Isu Semasa

Bagaimana Membangun Kekuatan Umat Islam Melalui Kisah Pengorbanan Keluarga Ibrahim AS?

Hari ini seluruh umat islam menyambut Hari Raya Eidul Adha. Eidul Adha diciptakan oleh Allah untuk kita mengenang sebuah keluarga yang berjiwa besar. Contoh teladan dan pengorbanan yang luar biasa ditunjukkan oleh keluarga Nabi Ibrahim AS.

Bangsa Melayu atau umat islam pada hari ini masih bercelaru dilanda pelbagai musibah dan krisis sosial. Banyak persoalan kehidupan datang bertalu-talu. Ini membuktikan betapa signifikannya untuk membina kekuatan umat islam daripada ibrah ibadat haji dan meneladani kehidupan Nabi Ibrahim AS. Kekuatan harus dibina untuk menghadapi cabaran dan untuk membangunkan kehidupan umat islam.

Membangun kekuatan umat islam

Antara kekuatan yang harus dibina untuk membangunkan umat islam adalah:

1- Kekuatan Akidah

Nabi Ibrahim AS menunjukkan contoh dan teladan dari sudut keimanan dan aqidah yang tinggi kepada Tuhan. Nabi Ibrahim AS berdepan dengan ayahnya yang bukan islam dan melalui pelbagai mehnah dalam menghadapi kaumnya.

“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada ayahnya dan kaumnya, “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah” (Surah al-zukhruf:26)

Ayat ini jelas menunjukkan ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim AS yang berdepan dengan ayahnya yang tidak mahu beriman. Nabi Ibrahim AS berlepas diri dari kesyirikan dan beliau lulus dari ujian ini dengan bekalan kekuatan aqidah. Mukmin akan menjadi kuat apabila mempunyai kekuatan aqidah. Nabi Ibrahim AS tidak berputus asa apabila ditimpa musibah, dugaan dan cabaran sebaliknya melalui dengan penuh sabar.

Umat islam pada hari ini harus memiliki kekuatan aqidah ini yang menjadi senjata untuk menghadapi fitnah dunia yang mencabar. Ancaman serangan pemikiran, ideologi yang merosakkan terus mengasak umat islam. Tanpa kekuatan aqidah umat islam akan hanyut dibawa ombak kejahilan dan kesesatan.

2- Kekuatan akhlak dan budi pekerti mulia

Ini jelas ditunjukkan oleh Nabi Ismail AS iaitu kesabarannya yang tinggi dalam menghadapi cabaran dan ujian apabila diperintahkan oleh Allah untuk disembelih oleh ayahnya sendiri.

“Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka pikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (Surah As-soffat: 102)

Ayat ini jelas menunjukkan Nabi Ismail tidak sombong dan angkuh. Nabi Ismail AS berkata moga-moga dia termasuk antara yang sabar dan tidak mendakwa dirinya yang paling sabar. Ini adalah akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail AS yang seharusnya menjadi teladan untuk umat islam hari ini supaya tidak angkuh dan sombong.

Rasulullah SAW juga hadir untuk memperbaiki akhlak. Baginda bersabda: “Aku diutuskan utk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Ibadat haji juga sarat dengan akhlak. Jemaah haji tidak dibenarkan berkata keji, melakukan perbuatan fasik, perbalahan dan berbantahan antara satu sama lain. Umat islam perlu kaya dengan akhlak yang mulia, ia adalah kunci asas untuk membina semula kekuatan umat islam.

3- Kekuatan Ukhwah Islamiyah

Walaupun umat islam pada hari ini mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza, namun apabila kesatuan dan perpaduan menjadi asas ia cukup untuk membina kekuatan.

Barangkali ada saja perbezaan antara kelompok-kelompok, organisasi sosial, parti politik dan sebagainya tetapi ini tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita bersatu atas dasar akidah yang sama dan kita harus mengelakkan daripada menjadi puak ekstrim yang merasakan kelompok sendiri sahaja yang betul.

