan menjadi semakin parah. Kerana akhirnya orang ramai akan memahami Islam yang ekstrim. Sungguh bahaya. Sedangkan agama Islam ini sifatnya adalah alami serta komprehensif. Sifatnya yang wasatiyyah dalam semua neraca kehidupan. Sesuai mengikut semua zaman dan sentiasa relevan. Sarat dengan nilai nilai manusiawi. Begitulah komentar Sheikh Yusuf Qardhawi  dalam bukunya yang bertajuk “ Islam Agama Wasatiy “. Banyak memberi penekanan yang murni terhadap memahami makna ad deen ini dalam kaca mata wasatiy iaitu kesederhanaan.

Ini antara cebisan cebisan ringkasan ciri ciri wasatiyyah yang diketengahkan oleh Sheikh Yusuf Al Qardhawi :

1.            Kefahaman Islam yang menyeluruh sebagai akidah, syariah, ilmu, amal, ibadah, muamalat, budaya, akhlak, kebenaran, kekuatan, dakwah, kenegaraan, agama, dunia, tamadun dan umat.

2.            Beriman dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai sumber hukum dan perundangan serta panduan hidup serta keperluan memahami nas yang bersifat cabang berdasarkan objektif umum.

3.            Memperkasakan nilai ketuhanan dan dan menekankan ibadah yang menjadi objektif utama penciptaan manusia.

4.            Menekankan nilai akhlak yang ditegaskan oleh Islam sama ada akhlak individu atau masyarakat. Menolak pendirian mereka yang menganggap hanya ibadat zahir yang mewakili keseluruhan tuntutan agama. Juga menolak pendirian golongan yang memadai hanya pengamalan akhlak sahaja.

5.            Mengembangkan dakwah Islami menjadi agenda memahamkan umat islam tentang agama , memperbetulkan kefahaman dan memperkukuh penghayatan Islam. Dakwah yang universal dan pendekatan yang harmoni.

6.            Mengajak kepada kesatuan rohani dan jasmani , ketuhanan dan kemanusiaan, akal dan perasaan. Memberikan setiap pihak haknya tanpa melampaui batasan. Dengan itu sempurnalah ibadat, pengetahuan, kesukanan dan sebagainya

7.            Mengimarahkan dunia dan membangunkannya dari aspek kebendaan dan kemanusiaan. Menjaga alam sekitar dari setiap sudut. Bekerjasama ke arah kehidupan lebih selesa dan indah.  

Keunikan buah fikiran yang yang diutarakan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi menunjukkan bahawa ketegasan peranan beliau sebagai ulama kotemporari demi menyatukan perpaduan umat Islam pada saat ini. Pemahaman terhadap pengertian Islam yang sewajarnya harus dipulihkan dengan segera. Jadikan wahyu sebagai suatu panduan yang hakiki tanpa menafikan keberadaan akal dalam melakukan suatu keputusan demi memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Maka ayuhlah lebih memaknai makna Wasatiy!

Penulis :

Muhammad Luthfi Bin Mohd Yusri

Isu Semasa

Pornografi Musnahkan Suami Isteri

Fakta 1

“Dia (bekas suami) seperti orang gila seks kerana sering menonton video lucah, berbual lucah dengan perempuan tidak dikenali, gemar melihat gambar lucah dan lebih teruk apabila pernah cuba mengacau adik saya.”

Fakta 2

Tidak tahan dengan sikap suami inginkan aksi seks secara terlampau sehingga memudaratkan menjadi antara faktor mendorong isteri memfailkan penceraian di negeri ini. (Sumber Sinar Harian, tajuk ; Suami gila seks punca isteri minta cerai, NOHASPIDA YATIM 20 JULAI 2017 )

Dua kes ini menunjukkan apabila seseorang bernikah, isu seks tidak akan selesai juga jika salah seorang pasangan mempunyai keinginan seks yang tidak mampu dikawal. Akhirnya masalah kekeluargaan berlaku yang membawa kepada penceraian.

Isu penceraian di Malaysia tidak asing lagi. Malah telah mencatatkan rekod peningkatan yang mendadak sejak akhir akhir ini.

Seramai 171,252 pasangan beragama Islam bercerai dari 2014 hingga 10 Julai lalu dengan Selangor, Sabah dan Johor mencatatkan kadar perceraian tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata mengikut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, sebanyak 59,712 kes perceraian dicatatkan pada 2014; 63,463 kes (2015) dan 48,077 kes sehingga 10 Julai lalu.

Salah satu punca penceraian ini ialah masalah ketagihan video lucah atau di sebut pengaruh Pornografi. Ramai beranggapan bila rumah tangga di dirikan maka masalah ini akan selesai. Namun sebaliknya tidak begitu.

Ustazah JQAF tumbuk Suami

========================

Saya pernah mendapat runggutan masalah. Seorang ustazah telah menumbuk suaminya. Ustazah berkenaan pada awalnya telah mengetahui suaminya merupakan penagih pornografi.

Sejak awal perkahwinan, beliau cuba membantu suaminya untuk memulihkan ketagihan suaminya. Segala keinginan suaminya dituruti asalkan tidak melanggar syarak yang telah di tetapkan.

Namun sayang, dek kerana ketagihan itu suaminya telah ‘makan luar’. Hal ini telah diketahui isterinya. Dengan perasaan yang marah, si isteri yang ber status ustazah telah menumbuk suaminya. Ini semua kerana geram dan marah.

Inilah bahana video lucah atau PORNOGRAFI.

Modul Perkahwinan perlu diKEMASKINIkan

==================================

Zaman semakin berkembang. Maklumat hari ini berada di hujung hari sahaja. Segala perkara mudah dicari. Hanya kesedaran dan pencerahan dapat memberi sedikit pengetahuan kepada bakal pengantin.

Hari ini kursus kahwin sebagai syarat perkahwinan. Terdapat peserta yang hadir hanya ingin mendapatkan sijil sahaja. Tadah telinga sehingga tamat. Inputnya? Ke laut. Itu belum lagi yang memonteng.

Penyampai isi atau penceramah pula ada yang memberi secara ‘old school’ sehingga yang berat di pandang enteng oleh peserta. Silibusnya pula se akan akan sama dari tahun ke tahun.

Sedangkan masalah penceraian setiap tahun meningkat. Jika kita amati kembali masalah penceraian, salah satu puncanya adalah masalah seksual dan ketagihan video pornografi.

Alasan mereka menonton adalah untuk mendapat ilmu bagaimana jimak, bersetubuhan atau kebersamaan berlaku. Hal ini bukan terjadi oada orang biasa. Berlaku juga pada mereka yang memegang status asatizah.

Inilah kelemahan kursus perkahwinan kita. Semasa dalam slot penceramah akan berkata

 “ nanti dah kahwin korang tahulah nak buat apa “

Sambil di sambut dengan gelak tawa. Tidak cukup dengan itu ada yang menyamakan dengan binatang.

“ kucing tahu apa nak buat, korang x kan tak

tahu “

Oleh kerana itu sudah tiba masanya kursus kursus perkahwinan ditambahkan masanya. Dari 2 hari ke seminggu contohnya. Ini bertujuan memberi kefahaman kepada bakal pengantin bukan sahaja mengenai tauhid, ekonomi, hal luaran rumah tangga tetapi perlu penekanan kepada hubungan di atas katil atau dalam selimut.

Jika hal seperti ini mahu dilakukan, maka pengasingan lelaki perempuan perlu dilaksanaka. Agar pencerahan dan keterangan yang telus dapat disampaikan.

Direkodkan terdapat suami yang ketagihan video pornografi melakukan kezaliman terhadap isterinya. Si suami gemar melakukan aksi seperti dalam video tontonannya.

Maka jika sekiranya input bahaya PORNOGRAFI diberikan kepada peserta kursus kahwin, sedikit sebanyak telah memberi input tentang permasalahan ini.

Oleh kerana itu MODUL GOODBYE PORNOGRAPHY berbesar hati jika mana mana institusi yang menganjurkan kursus perkahwinan dapat kita bekerjasama agar setiap individu dapat menjaga batasan pergaulan dan kehidupan mereka.

‘Porns kill Love’ Pornografi membunuh kasih sayang bukan menambahkan perasaan cinta. Maka marilah kita berganding bahu dalam membanteras masalah PORNOGRAFI dalam hubungan suami isteri agar kes kes penceraian dapat di kurangkan.

MOHD FADHLI BIN OTHMAN

FOUNDER & SPEAKER MODUL GOODBYE PORNOGRAPHY

AKTIVIS MALAYSIANS AGAINST PORNOGRAPHY

PENULIS PENA SYARIAH

0137001920

Terjemahan

Islam & Negara Sivil

Hubungan antara undang-undang alam dan undang-undang legal, antara undang-undang agama dan undang-undang buatan manusia, ialah semuanya akan bertemu dengan isu-isu yang memerlukan perbicangan dan pemerhatian yang lebih mendalam. Proses ini perlu diiringi dengan perspektif baru yang mampu membentuk sisi pandang yang baru, yang membawa kita jauh dari pertembungan sempit ke arah mengharmonikan dan mengintegrasikan dengan luas.

Oleh itu, saya bangkitkan satu persoalan mengenai berapa jauhkah Islam dan komuniti Islam boleh harmoni dalam sebuah negara sivil, negara yang mana undang-undangnya tergantung kepada kehendak rakyat, dan sistem perundangan dikuasai oleh sebuah institusi yang dipilih melalui pilihanraya? Institusi ini juga meluluskan sebarang undang-undang yang memenuhi kehendak rakyat dengan berdasarkan matlamat semaksimum mungkin.

Untuk menjawab persoalan ini, saya pilih untuk menonjolkan perbuatan Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang pemimpin (imam) dan kepimpinannya seperti yang dihuraikan oleh ulama’ usul al-fiqh (prinsip mengeluarkan hukum shar’ie) klasik. Cara-cara ini menunjukkan sinar baru dalam perbuatan Nabi yang telah melepasi pemerhatian, dalam kaitannya dengan membangunkan pengalaman politik semasa seorang muslim. Hal ini boleh memberi sumbangan dalam membebaskan seorang muslim semasa daripada rantai pengalaman sejarah, yang mungkin membataskan kejayaan yang boleh memberi manfaat kepada kita dalam kehidupan manusia semasa.

