Mahasiswa

5 Tip Membudayakan Politik Nilai Dalam Pilihanraya Kampus Dari Kaca Mata Pelajar

Pilihanraya Kampus (PRK) adalah satu medan untuk mahasiswa membentuk ideologi mereka yang matang, menggerakkan ideologi itu dengan penuh hikmah dan menoktahkan perjuangan ideologi tersebut dengan satu pengislahan yang menyeluruh kepada masyarakat kampus khususnya, masyarakat umum amnya.

Pada tahun ini kita dapat lihat satu perubahan landskap politik kampus yang mana rata-rata mahasiswa mengharapkan hadirnya satu gelombang baru dalam kerangka membawa kampus menuju suasana yang harmoni, tidak terdidik dengan suasana agresif, meraikan kepelbagaian kelompok, bersikap progresif dan lebih matang dalam apa jua tindakan dan sebagainya.

Politik Nilai, Adakah Sekadar Angan-Angan?

Menyebut tentang pengamalan budaya politik nilai dalam pilihanraya, suka untuk saya sebutkan bahawa mahasiswa lebih cenderung untuk melihat suasana politik yang berasaskan nilai, jauh dari unsur-unsur yang tidak sihat, pembunuhan karakter, fitnah-memfitnah dan sebagainya.

Jika perkara ini berterusan ia akan memberi kesan yang lebih besar iaitu menatijahkan kemualan kepada sesetengah kelompok mahasiswa untuk bersama dalam proses demokrasi pilihanraya kampus dan menyebabkan peratusan yang turun mengundi menurun dan perkara ini seterusnya menyebabkan budaya tidak berpartisipasi dalam pilihanraya kampus lebih berterusan dan berleluasa.

Politik nilai adalah satu budaya politik baru yang wajar diketengahkan dan difokuskan dalam Pilihanraya Kampus. Ia mengajar kita untuk berpolitik secara berhujah, berdasarkan merit, bukannya politik yang jatuh menjatuh mahupun pembunuhan karakter.

Mahasiswa universiti juga tidak berminat dengan cara perebutan kuasa antara mana-mana kelompok mahasiswa yang bertanding, bahkan apa yang mereka harapkan ialah sejauh manakah calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya itu mampu menjadi suara mereka dalam apa jua perjuangan dan masalah yang dihadapi.

Politik nilai juga membawa mahasiswa supaya lebih fokus untuk menabur khidmat yang terbaik kepada masyarakat kampus, termasuklah isu-isu kewangan yang berlaku dalam kalangan siswa seperti contoh kesempitan kewangan, gagal membayar yuran pengajian dan sebagainya.

Seterusnya, isu golongan mahasiswa OKU di universiti dan kebajikan-kebajikan lain seperti menganjurkan program Free Ride, Food For Siswa atau Suspended Meal dan lain lagi. Sesiapa sahaja yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, maka dialah yang layak untuk diundi, tidak kiralah datang dari kelompok mana sekalipun.

Selain itu, mahasiswa perlu matang dalam memilih pemimpin mereka, meletakkan asas dan prinsip yang betul, bukannya memilih disebabkan mengikut rakan sekelas, memilih berdasarkan wajah dan sebagainya. Mahasiswa yang juga bergelar insan minda kelas pertama haruslah bijaksana dalam meletakkan kriteria calon yang dipilih.

Pilihlah calon yang mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus, bertindak bijak dalam apa jua keadaan, tidak agresif sebaliknya professional, mampu untuk kekal atas prinsip membawa keadilan dan rahmah untuk semua, beramanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul dan yang paling penting adalah ‘qawiyyul amin’ seperti yang disebutkan di dalam Al-quran.

Bagaimana Membudayakan Politik Nilai Dalam Kempen PRK?

Kelompok mahasiswa tidak kira daripada persatuan mahasiswa mana sekalipun perlu berusaha membumikan politik nilai terutamanya dalam kempen pilihanraya masing-masing.