Sebagai umat islam, inilah kewibawaan kita. Musuh islam akan takut melihat umat islam yang bersatu teguh. Kita harus mengambil pelajaran daripada kesan perpecahan negara islam. Kita tidak mahu umat islam semakin mundur dan umat islam menjadi pelarian di negara lain. Sifat toleransi juga harus menjadi pegangan kita dan persepakatan bukti kekuatan iman umat

islam.

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu yang berselisih dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat” (Surah al-hujuraat: 10)

Ibrah dari semangat pengorbanan

Nabi ibrahim AS juga turut merasakan betapa besarnya tuntutan korban keatas dirinya dan keluarganya, tetapi ketaatan kepada Allah mengatasi segalanya. Allah tidak meminta harta Nabi Ibrahim tetapi Allah meminta untuk baginda menyembelih anaknya.

Jadi persoalan sanggupkah kita menghadapi perkara yang sama apabila diperintahkan berbuat demikian? sudahkah kita berkorban seikhlas hati kita kerana Allah?

Pengorbanan yang kita lakukan hanya kecil jika ingin dibandingkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Kita harus meletakkan keinginan berkorban bukan sahaja korban lembu atau kambing, tetapi lebih dari itu. Kita harus berkorban masa untuk islam, berkorban harta untuk menjana ekonomi umat islam, berkorban tenaga untuk kerja-kerja dakwah demi pengislahan umat islam.

Kita juga dituntut untuk wajib berusaha mencari rezeki yang halal, mengukuhkan institusi wakaf dan membudayakan zakat atau sedekah untuk membantu ekonomi umat islam.

Selain itu, umat islam harus berkorban untuk menguasai ilmu yang pelbagai. Bukan sekadar mempunyai kesarjanaan, tetapi ilmu itu untuk disebarkan kepada masyarakat. Ilmu juga untuk digunakan bagi tujuan perpaduan umat bukan menyumbang kepada perpecahan umat.

Seterusnya, semangat pengorbanan juga ditunjukkan oleh Siti Hajar yang menunjukkan contoh qudwah seorang ibu yang muslimah yang kuat dan berhati tabah. Kepatuhannya kepada perintah Allah dan perintah suami harus diteladani oleh kelompok wanita pada hari ini.

Selain itu, Nabi Ismail AS juga mempamerkan kepada kita kepatuhan yang penuh kepada perintah Allah dan perintah ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan segera menyahut seruan untuk disembelih.

Dalam kerangka membina kekuatan umat islam, kita harus menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai contoh teladan apabila baginda juga melibatkan anaknya dan keluarganya dalam memakmurkan masjid.

Serangan pemikiran dan fitnah teknologi terus menghantui diri anak muda kita pada hari ini dan mereka beralih pandangan kepada media sosial. Kita harus mencontohi Nabi Ibrahim AS dan berusaha untuk kembalikan anak muda supaya terpikat hatinya dengan masjid.

Sebagaima yang berlaku kepada anak Nabi Nuh AS yang diajak utk diselamatkan daripada ombak besar, lantaran kita juga perlu mengajak generasi muda supaya tidak tenggelam dalam ombak media massa yang besar.

Semoga Eiduladha pada tahun ini lebih bermakna dan kekuatan umat islam terus dibina!

PENULIS:

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad

Timbalan Pengerusi Pena Syariah

Isu Semasa

Ulang Tahun Rahmatan Lil Alamin

Setiap kali tarikh ini menjelang tiba, pelbagai jenis artikel tersebar di laman media sosial berkenaan hukum menyambut maulid Nabi, manakala di alam realiti pula,  pelbagai agenda program disusun oleh pelbagai organisasi, baik di tadika mahupun di jabatan kerajaan untuk meraikannya. Itulah politik biasa orang ramai apabila tarikh ini menjelang tiba, hingga menenggelamkan nilai keemasan yang sepatutnya diambil iktibar oleh kita semua.