Kepelbagaian Perbuatan Rasulullah

Perbuatan Rasulullah telah dihuraikan oleh ramai orang sebagai perbuatan-perbuatan satu dimensi yang semuanya diilhamkan oleh Tuhan. Namun, beberapa ulama’ fiqh (ilmu perundangan shar’ie) dan ulama’ klasik usul al-fiqh (ilmu teknik mengeluarkan perundangan shar’ie daripada sumber) menyanggah pandangan ini dan percaya bahawa pandangan ini bertentangan dengan asal perbuatan Nabi. Sesetengah ulama’ mencadangkan perbuatan-perbuatan Nabi dibahagikan. Antara pelopor ulama’ ini ialah Abi Muhammad ibn Qutaybah al-Dinori (meninggal 276H) dalam bukunya Ta’wil Mukhtalaf al-Hadtih (menghuraikan hadith yang bercanggah), al-Qadi `Iyad al-Yahsebi (meninggal 544H) dalam bukunya al-Shifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa (Penawar bagi mengenali hak-hak Nabi Pilihan), ibn Qayyim al-Jawziyah (meninggal 751H) dalam beberapa tulisannya, dan ilmuan India Shah Wali Allah al-Dahlwi (meninggal 1176H) dalam bukunya Hujjat Allah al-Balighah (Petunjuk Allah yang Agung).

Beberapa ulama mencadangkan beberapa jenis pembahagian bagi perbuatan-perbuatan Nabi.

Sheikh Muhammad al-Taher ibn ‘Ashour, penulis buku Maqasid al-Shari’ah al-Islamiah (tujuan dan prinsip shari’ah) antara ulama semasa yang membuat satu sumbangan bernilai dalam medan ini.

Tetapi ulama’ pelopor prinsip-prinsip hukum ialah Shihab ad-Din al-Qarafi (meninggal 684H) yang merupakan penghurai paling luas dalam membahagikan jenis-jenis perbuatan Nabi. Dia menggambarkan sisi-sisi pandang ini dalam beberapa bukunya seperti ensiklopedia Fiqhnya berjudul az-Zakhirah, dan bukunya dikenali dalam menggambarkan kategori-kategori ini. Terakhir, ada bukunya yang dikhususkan untuk perkara ini berjudul al-Ihkam fi Tamiez al-Fatwa ‘an al-Hakam wa Tasarufat al-Qadi wa al-Imam (Penjelasan dalam membezakan fatwa (pandangan hukum) daripada pemberi fatwa, serta perbuatan hakim dan pemerintah).

Berdasarkan usaha-usaha terkumpul ini, perbuatan Nabi boleh secara umumnya dibahagikan kepada:

1.      Perbuatan yang menjadi syariat. Perbuatan yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan dan ikutan. Perbuatan ini pula dibahagikan kepada:

a.      Perbuatan yang menjadi syariat secara umum. Perbuatan yang tujuannya menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari Kiamat. Perbuatan ini samada diriwayatkan atau diberi dalam bentuk fatwa (pandangan hukum).

b.      Perbuatan yang menjadi syariat secara khusus. Perbuatan ini dikaitkan dengan tempat tertentu, masa, keadaan, atau orang tertentu, dan bukan umum untuk seluruh umat. Perbuatan ini termasuklah pemberian hukum-hakam, kepemimpinan, dan perbuatan-perbuatan khusus. Perbuatan ini dikaitkan dengan orang yang ditujukan kepadanya dan bukan untuk selainnya. Ianya dihuraikan oleh sesetengah sebagai perbuatan sebahagian atau syariat sebahagian atau percakapan sebahagian.

2.      Perbuatan yang bukan menjadi syariat. Perbuatan-perbuatan yang bukan tujuannya untuk diikuti dan diteladani, samada daripada seluruh umat atau kepada yang ditujukan sendiri. Antara perbuatan ini adalah perbuatan yang berdasarkan sangkaan, perbuatan berkaitan kehidupan harian, perbuatan yang menunjukkan pengajaran, dan perbuatan peribadi.

Pembahagian ini mempunyai kesan baik dalam memahami agama dan menguruskan tradisi Nabi menghadapi isu-isu dengan cara satu segi (one-sided) yang biasa dilakukan oleh mereka yang tidak memahami kata-kata dan perbuatan kecuali dari satu perspektif, dan menganggap semuanya mempunyai cara yang sama. Mereka membataskan kata-kata ini dari aspek pilihan huruf dan perkataan, dari aspek bahasa, dan tidak melihat suasana yang meliputi konteks kata-kata tersebut. Mereka mensia-siakan fakta yang menyebut begitu banyak perbuatan Nabi boleh berubah dengan situasi baru dan lebih terkait dengan kes-kes tertentu secara umumnya.

Pendekatan sebegini belum lagi jika kita lihat tujuan perbuatan Nabi, matlamat, dan objektif pengajaran dan pernyataan itu. Dalam konteks ini, sunnah Nabi Muhammad SAW, berubah menjadi prinsip dan peraturan abstrak yang tiada kaitan dengan realiti yang dinamik, kerumitan hidup manusia, atau situasi-situasi baru yang akan berlaku seiring dengan peredaran zaman. Pendekatan sebegini menjadikan sunnah sebagai undang-undang yang disusun dalam dunia abstrak yang tiada kaitan dengan kepelbagaian situasi politik atau sosial dan lebih jauh lagi daripada sifat semulajadi hidup manusia.

Semua ini menjelaskan kenapa Shihab ad-Din al-Qarafi menyusun perbezaan antara jenis-jenis perbuatan Nabi yang berbeza sebagai satu asal perundangan yang patut diberi perhatian dan diambil berat. Setelah menggambarkan jenis-jenis perbuatan Nabi yang berbeza dan apakah perbezaannya, dia menyatakan, dengan kaedah membezakan perbuatan ini, apa sahaja yang perkara dalam topik ini yang datang kepada kamu boleh dibezakan jenis perbuatannya (selawat dan salam atasnya), jadi perhatikan dengan teliti, kerana ini merupakan salah satu keutamaan agama ini.

Ibn Qayyim al-Jawziyah juga menyebut satu peraturan penting, “kata-kata Nabi yang sebahagian dan juga peribadi tidak sepatutnya dijadikan sebagai (peraturan) umum, atau dijadikan yang umum sebagai khusus, kelak akan menimbulkan percanggahan dan kesilapan.”

Perbuatan Nabi sebagai pemimpin (imam)

Perbuatan-perbuatan Nabi sebagai pemimpin didefinisikan sebagai perbuatan-perbuatan Nabi SAW sebagai ketua negara: seorang yang menguruskan urusan negara mengikut cara yang menjaga kepentingannya, dan mengelakkannya dari apa sahaja keburukan. Nabi, sebagai pemimpin, membuat keputusan-keputusan dan prosedur yang perlu untuk mencapai objektif Shari’ah dalam masyarakat. Sesetengah ulama’ menamakan perbuatan sebegini sebagai polisi berasaskan Shari’ah atau kepimpinan negara.

Sesetengah ulama’ klasik dalam bidang prinsip-prinsip perundangan Islam (fiqh) mengira konteks ketika perbuatan Nabi berlaku, dalam kes kita ini, berkaitan dengan kepimpinan negara. Perbuatan Nabi sebagai pemimpin, seperti yang dihuraikan oleh al-Qarafi, “adalah tambahan kepada perbuatan-perbuatan Nabi yang lain, yang diilhamkan oleh wahyu, peraturan-peraturan agama, dan penilaian legal.” Seterusnya diikuti dengan kepimpinan Nabi tidak akan sama keadaannya seperti perbuatan Nabi dan penyampaian Nabi dalam risalah wahyu. Perbezaaan ini secara asasnya dari dua segi:

1.      Pemimpin, seperti disebutkan al-Qarafi, ialah seorang yang “berkuasa mengurus polisi awam rakyat dan kepentingan-kepentingan, menolak keburukan, menghalang jenayah, menghukum orang yang zalim, dan untuk memberi kemudahan kepada warga sesebuah kawasan…”

2.      Pemimpin diberikan kuasa eksekutif. Kuasa ini tidak diberikan kepada mufti mahupun hakim. Perlaksanaan tanggungjawab kepimpinan, dari segi definisi, “dimaksudkan untuk memasukkan kuasa dan kerajaan.”

Dalam isu ini, sangat penting untuk mengkaji perbuatan-perbuatan Nabi berkaitan kepimpinan, untuk menjelaskan perspektif matlamat yang mana ulama’ klasik dalam bidang prinsip perundangan enggan mengaitkan isu ini. Empat jenis utama dalam perbuatan Nabi dibincangkan di bawah ini.

1.      Perbuatan Perundangan Khas

Perbuatan Nabi dalam memimpin, yang tidak berasaskan wahyu, adalah sejenis perbuatan sebahagian yang khas berkaitan dengan mengurus status dan polisi masyarakat, dalam masa, tempat, dan suasana tertentu. Oleh itu, ibn al-Qayyim menghuraikan jenis ini sebagai “polisi sebahagian,” menurut kepentingan yang tersirat bagi sesebuah ummah pada masa dan tempat itu, dengan disuluh oleh suasana khas. Al-Taher ibn ‘Ashour menamakannya sebagai “perundangan sebahagian.”

Oleh itu, ianya tidak ditetapkan untuk seluruh ummah selamanya, manakala para imam dan pemimpin, yang mengikuti jejak langkah Nabi, tidak seharusnya mengikuti yang ini secara membuta tuli. Sebaliknya, mereka seharusnya mengikut cara dan lebih memberi perhatian kepada memenuhkan kepentingan yang diambil berat oleh Nabi Muhammad SAW dalam konteks suasana tersebut. Al-Qarafi menggambarkan jenis perbuatan Nabi ini sebagai “tidak patut dicontohi melainkan dengan keizinan pemimpin semasa kerana dia (selawat dan salam atasnya) tidak melakukannya di bawah pimpinannya; tiada keizinan untuk diikuti jenis perbuatan ini tanpa pengesahannya (pemimpin).”