Calon yang bertanding dan jentera yang menggerakkan pilihanraya seharusnya mengamalkan politik yang murni, bersaing dengan sihat, meraikan perbezaan dan mengamalkan politik nilai dan matang.

Terdapat 5 tip membudayakan politik nilai semasa kempen PRK. Antaranya:

1. Buku Manifesto

Pertama, menghasilkan buku manifesto secara terperinci oleh calon. Elemen penting yang perlu ada dalam buku tersebut ialah pertama, apa yang ingin diperjuangkan, kedua mengapa memperjuangkan perkara tersebut dan ketiga bila untuk realisasikannya.

3 elemen ini penting dan menjadi bukti bahawa calon tersebut bersedia untuk di ‘check and balance’ oleh persatuan lain dan juga mengamalkan budaya transparen dalam kempen masing-masing.

Buku manifesto tersebut boleh diedarkan kepada mahasiswa di universiti agar mereka tahu apa yang ingin dibawa dan diperjuangkan oleh calon dan mereka mampu memilih dengan baik berdasarkan merit dan khidmat yang ingin ditawarkan oleh calon tersebut selepas memenangi pilihanraya nanti.

2. Debat Manifesto

Kedua, menganjurkan atau menyertai debat manifesto atau rapat umum. Sebagai persatuan mahasiswa haruslah menyediakan platform untuk debat manifesto antara calon yang bakal bertanding dan menyeru ahli persatuan masing-masing untuk turut bersama dalam penganjuran berkenaan.

Penganjuran debat atau rapat umum ini penting bagi memastikan calon tersebut boleh membentangkan dan menghujahkan apa yang ingin diperjuangkan untuk kebajikan mahasiswa keseluruhannya.

Mahasiswa juga haruslah menyertai debat atau rapat umum ini untuk menilai, menimbangtara dan mempersoal apa yang diperjuangkan oleh calon seterusnya mereka dapat memilih yang paling berkredibiliti dan layak untuk diundi.

3. Disiplin Calon Dan Jentera

Ketiga, calon hendaklah mendisiplinkan jentera masing-masing semasa kempen berlangsung. Calon haruslah menentang penyokong mereka yang melakukan perbuatan yang boleh mengancam persatuan lain seperti contoh memburukkan pihak lain dan sebagainya.

Ini akan menguji calon tersebut samaada mampu atau tidak menguruskan jentera terlebih dahulu, sebelum memimpin warga kampus yang lebih besar dan kompleks. Calon seharusnya memberikan amanat kepada jentera supaya dapat berkempen dengan matang dan harmoni.

Jentera seharusnya membawa inspirasi yang sama yang ingin diperjuangkan oleh calon sebagai contoh jentera mampu untuk menerangkan manifesto calon jika calon tiada di ‘booth’ atau tempat berkempen.

4. Sifat Negatif

Keempat, tidak melontarkan fitnah dan melakukan pembunuhan karakter dan mengurangkan konfrontasi antara satu sama lain. Calon dan juga penyokong seharusnya menjauhi perbuatan keji ini dan tidak sewenang-wenangnya menimbulkan sesuatu yang boleh menyemarakkan api permusuhan dan perbalahan.

Cybertrooper masing-masing juga perlu menjauhi perbuatan yang kurang beradab terhadap pihak yang lain. Mahasiswa seharusnya matang dalam menangani kepelbagaian dan berusaha semampu mungkin untuk menunjukkan akhlak yang baik sepanjang kempen berlangsung.

5. Meja Bulat

Kelima, menganjurkan sesi meja bulat atau diskusi bersama persatuan mahasiswa merentasi kaum dan agama di universiti masing-masing sebagai platform dan keterbukaan untuk membincangkan halatuju masing-masing terutamanya berkaitan pilihanraya kampus termasuklah bersama golongan mahasiswa OKU dan sebagainya.