12 Rabiul Awal; apa nilai keemasan di sebalik tarikh ini? Ini dua nilai utama untuk kita renungi bersama.

Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk jadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi. (Q.S. Al Ahzab [33]: 45-46)

Setelah beberapa tempoh waktu manusia di bumi ditinggalkan tanpa Utusan dari Allah, mereka kian terpesong dari ajaran asal agama Samawi. Patung berhala disembah sebagai ganti Tuhan. Kemudian, Allah mengutuskan utusanNya untuk menjadi cahaya kepada segala bentuk kegelapan di zaman Jahiliyah itu. Lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdullah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah ini diakui oleh sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan, malah disenaraikan sebagai sebagai manusia nombor satu yang paling berpengaruh dalam sejarah oleh Michael H. Hart (1978).

Lahirnya Nabi s.a.w memberi impak dalam segenap hal. Jika di permulaan kelahirannya di dunia, Nabi s.a.w. membawa rahmat kepada kehidupan ibu susannya, begitu juga dalam fasa kehidupannya yang seterusnya hingga ke penghujungnya. Segala bentuk pemesongan aqidah diluruskan kembali, dari mempertuhankan manusia dan berhala kepada Ubudiyah kepada Allah yang Satu, penindasan golongan lemah kepada kesamarataan sesama manusia dan banyak lagi. Nabi yang Ummiy (tidak pandai membaca dan menulis), namun mampu mengubah dunia hasil kebenaran dan kesucian risalah yang diamanahkan Allah kepadanya!

Akhlak dalam bahasa mudahnya ialah perilaku spontan yang terhasil tanpa memerlukan kita berfikir sebelum bertindak apabila menghadapi sesuatu, telah terpahat kukuh di dalam jiwa. Aisyah r.a, apabila ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w, dijawabnya: Akhlaknya ialah al-Quran. Akhlak Baginda bukanlah akhlak yang biasa-biasa, baiknya Baginda bukanlah baik yang biasa-biasa. Setiap anjuran kebaikan yang tercatat di dalam al-Quran, semuanya ialah akhlak Baginda. Sabar, berbuat amal soleh, berbaik dengan orang tua dan manusia selainnya, Qowiy, Amin, semua ajaran al-Quran membumi di dalam diri Baginda s.a.w. Keagungan akhlak Baginda tidak dapat disangkal oleh siapa pun. Hal ini terbukti apabila masyarakat Arab masih mengamanahkan Nabi s.a.w untuk menjaga barangan mereka walaupun setelah pengisytiharan kenabian. Ironi; mereka mencaci Nabi s.a.w, dalam masa yang sama mereka meminta pertolongan Nabi s.a.w ; dan baginda sudi membantu mereka!

Bukti keagungan akhlak Baginda jelas terpancar dalam ayat: “Dan sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi (mulia).” (Surah Al-Qalam : 4). Baginda s.a.w. dipuji oleh Tuhan semesta alam, Allah yang Maha Esa, namun baginda s.a.w tidak terkesan walau sedikit pun dengan pujian itu. Jika manusia biasa, apabila dipuji oleh Perdana Menteri misalnya, pasti senyum tidak keruan seharian! Namun, Nabi s.a.w. langsung tidak terkesan dengan pujian dari Allah; menggambarkan keagungan akhlak Baginda yang melayakkannya dipuji oleh Allah! Hatinya terus tawadhu’, peribadinya masih sama, semangat juangnya tiada beza, keluhuran niat dalam hatinya masih tetap suci; tiada beza.

12 Rabiul Awal tahun Gajah,  Allah mentakdirkan kelahiran seorang bayi dinamakan Muhammad. Kelahiran yang dinantikan oleh semua, banyak tanda-tanda terzahir sebelum kelahirannya. Kelahiran Baginda menandakan rahmat buat sekalian alam telah mula tersemai ke bumi dan kesannya tinggal sedari hari ini.

Ayuh, pada 12 Rabiul Awal kali ini, kita menyambutnya dengan melihat dari sudut pandang yang baru. 

Ayuh, kita menifestasikan kesyukuran kita dilahirkan sebagai umat Muhammad yang merasai kesan terutusnya Baginda ke dunia meskipun hanya dalam tempoh 63 tahun dengan memperbanyak selawat ke atas Baginda.