Sewajarnya, perbuatan-perbuatan berkaitan kepimpinan negara ini dirujuk kepada pemimpin atau pihak berkepentingan dalam sesebuah masyarakat, yang memastikan objektif shari’ah diambil berat, dan kepentingan dijaga, sepertimana yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW, dengan mengambil kira sepenuhnya tempat, masa, dan suasana kejadian. Kebekuan tanpa anjal menuruti perbuatan-perbuatan ini, tanpa mengira keperluan untuk berubah, adalah bercanggah dengan objektif shari’ah sepertimana bercanggah dengan sunnah itu sendiri.

Contohnya, sekiranya kita menganggap kata-kata Nabi, “sesiapa yang menghidupkan satu tanah, maka ia menjadi milknya,” tradisi ini dianggap oleh para ulama’ yang melihatnya berdasarkan cahaya kepimpinan politik sebagai satu kuasa yang ada sewaktu hayat Nabi untuk memberi hak pemilikan tanah kepada sesiapa yang menghidupkannya. Setelah kematiannya, kuasa ini terletak dalam tangan pemimpin atau pihak berkaitan untuk mengelakkan atau untuk menguruskan sistem ini menurut kepentingan tertentu. Inilah maksud Imam Abu Hanifah apabila dia berkata, “tiada siapa boleh menghidupkan (dan menjadikannya milik) suatu tanah terbiar kecuali setelah diizinkan oleh pemimpin.”

Kata-kata Nabi Muhammad SAW, “siapa membunuh seseorang (dalam peperangan) maka dia akan mendapat miliknya,” menurut al-Qarafi, ialah satu perbuatan berkaitan kepentingan semasa sewaktu dia (selawat dan salam atasnya hanya menyebutkannya kerana keperluan ketika itu, untuk menggalakkan orang ramai berperang.” Kerana itulah al-Qarafi menyatakan, “apabila seorang pemimpin melihat hadith ini ada kepentingan, dia patut gunakannya. Jika tidak, dia tidak patut. Inilah yang kami maksudkan sebagai perbuatan berkaitan kepemimpinan.”

2.      Perbuatan Berkaitan Kepentingan Awam

Ciri perbuatan kedua yang utama seorang pemimpin ialah asalnya perbuatan-perbuatan ini menyasarkan untuk memperolehi kepentingan awam. Al-‘Ezz ibn Abdul Salam menjelaskan bahawa “jika bukan kerana pemimpin, kepentingan awam mungkin telah hilang dan keburukan awam mungkin berlaku.” Perkara yang memberi makna bagi kepimpinan ketua negara (atau imam) ialah menurut al-Qarafi, “untuk menjadi jelas dalam menguruskan kepentingan dan politik mentadbir rakyat.” Seumpamanya, seperti penghakiman memerlukan alasan, bukti, dan sokongan–mengeluarkan fatwa (pendapat undang-undang shar’ie) ialah berdasarkan bukti yang sah– perbuatan kepimpinan yang bergantung kepada “kepentingan hak rakyat terbaik atau semata-mata.” Perkara ini kerana pemimpin ialah seseorang yang diwakilkan untuk menguruskan polisi awam rakyat, menguruskan kepentingan awam, mengelakkan keburukan, menentang jenayah, menghukum kezaliman, dan memberi kemudahan kepada rakyat.”

Nabi Muhammad SAW pernah menghalang daging korban disimpan lebih dari tiga malam dengan menyebut, “simpanlah hanya untuk tiga hari dan sedekahkan bakinya.” Namun, pada tahun hadapan dia menyebut, “saya hanya menyebutkan sedemikian kerana ada orang memerlukan sedang menziarahi Madinah. Tetapi sekarang, makanlah, sedekahkan, dan simpanlah seperti yang kamu mahu.”

Nabi Muhammad menghalang daging disimpan lebih tiga hari pada tahun pertama kerana dia mengambil kira keadaan ekonomi dan kehidupan disebabkan ramainya yang menziarahi Madinah. Dia maksudkan dalam arahannya ini untuk menyelesaikan krisis dan mengurangkan tekanan. Bahkan ‘A’ishah menyebutkan dalam kata-kata lain, “dia (Nabi) hanya menyebutkan demikian pada tahun rakyat sedang kelaparan.  Jadi dia mahu yang kaya memberi kepada yang miskin”.

Kepentingan awam ini diambil kira apabila berhadapan dengan undang-undang legal. Ahmad Muhammad Shakir mengira “perbuatan Nabi Muhammad SAW ini sebahagian daripada perbuatan seorang pemimpin berkaitan dengan mendepani kepentingan rakyat, dan jangan diambil sebagai undang-undang dalam seluruh urusan awam.”

3.      Perbuatan Berkaitan Logik Peribadi

Apabila Nabi Muhammad SAW menyampaikan kata-kata Allah atau menjelaskan sesuatu isu keagamaan, dia melakukan sepertimana yang diwahyukan; ketika dia membuat keputusan sebagai imam atau pemimpin politik, dia sentiasa bekerja berdasarkan logik (ijtihad) peribadi, yang boleh jadi betul atau salah. Perkara kedua ini dipersetujui oleh semua ulama’ klasik dalam prinsip perundangan dan ulama’ perundangan (fiqh dan usul al-fiqh). Konsep ini diriwayatkan oleh Muhammad ibn Ali al-Shawkani, “telah dipersetujui oleh ulama’ Islam bahawa Nabi mungkin bersandarkan kepada logik peribadi dalam berdepan dengan kehidupan seharian, peperangan dan seumpamanya. Perbuatan sebegini dikhabarkan oleh Selim al-Razi dan Ibn Hazm; sama seperti yang sebenarnya dibuat oleh Nabi SAW apabila membuat keputusan untuk membuat perdamaian dengan (kabilah) Ghatfan dalam isu buah-buahan Madinah, dan apabila dia mencadangkan jangan dikacukkan benih buah-buahan Madinah.” Abu Bakr al-Jassas, Abu al-Hassan al-Basri, Imam al-Juwaini, dan Fakhru al-Din al-Razi memilih pendapat ini. Pilihan yang sama ditekankan oleh Ibn Battah melalui Taqi al-Din Ibn Taimiyah:

“Nabi dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk sesetengah keputusan dan arahannya dan ini bukti jelas bahawa banyak darinya berasaskan pendapat dan penilaian peribadi. Hal ini diaplikasikan atas penilaian Nabi dalam urusan seperti tawanan Badar, menerima tebusan mereka, dan membenarkan rakyat yang datang kepadanya dengan apa sahaja alasan untuk dikecualikan dari peperangan Tabuk, sehingga orang yang tiada alasan mengecualikan diri mereka sendiri. Juga, ayat “ambillah pandangan-pandangan mereka dalam berurusan,” (Al‘Imran 3:159). Jika penilaian-penilaian ini merupakan wahyu, Nabi tidak memerlukan sebarang nasihat pandangan.”

Contoh ini menjelaskan banyak perbuatan dan keputusan politik Nabi dan menunjukkan yang mana daripadanya yang merupakan logik peribadi.

Mengambil nasihat dan pandangan para sahabatnya dalam membuat keputusan merupakan bukti selanjutnya bahawa perbuatan Nabi sebagai pemimpin adalah berdasarkan logik peribadi. Jika isunya diilhamkan oleh wahyu, dia tidak akan terpaksa memerlukan sebarang nasihat. Tetapi sebenarnya, dia mendengar pandangan mereka, bertanya kepada pakar dan mempertimbangkan serta membincangkan semua urusan dengan pilihannya sendiri.

Para sahabat dahulunya membezakan antara tugasnya sebagai penyampai risalah dan wahyu dan tugasnya sebagai pemimpin politik dan ketenteraan. Jika mereka keliru, mereka akan meminta penjelasan dari Nabi. Contohnya soalan al-Hubab ibn Munzir mengenai tempat yang dipilih dalam Badar, “adakah ini tempat yang dipilih oleh Allah, atau ianya pendapat, peperangan, dan muslihat?” Contoh lain ialah bukti soalan Sa’d ibn Mu’adh dan Sa’d ibn ‘Ubadah dalam peperangan Parit (Khandaq), “wahai Rasul Allah! Adakah ianya satu perkara yang kalau kamu sukai untuk kami lakukan, atau ianya arahan Allah yang wajib kami taati, atau ianya satu perbuatan yang kamu lakukan untuk kepentingan kami?”

4.      Perbuatan Berkaitan Urusan-Urusan “Bukan Agama”

Frasa yang digunakan oleh al-Qarafi untuk menggambarkan logik peribadi pemimpin hanya sesuai apabila dikaitkan dengan “sebarang yang dipertikaikan atas kepentingan dunia.” Dia menambah, “logik peribadi dalam perkara berkaitan ritual (ibadat) terpaksa dikecualikan, kerana perbahasan mengenainya adalah berkaitan dengan urusan selepas mati (akhirat) dan bukan urusan-urusan harian manusia; maka sudah pasti tiada ruang untuk ijtihad peribadi seorang pemimpin.

Membezakan antara perkara-perkara duniawi dan perkara-perkara akhirat adalah kritikal; namun demikian konsep ini perlu difahami melalui kerangka Islam (yang menghubungkan perkara-perkara agama dan duniawi secara holistik) dan bukan melalui kerangka Barat yang hanya melihat perkara tersebut sebagai sebuah perkara yang hanya melibatkan gereja. “Keagamaan” mempunyai dua maksud yang berbeza dalam teks Shari’ah. Maksud yang pertama merangkumi segala aktiviti seseorang Muslim, termasuk politik. Apa-apa amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim secara amnya adalah sebuah ibadah selagi niat di sebalik amal tersebut semata-mata hanya kerana Allah. Perbuatan-perbuatan yang disenaraikan di atas boleh diklasifikasikan di bawah terma “agama”.