Semua persatuan mahasiswa mempunyai ideologi tersendiri dan seharusnya berganding bahu dalam perkara yang disepakati bersama demi pembawakan politik nilai dalam kampus masing-masing.

Selamat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan selamat menempuh Pilihanraya Kampus 2016 kepada semua mahasiswa Malaysia.

Semoga calon yang memenangi pilihanraya kali ini mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus dan bertindak amanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul tidak lama lagi. Bersama kita menyokong budaya politik nilai, matang dan berkebajikan demi melahirkan sebuah kampus yang harmoni.

Selamat memilih! Menuju kampus harmoni!

Ibrah

Belajar Dari Kesabaran Rama-Rama

Kehidupan seorang manusia pastinya tidak akan terlepas dari melalui proses perubahan. Tetapi, yang menjadi titik muhasabah kita bersama adalah apakah perubahan yang dibuat itu benar-benar menghasilkan kesan yang kekal dan berpanjangan.

Jika perubahan positif yang dibuat hari ini hanya mampu bertahan seketika, maka perlulah untuk kita koreksi dan intropeksi diri kembali adakah benar cara kita mengubah diri.

Perubahan memerlukan pengorbanan

no pain, no gain

Kita selalu disebutkan dengan kata-kata ini di saat kita lelah dalam melakukan sesuatu. Bahkan dalam jihad menuntut ilmu sendiri, Imam As-Shafie pernah berkata ,

 jika kamu tidak tahan menanggung lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya sebuah kebodohan

Keluar dari zon selesa merupakan satu pengorbanan yang berat dan susah. Mudah untuk kita ucapkan tetapi susah untuk dilaksanakan.

Belajarlah dengan sang ulat beluncas. Haiwan ini sebenarnya mengajarkan kita bahawa untuk berubah ke arah yang lebih baik memerlukan pengorbanan dan semangat yang kental.

Sang ulat yang ingin berubah menjadi seekor rama-rama yang cantik perlu meninggalkan masa-masa lazatnya menikmati dedaun hijau. Saat ia memilih untuk menjadi seekor rama-rama, ulat ini harus bertukar menjadi kepompong.

Dalam tempoh inilah, ulat mengajar kita erti tawakal pada tuhan dalam melakukan sebuah perubahan, kerana ia tidak tahu apa nasib yang ditakdirkan untuknya dalam tempoh itu.

Siang dan malam silih berganti, tiba masanya untuk sang ulat keluar dari kepompong dan bertukar menjadi sang rama-rama yang cantik warnanya.

Pengorbanan perlu juga dilakukan. Sang ulat tadi harus keluar dari keselesaan berada di dalam kepompong untuk mencapai cita-cita yang diimpikan. Dan begitulah seharusnya manusia.

Pengorbanan demi sebuah perubahan pastinya menatijahkan sesuatu yang bermakna, dengan syarat semuanya kerana Allah.

Perubahan ada tahapannya

Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam …(ali-imran : 28 )

Kerap kali kita membaca ayat-ayat al-quran yang menyebut tentang peredaran siang dan malam. Namun, jarang sekali pula untuk kita mentadabbur hikmah di sebalik kejadiannya untuk diamalkan dalam kehidupan kita.

Perubahan dari siang kepada malam dan dari malam kepada siang memberi kita satu petanda bahawa perubahan itu perlulah bertahap dan berperingkat-peringkat. Datangnya siang dimulakan dengan hadirnya cahaya sedikit demi sedikit bermula saat fajar menyinsing. Begitu jugalah datangnya malam.

Cahaya itu hilang sedikit demi sedikit bermula saat gelincirnya matahari pada waktu zohor sehingga terbenamnya ia pada waktu maghrib.