Ayuh, kita menjadikan amalan meneladani akhlak Baginda s.a.w sebagai cara hidup utama untuk mencapai redha-Nya.

Syukurilah, kita dianugerahkan Allah seorang Nabi yang merelakan dirinya disakiti dengan mehnah yang berpanjangan dalam hidupnya semata-mata supaya cahaya yang dibawanya sampai kepada generasi kita. Berbanggalah kerana dilahirkan dalam kalangan umat Muhammad yang agung ini. Muhammad yang terpuji!

Aku; umat Muhammad!

Allahumma solli ‘ala Muhammad

Isu Semasa

Bagaimana Keadaan Umat Islam Selepas 93 Tahun Kejatuhan Khilafah

Duka ini seakan baru semalam kita rasai, hari ini (3 Mac) cukup 93 tahun kita kehilangan identiti khalifah islamiyah, kehilangannya membawa seribu satu kisah duka umat Islam sehingga kini, akan aku ceritakan satu persatu-satu, atau mungkin hanya 3 kisah dari beribu kisah kerana yang pasti mustahil untuk diceritakan semua.

Setelah kehilangan khalifah…

1. Umat Islam ditindas tanpa henti

Zionist Settlement

Kisah ini dimulai di Jazirah Arab, tepatnya di Palestin, Zionimisme mendakwa bahawa Palestin milik mereka, satu persatu darah syuhada’ menyimbah bumi, kanak-kanak dan wanita dibunuh tanpa belas kasihan , rumah dan harta benda milik kaum muslimin dihancur bagai tiada nilai, hingga kini setelah lebih  60 tahun dijajah, putaran peristiwa itu tidak pernah berhenti.

Namun kisah penindasan ini tidak terhenti di sempadan tertentu, hampir di seluruh pelosok dunia ada kisah muslim ditindas, di Bosnia, di Xinjiang , Rakhine dan sebagainya.

Original source: http://english.al-akhbar.com/sites/default/files/imagecache/5cols/leading_images/272065.jpg

2. Barat menjadi kiblat

Hakikat yang tidak dapat lagi disangkal, seakan kita orang buta yang membiarkan diri di bawa ke mana sahaja, mengagungkan mereka yang seolah-olah menjadi ‘penyelamat dunia’, ’para pencinta keamanan’.

Tidak dinafikan bahawa ada sebahagian dari nilai-nilai mereka yang layak dicontohi, namun malangnya, kita tidak mencontohi nilai baik itu, malah lebih menyukai budaya hedonisme, liberalisme dan pelbagai isme yang rosak lagi merosakkan.

Atau mungkin kita lupa pada firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu, sebelum engkau mengikuti agama mereka.” (2:120)

Junjungan besar Nabi Muhamad juga pernah bersabda : Dari Abu Sa‘id Al Khudri, ia berkata: “Rasululah bersabda:

‘Sungguh kalian akan mengikuti jejak umat-umat sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehingga kalau mereka masuk ke dalam lubang biawak, niscaya kalian pun akan masuk ke dalamnya.’ Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah kaum Yahudi dan Nasrani?’ Sabda beliau: “Siapa lagi.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Apakah penyembahan kepada Allah itu hanya ketika solat? Mengapa millah yang telah dipilih oleh Allah tidak kita angkat setinggi-tingginya? malah memilih barat menjadi kiblat!

3. Menjauhi ilmu melupai sejarah

Betapa Islam pada zaman keemasannya ketika kurun 750-1500, sangat dipenuhi dengan para ilmuwan di setiap pelosok negeri, dikatakan bahawa pada masa itu, Kota Wadah (sebuah kota kecil di Baghdad) sahaja memiliki lebih dari 100  kedai buku.

Iman Shoppe di Serdang

Muslimin pada waktu itu benar-benar mencintai ilmu, wahyu pertama ‘iqra’ menjadi kecintaan dan sebahagian daripada diri mereka. Namun, makin lama kecintaan itu mula dilupakan , apabila hiburan menjadi pilihan.