Buku-buku fiqh berkaitan hukum-hakam praktikal mempunyai bab-bab berkaitan solat, puasa, dan zakat, di samping hukum-hakam hubungan kekeluargaan, perkahwinan, perceraian, dan wasiat. Buku-buku tersebut juga mengandungi hukum-hukum yang berkait dengan aktiviti-aktiviti ekonomi seperti jual beli, riba, pinjaman gadai janji, perkongsian tanaman dan urusan penyewaan, di samping bab-bab berkaitan aktiviti politik seperti kepimpinan, amar makruf nahi mungkar, jihad, dan mobilisasi tentera. Perkara-perkara ini dikategorikan sebagai urusan-urusan agama, yakni “agama” di sini bermaksud setiap amal kebaikan yang bermanfaat yang dilakukan oleh seorang Muslim.

Maksud “agama” yang kedua hanya merujuk kepada perkara-perkara berlawanan dengan perkara-perkara duniawi. Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Jika ia adalah perkara berkaitan agama, maka ikutilah aku. Tetapi jika ia adalah perkara duniawi, maka berbuatlah seperti yang kamu tahu,”. “Agama” yang dimaksudkan di sini diperjelaskan dalam sabda Baginda dalam sebuah hadith, tatkala Baginda melihat beberapa orang berdiri di sebelah beberapa pokok kurma, dan menanyakan mereka apa yang mereka lakukan. Mereka menjawab “Pendebungaan”. Baginda kemudian berkata “Padaku ia tidak akan menghasilkan apa-apa”. Mereka pun meninggalkan perkara itu dan pokok-pokok itu pun tidak membuahkan hasil. Apabila baginda mengetahui hal tersebut, baginda pun bersabda “lakukan apa yang berguna untuk kamu. Aku hanya memberi pendapat, maka janganlah mengambil pendapat tersebut sebagai sebuah arahan. Ikutilah kata-kataku jika berkaitan dengan Allah, kerana aku tidak akan berbohong tentang Allah”.

Dalam hadith yang berlainan, Nabi Muhammad SAW bersabda “jika aku memerintahkan kamu dalam perkara berkaitan agama, maka ikutilah arahan tersebut. Jika arahan tersebut merupakan pendapatku, maka pertimbangankanlah bahawa aku juga manusia”. Amalan agama adalah perbuatan berpandukan wahyu atau pertimbangan pendapat dalam perkara-perkara yang setaraf dengan wahyu. Amalan duniawi pula adalah amalan yang berkaitan kehidupan di dunia ini yang berdasarkan pendapat peribadi. Penekanan terhadap tindakan-tindakan Rasulullah SAW sebagai pemimpin dalam hal-hal duniawi adalah penting kerana:

–          Ia membezakan tindakan-tindakan tersebut daripada maksud kedua “agama”. Hal ini membuktikan wujudnya perbezaan dalam Islam antara “agama” dan kehidupan, aktiviti politik dan amalan-amalan ibadat khusus.

–          Ia menjelaskan tujuan Islam untuk membuang unsur-unsur pensakralan aktiviti politik, untuk menghalang monopoli (kuasa) politik atas nama agama dan membuang penyekatan kreativiti dan kebebasan.

–          Ia juga menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mengubah tindakan-tindakan baginda sebagai pemimpin jika ada perubahan dalam kepentingan rakyat yang menatijahkan tindakan tersebut. Kefahaman tersebut mengenai tindakan Rasulullah SAW adalah kefahaman yang disetujui semua.

Beberapa tindakan Rasulullah SAW sebagai pemimpin tidak menjadi kewajipan bagi sesebuah badan legislatif dan kita tidak perlu terus mengikutinya atas andaian bahawa amalan tersebut adalah sunnah. Parti-parti terbabit patut mengikuti cara yang diamalkan Rasulullah SAW dalam memimpin negara, yang mengambil kira kepentingan rakyat yang berasas. Tiada sesiapa yang patut memberi kata putus atas sesebuah tindakan melainkan ia berada dalam bidang pengurusan atau legislatif.

Apabila Ibn Qayyim meriwayatkan beberapa tindakan Rasulullah SAW dan beberapa khulafa’ dalam polisi kerajaan yang berorientasikan Shari’ah, beliau menyebut bahawa “polisi tersebut bersifat sementara dan akan berubah mengikut kepentingan am dan keadaan semasa. Ada juga mereka yang mengandaikan bahawa tindakan-tindakan tersebut tetap dan tidak berubah; setiap orang mempunyai alasan-alasan mereka dan ganjaran mereka. Sesiapa yang berusaha untuk menginterpretasi tindakan-tindakan tersebut demi Allah dan RasulNya akan mendapat ganjaran pahala sebanyak satu atau dua kali ganda.”

Penubuhan Negara Sivil

Tindakan Baginda Rasulullah SAW dalam hal-hal berkaitan polisi berlandaskan Shari’ah membuka ruang ijtihad dalam fiqh politik dan juga pertimbangan semula isu-isu lama. Hal ini juga memberi asas kepada keperluan kesedaran metodologi dalam merangka polisi berlandaskan Shari’ah dan juga penyebaran kesedaran tersebut dalam kalangan orang-orang yang mempunyai minat dalam kebangkitan Islam secara teori atau praktikal. Perbezaan antara apa yang diwahyukan dan apa yang dibuat oleh manusia adalah amat jelas di sisi Islam, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan aktiviti-aktiviti politik. Pemahaman yang mendalam dan pengamatan yang tajam tentang tindakan-tindakan Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin memberi asas yang penting dan kukuh dalam merangka strategi untuk menangani isu-isu semasa yang berkaitan dengan pemikiran politik Islam moden. Beberapa asas disenaraikan di bawah:

  1. Pemahaman yang mantap tentang tindakan Nabi SAW sebagai imam -yang tidak terhad- menawarkan asas sistematik yang penting dan jitu untuk kebanyakan isu semasa berkaitan dengan trend pemikiran politikal Islam moden.

Sifat-sifat tindakan Nabi sebagai imam menunjukkan bahawa negara Islam  pada asasnya adalah bersifat sivil dan tidaklah bersifat keagamaan seperti yang dianggap melalui pendekatan politik Barat. Sifat semulajadi dan peri tindakan Nabi sebagai imam menekankan bahawa Islam tidak mengkuduskan praktis dan keputusan pemimpin atau cara yang digunapakai oleh negara dalam menguruskan perihal ummah. Negara dalam Islam tidaklah teokratik dan tiada satu negara pun yang diinspirasikan oleh kuasa keagamaan mahupun oleh wahyu.

Negara dalam Islam adalah negara duniawi, yang mana keputusannya bersifat manusiawi dan tugasnya adalah untuk menerima pakai polisi terbaik yang subjektif dan praktikal dalam menguruskan hal-hal kemasyarakatan.  Seorang pemimpin dalam Islam seharusnya tidak mendapatkan legitimasi daripada kuasa keagamaan; beliau merupakan seorang insan biasa yang diiktiraf dan dipilih dengan rela oleh ummah yang diwakilinya dan dipertanggungjawabkan ke atasnya. Beliau, paling penting, adalah bertanggungjawab di hadapan Allah dalam setiap satu tindakannya.

Ulama` politik muslim klasik menekankan maksud sedemikian dalam mendefinisikan polisi yang berorientasikan Shari’ah atau fungsi imam dalam Islam. Sebahagian pendapat mereka, walau bagaimanapun, disalahfahami. Abu Al Hasan Al-Mawardi mendefinisikan imamiah (kepimpinan) sebagai “kepemangkuan bagi pihak kenabian dalam mempertahankan agama dan politik duniawi.” Ibn Khaldun telah berkata, “Ia adalah kebenaran untuk mempertahankan agama dan politik duniawi.” Kemudian dia berkata, “dalam perkara menggelarkannya sebagai seorang khalifah, ia adalah kerana beliau merupakan pewaris kepada Nabi dalam menguruskan perihal ummah”.

Pewarisan kenabian mungkin menyebabkan sedikit kekaburan makna berkenaan imamiah (kepimpinan). Walau bagaimanapun, sifat tindakan kenabian berkenaan hal ini menjelaskan bahawa pihak yang mempunyai kuasa hanya menggantikan Nabi dalam kedudukan baginda sebagai seorang pemimpin, yang dikendalikan baginda menggunakan sifat manusiawi baginda dan praktis politikal baginda secara kendiri (tidak dipandu secara terus oleh wahyu), yang mana baginda tidak maksum. Namun begitu, berdasarkan kesepakatan ulama Muslim,  pemimpin Muslim tidak menggantikan Nabi dalam hal kenabian, yang mana melibatkan penyebaran risalah dan Nabi adalah maksum dalam hal ini.

2.                  Hubungan antara apa yang bersifat keagamaan dan apa yang bersifat politikal telah mengambil bentuk yang berbeza dan bercanggah dalam pemikiran kontemporari.  Hal ini turut terpakai kepada Barat, walaupun terdapat titik persamaan antara pengalaman Muslim dan Barat.

Ia adalah perlu dalam perkara ini untuk mengambil manfaat daripada pengalaman pihak lain dalam mewujudkan model demokratik kita. Pengalaman politik manusia telah menyumbang dengan banyaknya dalam mencapai kestabilan negara dan merasionalisasikan sumbangan pelbagai pihak dalam pengurusan hal negara. Pembacaan yang dalam berkenaan pengalaman politik Barat membolehkan kita untuk mencapai sebuah model yang menggabungkan kedua-dua keagamaan dan undang-undang yang positif, model yang bertindak balas kepada keperluan khas kita dan membantu kita mencapai sebarang keperluan yang penting.  Hal ini memerlukan, sebagai timbal balik, pengecualian sebarang petanda yang mengkuduskan aspek politik agama, pengecualian prinsip-prinsip umum dan tujuan utama Shari’ah. Selebihnya merupakan manusia, hal keduniaan dan tindakan kepimpinan Nabi dalam konteks ini hanyalah sebagai seorang manusia.