Semua ini menunjukkan kekuasaan dan hikmahnya Allah dalam mencipta. Allah tahu akan tabiat hidup manusia. Kejadian siang dan malam begini adalah untuk disesuaikan dengan fitrah semula jadi manusia supaya kita dapat menjalani kehidupan ini dengan selesa dan aman.

Kita juga tidak akan terkejut dengan siang yang datang jika cahaya dari matahari itu perlahan-lahan menyinari alam.

Begitulah juga perubahan yang seharusnya manusia lakukan. Kadang kala perubahan yang begitu drastik hanya bersifat sementara.

Bahkan dalam banyak keadaan, memaksa sesuatu perubahan ke dalam diri boleh menyebabkan kita mudah putus asa dan lelah saat diuji.

Islam sendiri hadir dalam hidup masyarakat arab dahulu secara berperingkat, bermula dengan menanam keyakinan akan tauhid kepada Allah hinggalah turunnya perintah untuk melaksanakan syariat Islam.

Mengapa kita ingin berubah?

Dalam setiap keputusan yang diambil, tanyakan kembali pada diri mengapa kita lakukan sedemikian. Kenapa sebenarnya kita ingin berubah kepada seorang muslim dan manusia yang lebih baik?

Adakah kerana Allah atau kerana manusia. Nabi Muhammad sendiri mengingatkan kita tentang pentingnya niat dalam setiap amal perbuatan.

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab radhiallahuanhu, dia berkata,

Saya mendengar Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya  karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan. (sahih bukhari muslim)

Persoalkan dalam diri selalu, dalam setiap gerak laku tentang niat dan sebab kita lakukan sesuatu. Ingatlah gagalnya kita dihujungnya mungkin kerana rosaknya langkah pertama.

Letakkan juga garis akhir dan target dalam perubahan yang dibuat supaya menajdi pembakar semangat saat kita mula rasa goyah. Jika sudah berazam maka bertawakkal lah. Teruskan berdoa moga langkah-langkah yang diambil terus didorong oleh hidayah dan petunjukNya.

Penulis :

Nusaibah Mohamad

Penulis Pena Syariah

Wanita

Sambutan Hijab Sedunia

1 Februari menjelang kembali, menjadi hari yang begitu signifikan buat seluruh wanita berhijab di dunia ini untuk bersama-sama menyebarkan falsafah Nazma Khan tentang hijab di mata masyarakat awam tidak kira beragama apa mahupun berbangsa mana di mana beliau mendatangkan idea ini sebagai satu cara untuk memupuk toleransi dan pemahaman agama dengan menjemput wanita tidak hijabis Islam atau bukan Islam untuk mengalami hijab untuk satu hari. Konsep berhijab yang dulu sering dipandang serong oleh masyarakat kini, sudah sedikit demi sedikit dapat ditangkis dengan memberi pendedahan mengenainya melalui kempen sebegini. Malahan ianya juga sebagai salah satu modus operandi wanita muslim untuk membuka mata pihak berkuasa tentang kebenaran bebas berhijab di negara mereka sendiri.

Prof. Madya Dr. Tuba Isik

Namun ada sesetengah pihak yang berpandangan bahawa wanita-wanita yang bangkit menuntut hak berhijab ini sebenarnya membawa imej feminisme. Di German misalannya, seorang aktivis wanita Jerman yang juga merupakan Presiden Muslim Women Society , Prof. Madya Dr. Tuba Isik merupakan antara wanita yang berani dan lantang dengan pihak berkuasa demi menuntut pemakaian berhijab bagi wanita muslim di sana. Namun akibat tindakan beliau ini, beliau telah dilabel sebagai “feminist” oleh beberapa pihak di sana.