Apabila menjauhi ilmu, justeru sejarah juga mula dilupai, ramai golongan yang apabila diajak berbicara dan menghayati sejarah, mereka berpandangan sejarah ini adalah satu perkara yang membosankan.

Sebagai Muslim khususnya, kita perlu menghayati sejarah, mengkaji dan membaca sejarah, seerah nabi, kisah perjuangan dan corak kehidupan baginda serta para sahabat serta setiap satu peristiwa yang pernah berlaku ,

those who forget the past are condemn to repeat it’, kata George Santayana.

Hari ini kita semakin melupai sejarah, melupai bahawa kita pernah menjadi rujukan alam satu masa dahulu wahai muslimin!

Apakah engkau lupa?

Secebis nasihat

Kehidupan ini ibarat roda, akan dipergilirkan setelah kemenangan itu kejatuhan, dan daripada kejatuhan akan tiba waktu kemenangan.

Duka semalam bukan untuk kita tangisi, atau sesali bahkan menjadi satu momentum untuk kita kembali bangkit menjadi Muslim yang lebih baik, percaya bahawa al-Haq itu akan sentiasa menang, lambat atau cepat itu hanya sukatan masa,usaha kita yang akan menjadi pertanyaan di akhirat sana.

Khilafah akan tertegak kembali suatu saat nanti!

‘Tanamkan Islam di dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di sekitarmu.’- Umar al Khattab r.a

Isu Semasa

Di Manakah Kita Harini ?

Sirah membuktikan bahawa umat islam dahulunya sangat hebat dan gemilang hidupnya. Mereka sangat komited dengan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim. Mereka merasakan bahawa makna islam itu adalah sebuah kata kerja yang perlu untuk diterjemahkan dalam bentuk pengamalan yang sebenar. Hebatnya sewaktu era empayar Abbasiyyah yang melahirkan cendekiawan cendekiawan Islam yang sangat memberi impak kepada seantero dunia. Hebatnya Sultan Muhammad al Fateh dan angkatan tenteranya yang berjaya menakluki Konstentinopel dengan penuh perangkaan strategi yang amat unik dan teliti serta persiapan ruhaniyah mereka yang penuh dengan benih benih keimanan yang meresap jiwa. Mereka juga bergelar manusia seperti kita.

KONTEKS MALAYSIA

Sejak mutakhir ini , Kita seringkali disajikan dengan berita dan laporan yang kurang enak didengar dan dibaca di akhbar harian , laman laman sosial dan televisyen. Antaranya :

  1. Remaja perempuan 14 Tahun , Hamil di Melaka ( Sumber Harian Metro )
  2. Pasangan remaja dicekup tinggal sebumbung di Terengganu ( Sumber Sinar Harian )
  3. Video yang tular di laman Facebook perihal seorang peniaga memaki dan menyumpah seranah kepada peniaga lain

Malah selain contoh di atas , penulis yakin bahawa pembaca juga lebih mengambil tahu dalam mengikuti krisis akhlak ,krisis sosial dan krisis keluarga di Malaysia. Krisis penceraian yang kian meningkat, krisis pembuangan bayi dan pornografi juga kian bertambah bilangannya. Melihatkan kepada permasalahan ini kita sebagai rakyat Malaysia serta pihak berwajib seharunya bersama sama menangani krisis ini dengan penuh berhemah dan efisyen. Perbaiki segala perkara yang dilihat ada kelompongan untuk menghidupkan kembali sisa sisa harapan yang kian pudar buat mereka. Seperkara lagi , kita perlu menilai dan menganalisis apakah punca semua ini berlaku? Atas sebab apa? Bagaimana ia boleh berlaku? Saya sendiri melihat permasalahan ini boleh berlaku atas beberapa sebab yang dapat difikirkan. Majoriti dikalangan mereka ini adalah manusia yang beragama Islam.