Ulama perundangan muslim (tidak kira yang lama mahupun kontemporari) bersetuju  bahawa ummah ataupun rakyat merupakan asal kepada legitimasi sesebuah negara. Nabi Muhammad SAW sendiri wafat tanpa melantik seorang pengganti. Baginda SAW meninggalkan hal itu sepenuhnya kepada rakyat untuk bukan sahaja memilih individu yang dikehendaki, malah untuk memilih kaedah pemilihan. Tindakan sebegitu daripada Nabi membentuk sebuah asas perlembagaan yang bermakna. Para pemimpin dipilih oleh rakyatnya sahaja; persetujuan ikrar setia adalah sebuah kontrak yang termeterai antara pemerintah dan yang diperintah, di mana persetujuan mutlak merupakan syarat utama yang mana kontrak tersebut adalah terbatal dan tidak sah tanpanya. Pemerintah, akhirnya, adalah seorang individu yang dipilih daripada ummah untuk menguruskan kuasa; beliau tidak mempunyai kelebihan disebabkan pemilihan tersebut, dan beliau seharusnya bertindak berdasarkan kontrak yang telah dipersetujui.

Ulama` klasik dan kontemporari bersama-sama menyumbang beberapa hujah berkenaan hal ini. Namun saya hanya menyebut penghujahan Imam Shafi’i. Beliau selalunya merujuk kepada kata-kata Nabi “Tiada diterima solat seorang imam (pemimpin solat) yang dibenci orang…” Beliau merumuskan bahawa “tidak digalakkan seseorang untuk menjadi imam kepada sekumpulan orang yang membencinya.” Kemudian, beliau menggunakan prinsip tersebut kepada aspek politik: “Tidak disukai bagi seseorang untuk memimpin rakyat yang membencinya. Dan sekiranya dia memerintah sedangkan majoriti tidak membencinya dan sebahagian kecil membencinya, aku berkata ia masih begitu, disebabkan prinsip tidak disukai menguruskan wilayah secara amnya.” Tidak diragukan lagi bahawa ia merupakan satu inferens yang hebat; sekiranya adalah tidak diterima untuk menjadi imam kepada orang yang membenci imam tersebut, hal yang sama boleh digunakan kepada prinsip pemerintahan.

Legitimasi dalam sejarah Islam selalunya bergantung kepada ummah dalam satu cara atau yang lain. Negara baru diasaskan di atas runtuhan negara yang lain, yang mana sama ada gagal untuk mencapai keadilan dalaman atau kestabilan atau mempertahankan wilayah ummah daripada musuh. Seseorang selalunya termotivasi untuk menubuhkan sebuah negara yang mampu mencapai kedua-dua tujuan, agar natijahnya rakyat berhimpun sekelilingnya, seterusnya memberikan legitimasi kepada pemerintahannya. Kes ini mengingatkan tentang kemunculan projek negara bangsa atau bentuk lain di dunia Arab, yang mana telah ditubuhkan melalui revolusi. Negara-negara ini dalam satu cara atau yang lainnya bertindak balas kepada harapan kebebasan dan keadilan sosial yang popular. Negara-negara sebegini diangkat pada awalnya, namun ia kemudiannya bertukar kepada negara penindasan dan paksaan untuk beberapa sebab yang subjektif dan objektif, dan ia seterusnya gagal untuk mencapai kebebasan mahupun keadilan sosial.

Mengaitkan legitimisi kepada kemampuan memenuhi keperluan asasi ummah telah digambarkan sebagai legitimasi berdasarkan agama, namun bukanlah dalam erti kata teokratik. Sebaliknya, ia bermaksud legitimasi ummah sedemikian lebih bergantung kepada kemampuan untuk mempertahankan agama dan menyuburkan ummah islami. Dalam kata lain, ia merupakan sebuah negara sivil, dengan legitimasi popular, yang diberikan kuasa untuk melindungi agama ummah tersebut, seperti mana negara moden melaksanakan tugasnya untuk melindungi rakyat dan kepentingannya.

Dengan cara yang sama, prinsip ini boleh digunakan kepada artikel perlembagaan yang lain seperti pindaan institusi politik, pilihanraya, penentuan tempoh berkuasa, dan mendefinisikan hubungan antara pelbagai pihak berkuasa, kebebasannya dan sebagainya. Hal yang telah disebutkan sebelum ini tertakluk kepada pertimbangan manusia yang bebas.

3.                  Berurusan dengan peristiwa sejarah pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin; pengalaman Islam pada zaman khalifah-khalifah tersebut sentiasa mendominasi pemikiran politik dan legislatif kontemporari. Ia tidak diragukan lagi, merupakan pengalaman yang cemerlang dan unggul; meskipun begitu, hal ini tidak bermakna ia mempunyai sebarang implikasi secara terus yang dapat mengatasi zaman, tempat dan keadaan sekelilingnya.

Jika praktis politik Nabi adalah relatif, maka pengalaman khalifah-khalifah tersebut tentulah relatif juga. Sekiranya kita diwajibkan untuk menuruti jejak langkah kaedah umum Nabi sebagai ketua negara, tanpa kepatuhan tidak berbelah bagi kepada keputusan separa, maka kita perlu mengambil Khulafa’ ar-Rasyidin sebagai model hanya dalam hal mereka menuruti Nabi SAW, interaksi mereka dengan pembolehubah realiti islamik dan pelaksanaan penyataan agama mereka.

Bentuk institusi, mekanisme institusi, interpretasi legislatif dan politik semasa zaman khalifah tersebut hanyalah hasil manusiawi yang dipengaruhi konteks sejarah, persekitaran kebudayaan dan melieu pada zaman tersebut. Legasi tersebut tidak seharusnya dijadikan sebagai sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada agama yang mengikat semua muslim pada setiap zaman. Pemikiran politik dan budaya manusia sentiasa ditenggelami oleh beberapa aksiom yang telah mempengaruhi  pemahaman muslim berkenaan sistem politik Islam. Aksiom-aksiom ini telah menghalang muslim daripada mencapai tujuan Islam melainkan dalam had persekitaran budaya manusia yang terdapat pada setiap zaman.  Qur’an, walau bagaimanapun, merupakan satu inspirasi yang mana dimanfaatkan manusia berdasarkan potensi mereka, yang mana mereka tidak mampu menghabiskan ajaran yang cuba disampaikannya.

Mewujudkan sebuah negara islam yang sivil yang memperoleh legitimasinya daripada rakyatnya menjadikan muslim lebih terbuka kepada perkembangan bentuk kerajaan yang berterusan berdasarkan mekanisme dan sistem yang dijana oleh manusia. Ini menjadikan mereka juga lebih berkemampuan untuk melaksanakan bentuk demokrasi yang terbaik, yang mana mereka mampu lebih memperkayakannya dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam yang membawa keunggulan kepercayaan (iman) dan kedalaman sosial dan kemanusiaan kepada bentuk demokrasi yang telah disokong.

Penulis asal: Saadedine El ‘Othmani (Setiausaha Agung Parti Keadilan dan Pembangunan di Maghribi)

Diterjemahkan oleh:

Zainal Abidin Bin Abdul Rahim merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti al-Eman Yaman yang kini calon Ijazah Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau merupakan tenaga pengajar di beberapa pusat Pendidikan Islam. Penulis kini merupakan sukarelawan JK Ulama` IKRAM Malaysia dan JK dakwah IKRAM bagi kawasan Setiawangsa.

Iskandar Zulqarnain Bin Mohamed merupakan graduan berkelulusan M.B.B.S dari University College London (UCL) dan B.A dari University of Cambridge (Cantab). Kini beliau sedang berkhidmat sebagai seorang doktor serta terlibat aktif sebagai aktivis IKRAM UKE.

Mohamad Danial Bin Othman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Astronomi dan Astrofizik dari Pennsylvania State University dan sekarang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Pendidikan Al-Itqan, Pulau Pinang. Beliau turut terlibat aktif dalam IKRAM Siswa Perlis dan IKRAM Siswa Pulau pinang.

Mahasiswa

Negara Rahmah : Kita Harus Bagaimana?

“Kaum nasionalis hanya berfikir untuk membebaskan negerinya. Bila kemudian mereka membangun negerinya, mereka hanya memerhatikan aspek­-aspek fisik seperti yang kini terjadi di daratan Eropah. Sebaliknya, kami percaya bahawa di setiap leher Muslim tergantung amanah besar untuk mengorbankan seluruh jiwa dan raga serta hartanya demi membimbing manusia menuju cahaya Islam…”

Petikan kata­-kata Imam Hassan Al-Banna dalam bukunya Himpunan Risalah (Maj’muatul Rasail) yang berkisar tentang semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme itu sebenarnya perlu dalam sebuah perjuangan. Perubahan itu bukan semata dalam aspek fisik bahkan juga dalam aspek spritiual dan pemikiran demi kesejahteraan manusia.

Hari ini, Malaysia bakal melalui satu anjakan dan perubahan menuju sebuah negara rahmah yang diimpikan. Aspirasi yang dibawa melalui gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah barangkali merupakan satu titik permulaan ke arah masa depan yang lebih baik. Fenomena kebangkitan rakyat di negara-­negara Timur tengah –Syria, Palestin, Tunisia dan Mesir, menyaksikan semangat masyarakatnya yang ingin berubah kepada keadaan yang lebih baik telah meransang generasi muda untuk lebih progresif dan bersifat analitikal.