The Creation of Partriarchy karya Gerda Lerner

Menurut Gerda Lerner di dalam bukunya The Creation of Partriarchy, beliau mendefiniskan feminisme sebagai sebuah doktrin yang menyokong hak-hak sosial dan politik yang setara bagi perempuan, beliau juga menambah bahawa feminisme juga bermaksud sebuah gerakan yang peduli dengan kesamarataan antara perempuan dengan lelaki dalam semua aspek masyarakat. Antara contoh yang kita boleh ambil, mereka ini menuntut agar apa yang telah terkandung dalam hukum syariat seperti contohnya dalam pembahagian harta pusaka, itu perlu sama rata antara lelaki dan perempuan. Ini jauh sekali berbeza dengan perjuangan feminisme wanita yang berlandaskan syariat di mana mereka ini menuntut keadilan bagi wanita terhadap sesuatu hak yang sepatutnya diperolehi oleh mereka seperti dalam isu pemakaian berhijab. Hal ini kerana pemakaian berhijab ini sememangnya hak seorang wanita muslim yang bukan sahaja dituntut atas dasar untuk memenuhi tuntutan agama, malahan juga sebagai melindungi diri sendiri daripada segala perkara buruk yang tidak diingini ibarat topi keledar yang berfungsi menjaga dan memelihara si pemakainya.

Di dalam Islam, kita sama sekali tidak menghalang wanita menuntut hak terhadap sesuatu perkara yang sepatutnya dituntut oleh mereka. Islam tidak pernah menyekat wanita untuk bersuara melahirkan suara hati mereka sendiri. Perkara ini ada tertera di dalam Kitabullah, Surah Al-Mujadilah di mana seorang wanita yang telah dizihar oleh suaminya tampil berjumpa sendiri dengan Nabi Muhammad S.A.W untuk mendapakan penjelasan tentang keadaanya. Islam hanya menghalang jika seorang wanita itu menuntut kesamarataan dengan kaum lelaki. Maka sudah terang lagi bersuluh tindakan sesetengah wanita feminisme yang bersyariat seperti Prof Dr Tuba Isik mahupun Nazma Khan sendiri dalam bersuara menuntut perjuangan hak berhijab ini bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya tuntutan hak wanita bukan hak kesamarataan antara wanita dan lelaki. Justeru, adakah layak perjuangan keadilan terhadap wanita digelar untuk menyebarkan agenda feminisme?

Maka, Sambutan Hijab Sedunia ini bukanlah salah satu propaganda untuk menyebarkan agenda Feminisme. Tetapi ia adalah satu sambutan untuk meraikan wanita muslim khususnya dalam pemakaian hijab atau dikenali sebagai tudung mahupun kerudung di kalangan masyarakat awam. Justeru, andai anda yang sedang membaca ialah seorang wanita muslim, maka ayuh bersama-sama kita berganding bahu menunjuk tanda sokongan terhadap hari hijab sedunia ini, dan seandainya juga anda yang sedang membaca merupakan mana-mana wanita non-muslim, maka ayuh bersama-sama dengan kami mendalami dan memahami lagi isu-isu kewanitaan agar kita menjadi wanita unggul di alam siber kini yang bijak bersuara bukan terbabas bicaranya dan akhirnya mampu untuk menjadi pencetus kebaikan buat seluruh kaum wanita di dunia ini juga yang terakhir, jika anda yang membaca ialah seorang lelaki, ayuh bersama kami juga untuk saling bantu-membantu dalam kebaikan demi kesejahteraan dunia dan seisinya.

Rujukan :

World Hijab Day

Lerner, Gerda, The Creation of Patriarchy, Oxford University Press, New York, 1986.

PENULIS:

Asma Hamizah Bt Mohamad Ghazali

Penulis Pena Syariah

Pelajar tahun 3, Pengajian Akidah dan Agama (Theology and Comparative Studies)

Aktivis dakwah dalam masyarakat majmuk IKRAM Siswa USIM Nilai.

Berita

Pena Syariah tekad ketengahkan pandangan bernas, segar

SERI KEMBANGAN – Pena Syariah, kumpulan penulis asatizah muda Jawatankuasa Ulama IKRAM bertekad untuk mengetengahkan penulisan yang bernas dan segar, serta memberi solusi dan pencerahan bagi isu-isu semasa yang berlaku dalam negara berasaskan syariah.

