Puisi

Merdekalah Duhai Hawa

Duhai Hawa,

Percayalah bila ada yang berkata,

Kau dicipta Allah sangat mulia,

Kau mahkluk merdeka,

Kau begitu istimewa!

Duhai Hawa,

Yakinlah bahawa tatkala Adam dicipta,

Dengan sifat ingin berkuasa,

Kaulah yang mengimbangi dunia,

Dari kuasa durjana,

Persis Asiah memelihara Musa,

Tatkala Firaun menzalim menggila.

Duhai Hawa,

Bangkitlah walau sendiri,

Usah layu dipuji atau lemah dimaki,

Bak Maryam yang tabah berdiri,

Menahan peritnya sekeliling mencaci,

Padahal tangan mengendong anak pembawa risalah nabi.

Duhai Hawa,

Cubalah mengerti,

Ketika tuhan menciptamu,

Tiadalah hasratNya untuk kau hidup menjadi perhatian lelaki,

Apatah lagi mencabar menyaingi sang lelaki,

Bahkan kau punya misi,

Sama besar seperti lelaki,

Yang kau sama-sama janji pada ilahi.

Duhai Hawa,

Oleh itu, dengar sini,

Merdekakan dirimu dari definisi-definisi fantasi,

Yang kau kira perlu kau penuhi,

Merdekakan akalmu dari tradisi,

"Perempuan hanya penanak nasi",

Merdekakan jiwamu dari sesembahan duniawi,

Kerana jiwamu mulia disisi rabbul ‘izzati.

Silmi | Ogos 2017

#Merdeka