Penelitian dan pemahaman terhadap konsep rahmah yang cuba dibawakan perlu dilakukan dengan sebaiknya untuk mengelakkan berlaku salah faham seterusnya mencetuskan ketegangan antara banyak pihak. Frasa Rahmah jika diteliti secara literasinya membawa maksud belas kasihan, keberkatan, kebahagiaan dan kelebihan serta berhikmah. Dalam erti kata lain, nilai yang cuba diterapkan dalam konsep ‘negara rahmah’ ini ialah tafahum (saling memahami) dan tasamuh (toleransi dan kesefahaman) dalam segenap ruang masyarakat sejajar dengan sifat tabii (fitrah) agama islam dan risalah yang dibawa berdasarkan firman Allah SWT:

 “Dan kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam” (Surah al-­anbiya:107)

Malahan konsep ini juga sangat bertepatan dengan Maqasid Syariah yang terkandung dalam sistem syariah islam yang menjadi kemaslahatan umat dan menolak kefasadan. Apa yang menarik, dasar ini mengambil kira ketiga-­tiga elemen penting pembinaan sebuah negara iaitu dalam kerangka politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Bahkan juga, ia bukanlah semata-­mata dapat dirasai oleh Muslim bahkan kesejahteraan yang ingin dibawa juga bakal dirasai oleh mereka yang berlainan bangsa dan agama. Dasar dan intipati yang ingin diimplementasikan bukanlah sebuah retorik dan bersifat ‘angan­-angan mat jenin’ kerana bagi penulis inilah satu dasar yang sesuai dan relevan dalam konteks masyarakat majmuk dalam usaha mengarus­perdanakan syariat islam.

Tambahan pula, sebuah gagasan yang berorientasikan muafakat dan kesefahaman ini pastinya mampu menarik sokongan ramai di saat negara sedang bergolak dengan pelbagai konspirasi dan masalah perselisihan faham. Di samping itu, usaha ini dilihat mampu menyemai benih kasih sayang dan suasana mawaddah antara ahli masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia sesuai dengan firmanNya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal­kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia­mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya). “(Surah al-Hujurat : 13)

Cabaran

Analisis kondisi negara Malaysia menunjukkan berlaku terlalu banyak masalah dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial dalam masyarakat kita. Medan politik negara makin dicemari dengan masalah ketirisan, korupsi dan penipuan yang terus berleluasa di sana sini. Pemerintah dilihat gagal mengatasi angka korupsi yang kian meningkat saban tahun walhal pembangunan fisik negara terus-­terusan berjalan. Perpecahan kian merebak dan sentimen perkauman terus menjadi mainan politik. Rakyat jelata berterusan dihantui dengan kadar kemiskinan yang tinggi dan keperitan hidup lantaran peningkatan kos sara hidup serta pelaksanaan cukai yang semakin tinggi. Fenomena keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan rakyat kita dilihat semakin menjadi­-jadi barangkali natijah daripada sistem pendidikan yang kurang berkesan sedangkan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan telah dilakukan, namun hasilnya masih tidak menunjukkan kesan positif.

Realitinya, kita perlukan sebuah perubahan ke arah negara yang baru. Mengguna pakai model negara­-negara membangun sedia ada dan sejarah lampau adalah kunci penyelesaian terhadap semua masalah ini. Pengislahan sedikit demi sedikit dalam setiap aspek pembangunan negara adalah sangat perlu bagi membangunkan sebuah masyarakat madani sekaligus membina sebuah negara rahmah yang dicita-­citakan.

Titik Perubahan

Perlu difahami suatu gerakan perubahan bukanlah bersifat segera tetapi ia merupakan satu proses jangka masa panjang yang memerlukan usaha dan kerjasama yang tinggi. Status quo negara Malaysia kini perlulah diambil kira dalam menilai aspek mana yang perlu diubah dan diperkukuhkan. Justeru, melihat senario masyarakat kini yang telah dibahaskan semasa pembentangan ucapan dasar, saya meyakini bahawa untuk mencapai ciri-­ciri negara rahmah yang telah digariskan sangat memerlukan sokongan dan kerjasama padu dari semua pihak.

Seruan untuk membentuk sebuah negara “baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur”­ negeri yang baik dan mendapat keampunan tuhan, (Surah ­Saba`: 15) dan menjadikan konsep rahmatan lil’alamin sebagai tunjangnya perlu disahut oleh semua lapisan masyarakat. Dengan menjadikan sejarah negeri Saba’ sebagai contoh sebuah negara makmur justeru adalah satu paradigma yang jauh kehadapan. Namun, apakah titik perubahan yang ingin dilakukan dalam dasar gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah”?.

Penulis melihat perubahan yang cuba dilakukan tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadikan prinsip­-prinsip Syariah Islamiyah itu dapat dilaksanakan dalam semua cabang kehidupan. Antaranya mewujudkan sistem pemerintahan yang adil dan berlandaskan syariah, sistem kehakiman yang telus dan saksama, bahkan juga mempersiapkan sebuah negara yang menampilkan para ulama sebagai rujukan utama para umara’. Menurut Saari Sungib (2011) di dalam bukunya “Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia”, fasa­-fasa perubahan dan pengukuhan ini dilakukan dalam kerangka memelihara kesejahteraan manusia sejajar dengan prinsip hak asasi manusia yang terkandung dalam Shahifatul Madinah pada zaman Rasulullah SAW dan Maqasid Syariah itu sendiri.

Antaranya, memastikan pemerintah yang dipilih benar­-benar adil dalam melaksanakan tuntutan syariah dan meletakkan ketaatan sepenuhnya kepada pemerintah disamping menjamin hak sama rata antara manusia dapat dipertahankan. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya telah musnah umat sebelum daripada kamu kerana apabila orang yang mulia di kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya dan apabila orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan ke atasnya hudud (hukuman). Demi Allah sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya” (Bukhari dan Muslim) .

Di satu sudut yang lain, perubahan berlandaskan syariat dalam sistem pendidikan perlu segera dilakukan. Sistem pendidikan sedia ada hari ini didapati gagal menjamin penghasilan modal insan yang diimpikan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan Negara. Penekanan dalam aspek pembinaan intelek dan akhlak perlu selari memandangkan pada peringkat pelajar akan mula dibentuk dengan acuan tertentu. Oleh itu, sesebuah institusi pendidikan perlu dilengkapkan dengan sebuah proses yang syumul, yang merangkumi proses tarbiyah (mendidik), ta’dib (membentuk akhlak) dan ta’lim (memberi pengajaran).

Mahasiswa: Pemuda Dan Ejen Pengubah

“Kalau engkau ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada pemuda­pemudinya” ­(Saidina Ali).

Suatu masa dahulu, pengasas fahaman Marxism, Marx secara terang-­terangan mengemukakan pandanganya terhadap cara (uslub) yang seharusnya diambil oleh gerakan­gerakan Komunis dalam melakukan perubahan sosial dan mengubah Kapitalisme. Katanya, “Tidak ada jalan bagi menggantikan Kapitalisme dengan Sosialisme kecuali dengan revolusi”. Menurut Fathi Yakan, pemuda dalam konteks revolusi adalah medan yang sangat subur untuk digunakan dalam proses ke arah itu.

Walau bagaimanapun, ia tidaklah menafikan pentingnya peranan orang-­orang dewasa dan orang­-orang tua dalam turut sama menyumbang ke arah sebuah perubahan. Sesuai dengan kata­-kata yang telah diungkapkan oleh Saidina Ali, pemuda merupakan ladang-­ladang tanaman yang perlu dibaja dengan sebaiknya supaya hasil yang terbaik dapat dinikmati oleh manusia. Begitu juga dengan pemuda, perlu dipersiapkan jasmani dan spiritual untuk sama­-sama membina sebuah tamadun yang berjaya. Penulis tertarik dengan petikan Imam As-syahid Hassan Al-Banna dalam “Risalah Wahai Pemuda”, yang menjelaskan “karakter iman, ikhlas, semangat dan amal yang melekat pada pemuda sebenarnya rahsia kepada sebuah pemikiran yang berjaya diwujudkan”.

Jika dilihat kembali dalam ciri­-ciri negara rahmah di fasa transisi yang telah diceritakan, secara zahirnya kita hanya melihat perubahan di fasa itu perlu dilakukan oleh mereka yang dewasa dan dimanakah peranan seorang mahasiswa? Mahasiswa hari ini perlu mengorak langkah menjadi tiang pendukung kepada golongan pelopor. Betapa beruntungnya mahasiswa hari ini apabila mereka sudah tidak perlu berjuang bermati­-matian menuntut hak kebebasan beragama mahupun mengembalikan hak yang dirampas seperti yang telah dilalui oleh mereka pada zaman dahulu. Malah, hari ini, pemuda merasa bahagia dengan kesejahteraan yang dikecapi. Namun, sedar atau tidak ia justeru menyebabkan kita leka dan cenderung untuk bermain­-main kerana merasa aman dan tenang dalam kondisi yang sedia ada.

Dalam keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang pelbagai, seharusnya kita mengambil peluang untuk lebih proaktif dan agresif menyebarkan batas­-batas islam secara jelas dan sempurna. Peluang hidup bercampur antara bangsa perlu dimanfaatkan dengan memelihara imej Islam supaya tidak menjadi fitnah kepada agama. Bahkan atas dasar kepelbagaian inilah, kita belajar untuk lebih bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain. Jika para masyayikh (orang tua) berhempas pulas berfikir untuk melakukan perubahan diperingkat yang tinggi, apa salahnya kita sebagai mahasiswa muslim memainkan peranannya di akar umbi untuk sebuah perubahan. Medan ilmu yang dibentangkan seharusnya mampu mempersiapkan diri kita menjadi pengganti para pemimpin sedia ada untuk memacu sebuah negara yang sejahtera.

Namun dari satu sudut, kita perlu sedar bahawa membina mahasiswa yang berdaya saing dan benar­-benar memahami Islam itu tidak cukup sekadar itu. Mahasiswa yang kompeten perlu sama­-sama turun padang menyampaikan risalah­-risalah dakwah kerana pada hakikatnya matlamat utama persiapan pemuda ini bukanlah sekadar memelihara dirinya daripada kecundang oleh hawa nafsu. Menurut Fathi Yakan dalam bukunya “Generasi Pemuda dan Perubahan” sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-­pemuda islam hari ini adalah untuk melaksanakan matlamat tercapainya ‘Qawamah’ (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia.