"Kami mempunyai visi untuk menjadi kumpulan penulis yang akan mengungguli penulisan syariah menjelang 2025," kata Saudara Wan Muhd Usaid Wan Subki, Pengerusi Pena Syariah 2017/2018.

Walaupun usia penubuhan masih belum mencecah setahun, Pena Syariah mengorak langkah dengan kejayaan menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Sisi Terlindung’ iaitu buku kompilasi sisi pandang anak muda yang mengupas pelbagai isu seperti isu semasa, kenegaraan, maqasid syariah dan sebagainya.

Bahkan, karya ahli Pena Syariah juga telah berjaya menembusi pelbagai akhbar, portal, majalah dan sebagainya.

Selain Wan Muhd Usaid yang dipilih sebagai Pengerusi dalam Mesyuarat Agung Pena Syariah pada Ahad lalu, Saudari Nik Fatma Amirah Nik Muhamad pula telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi.

Seterusnya, Naib Pengerusi 1 dan 2 disandang oleh Saudara Fadhli Othman dan Saudari Silmi Mohamed Radzi, dan jawatan Setiausaha dan Bendahari pula disandang oleh Saudari Nadhirah Amin dan Saudara Lokman Salleh.

Pena Syariah terdiri daripada empat unit iaitu Unit Penulisan Artikel Ilmiah, Unit Terjemahan, Unit Penyelidikan dan Unit Media.

Saudara Luthfi Yusri dan Saudari Nusaibah Mohamad dilantik sebagai Ketua dan Timbalan Unit Penulisan Artikel Ilmiah. Unit Penyelidikan pula dipimpin oleh Saudara Arham Merican dan Saudari Aliyah Bahari.

Selain itu, Unit Media dipimpin oleh Saudara Omar Siddeeq dan Saudari Raja Nur Hanisah manakala Unit Terjemahan dipimpin oleh Saudara Adam Adnan dan Saudari Hanis Halim.

Mesyuarat tersebut turut diserikan dengan kehadiran ahli dan penasihat Pena Syariah, iaitu Ustazah Maznah Daud yang berkongsi mengenai peri pentingnya untuk menpunyai kesedaran dalam diri setiap individu untuk menyampaikan ilmu dan salah satunya adalah melalui penulisan.

Antara perancangan ke hadapan Pena Syariah adalah menerbitkan buku ulasan Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah, jurnal kajian penyelidikan Pena Syariah dan buku kompilasi artikel ahli Pena Syariah.

Semoga Pena Syariah terus menjuarai penulisan yang rahmah dan berasaskan syariah pada masa akan datang, insya-Allah.

Isu Semasa

Bagaimana Membangun Kekuatan Umat Islam Melalui Kisah Pengorbanan Keluarga Ibrahim AS?

Hari ini seluruh umat islam menyambut Hari Raya Eidul Adha. Eidul Adha diciptakan oleh Allah untuk kita mengenang sebuah keluarga yang berjiwa besar. Contoh teladan dan pengorbanan yang luar biasa ditunjukkan oleh keluarga Nabi Ibrahim AS.

Bangsa Melayu atau umat islam pada hari ini masih bercelaru dilanda pelbagai musibah dan krisis sosial. Banyak persoalan kehidupan datang bertalu-talu. Ini membuktikan betapa signifikannya untuk membina kekuatan umat islam daripada ibrah ibadat haji dan meneladani kehidupan Nabi Ibrahim AS. Kekuatan harus dibina untuk menghadapi cabaran dan untuk membangunkan kehidupan umat islam.