Kelemahan Pembangunan Sahsiah Diri

Aspek ini sering kali diambil acuh tidak acuh oleh sebilangan masyarakat muslim kita . Ianya merupakan kunci kepada segalanya. Pembentukan dan pembinaan sahsiah diri yang teliti dan berkesan akan melahirkan modal insan yang berguna. Sewajarnya pembangunan sahsiah diri ini bermula di rumah dan sekolah. Mengapa saya katakan rumah dan sekolah ? kerana ia merupakan medan yang paling banyak masa digunakan oleh anak anak muda kita harini. Ketahuilah bahawa pembentukan sahsiah diri yang ideal perlu dimulakan pada usia yang awal. Meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Antara metodologi yang boleh diusahakan dan disusun di rumah adalah mendekatkan mereka ini dengan Al quran. Kerana jatuhnya masyarakat harini adalah kerana mereka jauh dengan Al quran apatahlagi mahu berinteraksi dengannya. Didik keluarga dengan sentuhan ayat ayat Al quran untuk membina jiwa dan sahsiah anak anak. Selalu memperdengarkan dan taddabur ayat Al quran untuk dijadikan pedoman bersama.

Kedua , ahli keluarga seharusnya selalu berinteraksi dan berkomunikasi sesama mereka. Hal ini sebaiknya perlu diberi perhatian. Anak anak muda pada hari ini sepatutnya mendapat perhatian yang lebih daripada ibu bapa untuk mendidik dan bersama mereka. Kerana jiwa seorang ayah dan ibu tahu akan yang terbaik buat anaknya. Memberi perhatian yang serius terhadap anak seharusnya menjadikan keluarga tersebut harmoni dan bahagia. Akhirnya , anak mereka tenang hidup bersama kerana budaya nasihat menasihati dan tegur menegur segar dalam keluarga mereka.

Ketiga , peranan guru guru disekolah dalam membentuk peribadi dan sahsiah. Ketahuilah bahawa elemen ini sangat mustahak untuk dibina dan dibentuk disekolah. Pendidik merupakan aset penting dalam masyarakat untuk mencorak masa hadapan bangsa dengan lebih maju dan berjaya. Kita perlu merasakan bahawa setiap jiwa pendidik seharusnya melahirkan sifat kasih dan saying kepada anak didiknya untuk membentuk mereka ke neraca individu yang mampu untuk bermanfaat kepada diri dan orang orang di sekitarnya serta tahu akan potensi dirinya. Jika ia terus diberi perhatian , maka gejala sosial yang kelihatan agak memalukan harini pasti akan berkurang jumlahnya.

Kadar Intelektual yang lemah

Tanda aras bagi kehebatan sebuah tamadun adalah melihatkan kepada kadar inteleknya dan aspek pengamalannya. Misalnya , Zaman Abbassiyah penuh dengan insan insan yang sangat sukakan ilmu , suka mengkaji dan menyelidik serta mencuba sesuatu yang baharu. Akhirnya , banyak tokoh ilmuan yang lahir pada itu contohnya , Ibn Sina dan Ibn Bahtuta. Masyarakatnya juga sangat menjaga hal hal berkaitan perihal keagamaan baik dari segi suruhan atau larangan hingga melahirkan suatu masyarakat yang tinggi ilmunya.

Masyarakat yang berbudaya ilmu perlu menegekalkan momentum membudayakan ilmu dalam kehidupan agar ia berterusan hingga generasi akan datang. Budaya ilmu di sini adalah kesemua tingkat masyarakat tidak kira lapisan sebaiknya mengamalkan sesuatu tindakan berasaskan ilmu pengetahuan. Walaupun wujud pembudayaan ilmu dalam masyarakat ,sekiranya tidak istiqamah maka ia akan kembali kepada zaman jahilliyah yang merosakkan seperti mana zaman zaman tamadun terdahulu. Maka nilai ini seharusnya diwujudkan secara konsisten. Kerana ilmu adalah kunci untuk membina masyarakat yang bertamadun dan tinggi kadar inteleknya. Tuntasnya , nilai intelek ini sewajarnya perlu dipupuk sejak usia yang muda untuk membina generasi yang ampuh pada masa akan datang.