Hal ini memerlukan tugas pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliyyah ke tangan Islam dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliyyah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam. Ia selari dengan ciri yang digariskan dalam fasa pengukuhan dasar “Negara Rahmah” iaitu sebuah negara yang memastikan risalah dan dakwah Islam ditegakkan dan menjadikannya ciri utama kelangsungan pentadbirannya. Bergaullah dengan masyarakat sekeliling kerana dengan banyaknya bergaul, kita akan lebih maju kehadapan. Bahkan Islam sendiri menganjur kita untuk saling kenal­ mengenal antara satu sama lain. Seorang ahli falsafah terkemuka, Aristotle ada menyebut “orang yang menyisihkan diri daripada pergaulan tidak akan mencapai kemajuan. Pergaulan itu mencerdaskan dan menajamkan ingatan”.

Buat Mahasiswa Timur Tengah

Jika diintai kembali keseluruhan dasar gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah”, tidak dapat tidak, golongan pemikir dan intelektual terutama bakal ilmuwan Islam sangat diperlukan pada masa akan datang. Masyarakat pastinya ternanti­-nanti siapakah yang bakal menggantikan ulama’ yang sedia ada hari ini.

Apabila berbicara mengenai kelahiran ulama’, pastinya graduan timur tengah akan menjadi fokus utama perkara ini kerana sewajarnya mereka inilah yang menjadi seorang tokoh ilmuwan yang menguasai bidangnya dengan mendalam. Namun begitu, tidak dapat dinafikan keadaan mahasiswa di sini yang tidak terdedah dengan realiti kehidupan masyarakat di Malaysia terkadang menyebabkan mereka leka dan tidak tahu menyesuaikan diri. Bahkan adakalanya, kelompok­-kelompok mahasiswa timur tengah tidak bersedia untuk mendepani mehnah dan tribulasi di tanah air sehingga ada yang hanyut dibawa arus gelombang modenisasi.

Mahasiswa ini juga kurang berpeluang untuk sama­-sama menyumbang masa dan tenaga turun padang bergaul dengan masyarakat Malaysia dalam usaha menyebarkan risalah dakwah. Tetapi menyedari hakikat ini, penulis sendiri berpendapat relung dakwah itu luas dan sebenarnya keadaan ini bukanlah satu kelompongan yang besar. Jika dilihat dari aspek lain, graduan timur tengah sebenarnya lebih berpeluang untuk menyumbang sumbangan yang lebih besar kepada ummat apabila pulang ke tanahair dengan penguasaan ilmu Islam yang ada.

Kepulangan mahasiswa timur tengah sebenarnya sangat dinanti-­nantikan kerana merekalah yang bakal menjadi ejen perubahan kelak. Tidak kira mahasiswa jurusan perubatan mahupun pengajian Islam, seharusnya mereka mengambil peluang yang ada untuk menggarap segala ilmu dan pengalaman dari bumi ini kerana sememangnya suatu masa dahulu perubahan dan peradaban manusia bermula dari Tanah Arab. Jika mereka yang berkelulusan Pengajian Islam diasuh untuk menjadi ulama’, bagi jurusan selainnya tanamlah tekad untuk menjadi golongan teknokrat yang benar-­benar merasai roh Islam yang sebenar.

Persiapkanlah diri dengan kefahaman­ Islam yang jelas dan terus membumikannya di dalam diri supaya ia menjadi bekal untuk dibawa pulang. Mulakan langkah membina sebuah negara rahmah di sini dengan saling bertukar­ pendapat, cakna dan terus bersungguh­-sungguh dalam memperdalam ilmu. Teruslah berdampingan dengan ulama’ kerana para ulama’ itu adalah pewaris para nabi.

Sikap Kita

Nilai dan usaha murni untuk mengaplikasikan syariat Islam dan pada masa yang sama memelihara keharmoniaan umum perlu untuk kita hargai. Bahkan inilah yang pernah dilakukan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW di saat baginda ingin membangunkan negara islam pertama, Madinah. Mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar seterusnya melakukan baiah antara penduduk Islam dan bukan Islam melalui Shahifatul Madinah. Sejarah ini turut mengajar kita cara bermuamalah dan berdakwah dengan mereka yang baru mengenali Islam. Syeikh Ramadhan Al-Buti dalam bukunya Fiqh Seerah turut menjelaskan bahawa sikap toleransi, lemah lembut dan sabar sangat dituntut di fasa ini. Islam sendiri menuntut umatnya untuk berhikmah dalam menyampaikan risalah Agung selaras dengan Firman Allah Taala :

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik…”(Surah annahl: 125)

Justeru bersiap siagalah! Jalan ini masih panjang. Untuk menegakkan syariah Islam di muka bumi memerlukan kesungguhan dan Himmah ‘Aaliyah dalam diri semua manusia. Bercita­citalah untuk melihat Islam kembali memayungi empayar dunia seperti mana suatu masa dahulu. Berusahalah untuk menjadi salah satu dari batu bata kepada binaan sebuah peradaban Islam dan sedarlah agama ini tidak memerlukan kita bahkan kita yang memerlukannya sesuai dengan firmanNya:

“Ingatlah, kamu adalah orang-­orang yang diajak mengifakkan (hartamu) di jalan Allah. Lalu di antara kamu ada orang yang kikir dan barangsiapa kikir maka sesungguhnya dia kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah lah yang maha Kaya dan kamulah yang membutuhkan karunianya. Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar), Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan (durhaka) seperti kamu.” (Surah Muhammad: 36)

Penulis adalah mahasiswi tahun akhir Fakulti Syariah pengkhususan Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Mu’tah Jordan. Beliau juga telah dilantik sebagai salah seorang penasihat bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu’tah Jordan (PERMATA) dan terlibat aktif sebagai aktivis Kelab IKRAM Jordan.

Isu Semasa

8 Nasihat Hari Ini Untuk Para Pendakwah

1. Islam tidak rasis, ekstrem & provokatif. Islam adalah sejahtera, harmoni, sederhana, toleran dan rahmatan lil a’lamin.

2. Ilmu Usul Fiqh ialah alat untuk faham maksud dan kehendak Tuhan. Fahami KEHENDAK ayat al-Quran. Realiti dan praktikal.

3. Fahami Fiqhul Waqi’ & Fiqh al-Ta’asyush (kewujudan bersama/co-existence) agar betul & TEPAT dalam menyampaikan solusi & padangan kepada masyarakat majmuk.

4. Islam memberi seluas-luasnya ruang untuk berfikir dalam hal ijtihadiy serta dibenarkan khilaf padanya. Maka, fahamilah apa itu hukum qat’ie dan zhannie. Ibadat & muamalat. Thawabit dan mutaghayyirat.

5. Sebagai pentadbir, fahamilah ilmu Siyasah Syar’iyyah. Beza antara tafrit & ifrat. Kenali Fiqh al-Maalat (cause & effect), kaedah tahqiq al-Manath dan khitob wad’ie.

6. Fahami kaedah istinbat hukum. Pada ilmu قواعد استنباط الأحكام dibahaskan dengan mendalam apa itu al-‘am dan al-khas, al-mantuq dan al-mafhum, al-mutlaq dan al-muqayyad, al-nas dan al-zahir, al-mushkil dan al-mujmal, al-‘ibarah al-isyarah al-nas dan al-iqtida’.

7. Bagi mengelak fitnah, adalah pentingnya Fiqh al-Maqasid ini dibicangkan agar hukum yang sahih lagi tepat dapat dibumikan pada keadaan (konteks) atau suasana yang juga sahih.

8. Adalah wajar pendakwah yang rasis, ekstrem dan provokatif di samping masyarakat pula tidak selamat daripada lidahnya apatahlagi sebagai Qudwah hasanah, untuk ditarik tauliahnya sebagai pengajaran. Daulat Tuanku.

Islam Rahmah bukan marah-marah.

Penulis :

Amir ‘Izzuddin Muhammad.

Mahasiswa

TIDAK LAGI RELEVAN! Mahasiswa Kuliah, Kamar & Kafe

Berikan aku 10 orang pemuda, akan aku goncangkan dunia (Soekarno)

Mahasiswa yang homo-islamicus

Universiti bukan kilang untuk melahirkan robot-robot dan hamba kepada sistem kapitalisma, tetapi universiti adalah institusi untuk melahirkan pemimpin yang bakal menjadi pimpinan negara pada masa akan datang dan memakmurkan bumi ini dengan pengislahan yang menyeluruh termasuklah politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Seorang mahasiswa Muslim yang benar-benar memahami peranannya sebagai seorang khalifah ialah seorang mahasiswa yang ada ciri homo-islamicus dalam dirinya. Mahasiswa yang menyedari bahawa dia adalah makhluk, diciptakan Allah sebagai khalifah dengan misi mengabdikan diri kepadaNya serta melakukan ‘imarah’ iaitu memakmurkan dan membangunkan dunia.

Atas misi inilah, mahasiswa harus sedar bahawa dibahu mereka ada satu tugas yang besar, iaitu tugas memakmurkan kampus, memacu perubahan melalui aktivisma yang dianjurkan oleh gerakan masing-masing, menjadi duta kepada islam dalam erti kata seorang penuntut diuniversiti atau sebagai mahasiswa. Dan golongan ini dihantar ke kampus untuk menjayakan misi keadilan, keamanan dan mengislahkan kampus supaya kampus tersebut menjadi sebuah kampus yang damai dan harmoni dengan sistem Islam.

Budaya Mahasiswa 3K harus dicantas!

Mahasiswa harus bangkit dan keluar dari budaya 3K. Hakikatnya masih ramai yang ‘terlena’ dalam ‘selimut’ masing-masing tanpa menghiraukan keadaan sekeliling di kampus mereka, yang mana kampus sangat memerlukan usaha mereka untuk melakukan pengislahan dan perubahan. Aktivisme yang ada masih belum cukup menyedarkan mahasiswa supaya aktif melibatkan diri, mereka masih selesa berada dikamar, memikirkan pointer masing-masing dan ada yang terleka melayani filem-filem Korea dan Hindi, permainan atas talian dan sebagainya.