Membangun kekuatan umat islam

Antara kekuatan yang harus dibina untuk membangunkan umat islam adalah:

1- Kekuatan Akidah

Nabi Ibrahim AS menunjukkan contoh dan teladan dari sudut keimanan dan aqidah yang tinggi kepada Tuhan. Nabi Ibrahim AS berdepan dengan ayahnya yang bukan islam dan melalui pelbagai mehnah dalam menghadapi kaumnya.

“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada ayahnya dan kaumnya, “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah” (Surah al-zukhruf:26)

Ayat ini jelas menunjukkan ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim AS yang berdepan dengan ayahnya yang tidak mahu beriman. Nabi Ibrahim AS berlepas diri dari kesyirikan dan beliau lulus dari ujian ini dengan bekalan kekuatan aqidah. Mukmin akan menjadi kuat apabila mempunyai kekuatan aqidah. Nabi Ibrahim AS tidak berputus asa apabila ditimpa musibah, dugaan dan cabaran sebaliknya melalui dengan penuh sabar.

Umat islam pada hari ini harus memiliki kekuatan aqidah ini yang menjadi senjata untuk menghadapi fitnah dunia yang mencabar. Ancaman serangan pemikiran, ideologi yang merosakkan terus mengasak umat islam. Tanpa kekuatan aqidah umat islam akan hanyut dibawa ombak kejahilan dan kesesatan.

2- Kekuatan akhlak dan budi pekerti mulia

Ini jelas ditunjukkan oleh Nabi Ismail AS iaitu kesabarannya yang tinggi dalam menghadapi cabaran dan ujian apabila diperintahkan oleh Allah untuk disembelih oleh ayahnya sendiri.

“Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka pikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (Surah As-soffat: 102)

Ayat ini jelas menunjukkan Nabi Ismail tidak sombong dan angkuh. Nabi Ismail AS berkata moga-moga dia termasuk antara yang sabar dan tidak mendakwa dirinya yang paling sabar. Ini adalah akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail AS yang seharusnya menjadi teladan untuk umat islam hari ini supaya tidak angkuh dan sombong.

Rasulullah SAW juga hadir untuk memperbaiki akhlak. Baginda bersabda: “Aku diutuskan utk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Ibadat haji juga sarat dengan akhlak. Jemaah haji tidak dibenarkan berkata keji, melakukan perbuatan fasik, perbalahan dan berbantahan antara satu sama lain. Umat islam perlu kaya dengan akhlak yang mulia, ia adalah kunci asas untuk membina semula kekuatan umat islam.

3- Kekuatan Ukhwah Islamiyah

Walaupun umat islam pada hari ini mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza, namun apabila kesatuan dan perpaduan menjadi asas ia cukup untuk membina kekuatan.

Barangkali ada saja perbezaan antara kelompok-kelompok, organisasi sosial, parti politik dan sebagainya tetapi ini tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita bersatu atas dasar akidah yang sama dan kita harus mengelakkan daripada menjadi puak ekstrim yang merasakan kelompok sendiri sahaja yang betul.

Sebagai umat islam, inilah kewibawaan kita. Musuh islam akan takut melihat umat islam yang bersatu teguh. Kita harus mengambil pelajaran daripada kesan perpecahan negara islam. Kita tidak mahu umat islam semakin mundur dan umat islam menjadi pelarian di negara lain. Sifat toleransi juga harus menjadi pegangan kita dan persepakatan bukti kekuatan iman umat

islam.

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu yang berselisih dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat” (Surah al-hujuraat: 10)

Ibrah dari semangat pengorbanan

Nabi ibrahim AS juga turut merasakan betapa besarnya tuntutan korban keatas dirinya dan keluarganya, tetapi ketaatan kepada Allah mengatasi segalanya. Allah tidak meminta harta Nabi Ibrahim tetapi Allah meminta untuk baginda menyembelih anaknya.

Jadi persoalan sanggupkah kita menghadapi perkara yang sama apabila diperintahkan berbuat demikian? sudahkah kita berkorban seikhlas hati kita kerana Allah?