Konklusi

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya yang terbaik. Melihatkan kepada isu ini dalam demografi di Malaysia ia sangat memerlukan peranan semua pihak . Namun bagi saya , ia adalah lebih mustahak untuk kita sendiri yang melakukan perubahan iaitu Islah al–nafs . Islah perlu bermula pada diri sendiri. Islah al-nafs adalah asas kepada reformasi akhlak , intelek dan lain lain. Islah al–nafs ini akan sempurna sekiranya setiap individu itu Berjaya menggabungkan semua aspek yang berkaitan idealisme , intelektualisme , aktivisme dan spiritualsme. Empat aspek ini sangatlah penting dalam mewujudkan keseimbangan rohani ,emosi , jasmani dan intelektualnya. Aspek ini seharusnya bergerak serentak dan seiring dan tidak boleh dilaksanakan secara berasingan. Yakinlah bahawa kita sendiri yang mempunyai pilihan sama ada untuk memilih jalan yang baik atau jalan yang buruk. Maka nilailah dengan hati yang terbuka , semua perubahan bergantung pada diri kita sendiri yang menatijahkan kesannya kepada masayarakat. Bantulah masyarakat kita yang sedang parah ini !

PENULIS:

Luthfi Yusri

Isu Semasa

Bagaimana Pornografi Merosakkan Otak Pelajar

Hari ini jika di sekolah, masalah rokok dan dadah menjadi kempen utama di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri.

Bulan tanpa rokok dan anti dadah menjadi satu kempen yang wajib dilaksanakan di peringkat sekolah. Namun tidak bagi dadah pornografi.

Rokok dan dadah mampu dilihat secara zahir. Langkah pencegahannya mampu dirancang agar murid-murid sedar dan tahu akan akibat dan kesan bahayanya.

Manakala pornografi pula merupakan jarum halus yang sukar dikenal pasti pada diri seseorang pelajar.

Sebuah kajian telah dijalankan, 420 survey kanak-kanak 9 – 16 tahun di beberapa buah sekolah di Selangor. 50% dari kanak-kanak antara telah terdedah dengan pornografi di laman web (1).

Manakala 860 survey remaja berumur 13-18 tahun dari beberapa negeri Pulau Pinang, Selangor & Johor mencatatkan 36% remaja telah terlibat dengan satu jenis tingkah laku seksual dan 11% terlibat dengan hubungan seksual (2).

Cara Pornografi Merosakkan Otak

Kecanggihan teknologi seperti internet, telefon bimbit dan segala aplikasi media sosial antara faktor utama pornografi sangat mudah berada dalam genggaman tangan dan memasuki ruang peribadi kehidupan pelajar.

Hal ini menyebabkan, mereka mudah meneroka tanpa batasan dan memperoleh ‘dadah’ pornografi dengan mudah.

Terdapat dua sistem di dalam otak manusia, iaitu responder (sistem limbik) dan director ( prefrontal cortex / PFC).

Sistem Direktori (director) berkaitan dengan kemampuan berfikir secara rasional. PFC, antara lain, bertanggungjawab dalam membuat keputusan, menentukan prioriti, menganalisis risiko, dan berkeupayaan penilaian.

Namun, PFC belum sepenuhnya berkembang pada usia remaja. Bahagian ini akan sempurna sepenuhnya ketika seseorang mencapai usia 24-25 tahun.

Sistem limbik terdiri dari sturuktur di otak yang berhubungan dengan emosi seperti marah, kebahagian dan takut. Sistem limbik juga boleh dikenali sebagai responder.

Tugasan responder adalah untuk mengatur perilaku, hasrat, emosi, ingatan, motivasi, dan perkara yang berkaitan gerakbalas.

Sistem responder antara lain akan mendorong seseorang untuk senang, memuaskan diri, dan merasakan kenikmatan.

Bagi kanak-kanak, rangsangan sangat mudah kerana mereka lebih cenderong belajar dengan cara melihat berbanding rangsang berfikir. Kesannya mereka sukar membezakan antara fakta dan fantasi serta tindakan yang boleh dan tidak boleh,

Apabila seorang kanak-kanak menyaksikan bahan pornografi, sistem responder lebih banyak dipacu dan jauh lebih besar bertindak.