Gerakan mahasiswa dikampus masing-masing harus bersiap sedia untuk memacu perubahan, memainkan peranan penting dalam mengubah cara fikir dan budaya hidup mahasiswa zaman kini kepada mahasiswa yang lebih aktif, proaktif dan prihatin. Sebagai sebuah organisasi yang mementingkan amal dan produktiviti, setiap aktiviti yang dijalankan oleh setiap gerakan mahasiswa mestilah memelihara kualiti dan perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh seperti mana seorang muslim itu memastikan kualiti amal peribadinya seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain.

Gerakan mahasiswa terutamanya gerakan Islamis dan individu mahasiswa di kampus juga harus mengambil inspirasi dari ayat Al-Quran dan membuat refleksi yang mendalam dalam erti kata untuk memacu perubahan diri dan memacu perubahan kampus masing-masing.

Antaranya, Ayat 1-3 Surah al-asr yang mana Allah menyebutkan sesungguhnya manusia di dalam kerugian, kecuali yang beriman dan beramal soleh dan memberi nasihat untuk kesabaran dan kebenaran.

Persoalannya disini, adakah gerakan mahasiswa atau individu mahasiswa di universiti telah menunaikan hak sebaiknya untuk berpesan-pesan kepada kesabaran dan kebenaran. Sejauh manakah amal soleh yang telah kita laksanakan di kampus masing-masing?

Seterusnya, Ayat 105 Surah Attaubah yang mana Allah menyebut: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang mukmin akan melihat amalan kamu itu dan kamu kembalikan kepada Allah yang mengetahui akan yang ghaib dan nyata, Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. Melalui ayat ini kita dapat simpulkan bahawa amal manakah yang telah kita semua jalankan sehingga Allah mampu memperlihatkannya di akhirat kelak?

Gagasan kampus harmoni yang memacu perubahan kampus!

“Begin with the end of mind”. 8 ciri ini menjadi destinasi kepada perjuangan gerakan mahasiswa.

1. Gaya hidup warga kampus yang sihat, mesra dan berakhlak.

2. Warga kampus bebas bersuara dan diiktiraf

3. Pentadbiran kampus yang cekap dan berkualiti

4. Pengamalan budaya politik nilai dalam pilihan raya kampus

5. Penyuburan budaya ilmu dan intelektualisme

6. Penghasilan mahasiswa berkualiti, berkepimpinan dan berdaya saing

7. Kampus selamat, berkebajikan dan mesra mahasiswa

8. Peranan siswa dalam isu masyarakat, negara dan antarabangsa diiktiraf

Gagasan ini bakal membuka mata semua masyarakat kampus untuk sama-sama berganding bahu dalam menjayakan satu projek mengharmonisasikan kampus dengan ciri yang disebutkan diatas seterusnya memacu perubahan kampus. Misi ini tidak mungkin dilaksanakan oleh hanya satu entiti mahasiswa, sebaliknya semua entiti mahasiswa harus berganding bahu bersama dalam menjayakannya.

Sesuatu perubahan tidak akan berlaku jika kita masih takut untuk melangkah. Jadi ayuh mahasiswa, kita sama-sama aturkan langkah memacu perubahan, tinggalkan budaya 3K yang masih menghantui hidup kita!

Ke arah melahirkan kampus yang harmoni dan mahasiswa yang produktif!

Isu Semasa

Apa Masalah Dengan Budaya Arab di Malaysia?

Budaya Arab Vs Budaya Melayu

“Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui dan Maha Teliti” (al-Hujuraat: 13)

Kita dapat memahami melalui ayat di atas bahawa Allah menciptakan bangsa Melayu, bangsa Arab dan sebagainya untuk kenal-mengenal antara satu sama lain. Dan ia sudah pasti untuk mengambil kebaikan dan manfaat dari budaya yang baik dan menghindari budaya yang tidak baik.

Baru-baru ini semakin banyak gesaan terhadap masyarakat Melayu untuk memelihara bahasa dan budaya mereka. Malah, terdapat cadangan untuk menggunakan istilah Melayu seperti ‘Hari Raya’ dan ‘buka puasa’ berbanding istilah Arab walaupun bermaksud sama seperti ‘Eid al-Fitr’ dan ‘iftar’.

Akan tetapi, menurut seorang tokoh ilmuan terkemuka negara, ajaran Islam tidak pernah menyuruh untuk mengamalkan kebudayaan Arab, kerana Islam bukan agama berbentuk perkauman Arab. Namun perlu disedari bahawa sebahagian perkataan Arab telah menjadi istilah yang dipakai dalam keilmuan Islam”

Hakikat Penyerapan unsur Bahasa Arab dalam Bahasa Melayu

Tidak ada bahasa di dalam dunia ini yang tidak dipengaruhi oleh bahasa asing. Sebagai bahasa yang pesat membangun dan berkembang, Bahasa Melayu telah banyak menerima pengaruh bahasa asing terutamanya dari Bahasa Arab dalam aspek kosa atau perbendaharaan kata.

Sistem tulisan Arab pada mulanya diserap ke dalam Bahasa Melayu untuk menghasilkan buku-buku agama terutamanya mengenai ibadat. Iaitu seperti mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa dan sebagainya.

Apabila Islam dianuti oleh golongan kerabat istana dan rakyat Melaka, peminjaman kata-kata Arab mula meresap masuk ke dalam Bahasa Melayu. Islam diletakkan sebagai asas pemerintahan semasa Melaka dibawah tampuk pemerintahan Sultan Muzafar Syah. Dan ia membawa kesan yang lebih besar iaitu pengaruh Bahasa Arab menular masuk dengan drastik dalam aspek keagamaan, pentadbiran dan keilmuan.

Antara perkataan Arab yang meresap masuk dalam Bahasa Melayu iaitu:

  1. Berkenaan agama: Islam, iman, rukun, wali, tauhid, syariah, syaitan, masjid dan sebagainya
  2. Berkenaan Ilmu: akal, nafsu, yakin, ikhlas, nasihat, hawa dan sebagainya.
  3. Berkenaan hukuman atau undang-undang: hukum, adil, zalim, wilayah, wakil, kadi dan sebagainya
  4. Adat dan pergaulan manusia: kaum, umat, tahniah, martabat, mastautin, darjat dan sebagainya
  5. Benda-benda, kejadian atau perbuatan: haiwan, wajah, maut, akhirat, rezeki, jenazah dan sebagainya

Maka, dari segi keilmuan, benarlah kata tokoh cendekiawan tersebut bahawa tiada salahnya menggunakan istilah Arab sebagaimana kita menerima istilah Inggeris kerana bahasa Arab tersebut amat hampir dengan maksud syarak dalam kerangka istilah keilmuan. Tokoh tersebut juga berpandangan bahawa Islam tidak memaksa umatnya untuk memakai jubah ataupun mensyariatkan Muslim mesti memakai jubah. Malah, tiada apa yang pelik kerana penggunaan jubah sendiri telah diiktiraf diperingkat global. Tambahan pula, jubah telah sekian lama menjelma sebagai pakaian sarjana. Pada hari ini pakaian ‘Arab’ tersebut telah ‘membaluti’ jutaan tubuh manusia tatkala hari graduasi di pelbagai universiti diseluruh dunia!

Mengapa pentingnya penilaian yang adil dalam isu budaya Arab vs Barat?

Penilaian yang adil sangat penting dalam hal ini supaya kita tidak berat sebelah dalam menilai sesuatu budaya dan meletakkan kritikan padanya. Tidak salah untuk kita mengkritik budaya yang tidak sesuai dengan identiti kemelayuan kita, tetapi kita harus juga ingat bahawa kita harus bersikap adil dan bukan meletakkan double-standard pada penilaian tersebut.

Kita berhak untuk tidak bersetuju terhadap budaya Arab atas hujah bahawa orang Melayu harus mempunyai jati diri Melayu. Namun kita harus ingat bahawa kita juga perlu meletakkan hal yang sama pada budaya Barat yang jauh lebih terpesong dan bertentangan dengan budaya Melayu, tidak kira dari sudut pemakaian, tingkah laku dan sebaginya. Kita harus adil dan kritis dalam menilai perkara ini.

Islam tidak pernah menyuruh Melayu menjadi Arab!

Tidak dinafikan, budaya Arab banyak tersebar dalam masyarakat Melayu pada hari ini. Dan kita lebih dekat dengan makanan Arab, restoran Arab membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, penggunaan istilah-istilah Arab yang meluas dan sebagainya. Tidak mengapa!

Islam sesekali tidak pernah menyuruh bangsa Melayu untuk menjadi bangsa Arab. Sebaliknya setiap manusia harus memelihara budaya yang baik dan menghindari yang buruk. Bak kata Prof. Tariq Ramadan, tiada satu pun budaya di dunia ini yang baik secara mutlak, hatta budaya Arab. Maka, semua budaya ada kebaikannya yang tersendiri serta kelemahan. Begitu juga dengan budaya Barat dan budaya Melayu, tidak buruk atau baik secara mutlak. Namun, syariat Islam itu sendiri menjadi kayu ukur yang akan memisahkan sama ada sesuatu itu baik atau buruk.

Bukan masalah jika kita tidak bersetuju dengan budaya Arab meskipun hakikat penyerapan budaya Arab ke dalam budaya dan Bahasa Melayu itu sendiri telah berlaku sejak berkurun lama sejak dari penggunaan tulisan jawi lagi yang diambil daripada tulisan Arab. Hari ini kita menumpang ‘tuah’ daripada Bahasa Arab kerana apabila Bahasa Melayu banyak mencerap istilah Arab, maka datuk nenek moyang kita serta masyarakat Melayu menjadi semakin mudah untuk beramal dengan ajaran Islam.

Isunya bukan pada bahasa, tetapi cara kita melihat isu menggunakan kaca mata yang tepat!