Pengorbanan yang kita lakukan hanya kecil jika ingin dibandingkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Kita harus meletakkan keinginan berkorban bukan sahaja korban lembu atau kambing, tetapi lebih dari itu. Kita harus berkorban masa untuk islam, berkorban harta untuk menjana ekonomi umat islam, berkorban tenaga untuk kerja-kerja dakwah demi pengislahan umat islam.

Kita juga dituntut untuk wajib berusaha mencari rezeki yang halal, mengukuhkan institusi wakaf dan membudayakan zakat atau sedekah untuk membantu ekonomi umat islam.

Selain itu, umat islam harus berkorban untuk menguasai ilmu yang pelbagai. Bukan sekadar mempunyai kesarjanaan, tetapi ilmu itu untuk disebarkan kepada masyarakat. Ilmu juga untuk digunakan bagi tujuan perpaduan umat bukan menyumbang kepada perpecahan umat.

Seterusnya, semangat pengorbanan juga ditunjukkan oleh Siti Hajar yang menunjukkan contoh qudwah seorang ibu yang muslimah yang kuat dan berhati tabah. Kepatuhannya kepada perintah Allah dan perintah suami harus diteladani oleh kelompok wanita pada hari ini.

Selain itu, Nabi Ismail AS juga mempamerkan kepada kita kepatuhan yang penuh kepada perintah Allah dan perintah ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan segera menyahut seruan untuk disembelih.

Dalam kerangka membina kekuatan umat islam, kita harus menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai contoh teladan apabila baginda juga melibatkan anaknya dan keluarganya dalam memakmurkan masjid.

Serangan pemikiran dan fitnah teknologi terus menghantui diri anak muda kita pada hari ini dan mereka beralih pandangan kepada media sosial. Kita harus mencontohi Nabi Ibrahim AS dan berusaha untuk kembalikan anak muda supaya terpikat hatinya dengan masjid.

Sebagaima yang berlaku kepada anak Nabi Nuh AS yang diajak utk diselamatkan daripada ombak besar, lantaran kita juga perlu mengajak generasi muda supaya tidak tenggelam dalam ombak media massa yang besar.

Semoga Eiduladha pada tahun ini lebih bermakna dan kekuatan umat islam terus dibina!

PENULIS:

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad

Timbalan Pengerusi Pena Syariah

Puisi

Merdekalah Duhai Hawa

Duhai Hawa,

Percayalah bila ada yang berkata,

Kau dicipta Allah sangat mulia,

Kau mahkluk merdeka,

Kau begitu istimewa!

Duhai Hawa,

Yakinlah bahawa tatkala Adam dicipta,

Dengan sifat ingin berkuasa,

Kaulah yang mengimbangi dunia,

Dari kuasa durjana,

Persis Asiah memelihara Musa,

Tatkala Firaun menzalim menggila.

Duhai Hawa,

Bangkitlah walau sendiri,

Usah layu dipuji atau lemah dimaki,

Bak Maryam yang tabah berdiri,

Menahan peritnya sekeliling mencaci,

Padahal tangan mengendong anak pembawa risalah nabi.

Duhai Hawa,

Cubalah mengerti,

Ketika tuhan menciptamu,

Tiadalah hasratNya untuk kau hidup menjadi perhatian lelaki,

Apatah lagi mencabar menyaingi sang lelaki,

Bahkan kau punya misi,

Sama besar seperti lelaki,

Yang kau sama-sama janji pada ilahi.

Duhai Hawa,

Oleh itu, dengar sini,

Merdekakan dirimu dari definisi-definisi fantasi,

Yang kau kira perlu kau penuhi,

Merdekakan akalmu dari tradisi,

"Perempuan hanya penanak nasi",

Merdekakan jiwamu dari sesembahan duniawi,

Kerana jiwamu mulia disisi rabbul ‘izzati.

Silmi | Ogos 2017

#Merdeka