Hal ini kerana pornografi membawa ke arah kesenangan, sedangkan otak depannya atau PFC masih kurang berkembang.

Pornografi membuatkan otak kanak-kanak bertarung antara sistem responder dan direktor. Akhirnya sistem responder akan berkembang pesat berbanding sistem director yang membawa ketidak seimbangan dalam berfikir dan membuat keputusan.

Kesan Kepada Pembelajaran

Kini, wabak pornografi bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sejak awal sekolah rendah, wabak ini telah meracuni pemikiran pelajar-pelajar.

Sehinggalah ke dunia IPT, bahan pornografi lebih mudah di miliki tanpa rasa bersalah di jiwa.

Pornografi telah memusnahkan sistem fikir mereka. Bukan itusahaja , virus ini mampu mempengaruhi fizikal dan emosi sehingga ke tahap yang amat teruk. Akhirnya kualiti pencapaian mereka dalam pelajaran akan merosot.

Kecanduan pornografi membuatkan sistem responder pelajar menjadi selesa dengan kenikmatan yang mereka perolehi.

Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar yang candu pornografi mengalami boring, keseorangan atau berada dalam tekanan maka mereka akan menghalakan diri mereka ke arah mencari nikmat seks yang singkat.

Setelah perkara ini berulang ulang kali dilakukan, maka sistem director mereka akan rosak. Di sini kita akan dapati pelajar akan kurang mampu berfikir secara rasional.

Idea dan pendapat-pendapat yang dikeluarkan tidak mampu mencapai tahap kualiti yang tinggi.

Selain itu, mereka yang telah candu dengan pornografi juga akan sukar menentukan prioriti dalam sesuatu hal atau perkara.

Akhirnya berlaku tidak keseimbangan dalam menganalisis sesuatu masalah yang akhir lemah dalam menangani setiap risiko atau rintangan yang mereka hadapi.

Oleh kerana itu, kita boleh dapati keputusan pembelajaran seseorang pelajar boleh berada dalam keadaan merosot setelah menjadi penagih pornografi.

Mereka akan hilang fokus, hilang daya fikir dan tidak mampu untuk ke arah kemahiran berfikir aras tinggi seperti yang digariskan oleh sistem pendidikan terkini. Akhirnya pelajar ini akan terkulai layu.

Jalan penyelesaian

Mereka yang telah kecanduan pornografi perlu diberi kesedaran. Hukuman berbentuk fizikal tidak mampu mengubah cara fikir mereka. Malah berkemungkinan akan terus mendorong mereka melakukan tabiat lama itu.

Kesedaran perlulah dilakukan dalam bentuk didikan yang berpanjangan dan berkala. Perhatian perlulah diberi oleh ibu ayah dan guru. Mangsa kecanduan pornografi ini perlulah dikenalpasti dari peringkat awal.

Ibubapa tidak seharusnya membiarkan perkara ini seperti melepaskan batuk di tangga. Menganggap isu ini adalah isu biasa.

Guru-guru dan pegawai pendidikan pula disarankan memberikan perhatian dan pencegahan yang berat kepada permasalahan ini. Usah menafikan kehadiran wabak pornografi ini. Sesungguhnya isu pornografi ini sedang bermaharajalela seperti rokok dan dadah.

Ayuh kita berganding bahu. Mothers Against Pornography dan Goodbye Pornography sedia membantu.

Rujukan

  1. Teimouri M, Hassan MS, Bolong J et al. What is upsetting our children? Procedia Social &Behavioural Sciences (155) 2014: 411-416.
  2. Impact of sexual knowledge, attitude, and exposure to pornography on sexual behaviour among urban adolescents in Peninsular Malaysia
  3. Wong, Fui Ping (2012) Impact of sexual knowledge, attitude, and exposure to pornography on sexual behaviour among urban adolescents in Peninsular Malaysia. Universiti Putra Malaysia.