Ramadhan

SOLEH RITUAL TETAPI TIDAK SOLEH SOSIALNYA?

Al-Harith al-Muhasibi berkata: 

“Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar darinya.”

Mungkin ramai Mahasiswa yang tidak sedar. Masa berlalu begitu pantas. Ya terlalu pantas sehingga manusia alpa Ramadan sudah tiba. Sewaktu penulis mengarang artikel ini, sudah 24 kali Ramadan berlalu dalam hidup penulis. 17 Ramadan 1438. Pantas sungguh masa.

PENURUNAN AL-QURAN DARI LANGIT

Setibanya 17 Ramadan setiap tahun, pastinya Muslim di Malaysia akan menyambut perayaan Nuzul al-Quran. Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi.
Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran.

Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran. Al-Quran pula bermaksud kalam Allah yang merupakan mukjizat, yang diwahyukan kepada Rasul Allah saw melalui perantaraan Malaikat Jibril as., diturunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Ikhlas, diriwayat secara mutawatir serta membacanya termasuk ibadah. 
Ringkasnya, Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah, sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.

EGOSENTRIK? PENTINGKAN DIRI?

Seperti penulis lain, setiap penulisan pasti bermula dengan persoalan akar, yang menjadikan isi artikel mula mencapah. Tanya penulis, “apa erti Ramadan tahun ini?”.

Setiap Muslim yang melalui Ramadan pasti mahu memaknakan Ramadan. Tanyalah sesiapa pun, pasti jawapan mereka sekitar mahu menjadi manusia yang paling beruntung, yang menghidupkan ibadah setiap detik dalam Ramadan.

Namun, mengapakah ibadah yang dilakukan seringkali bersifat egosentrik dan pentingkan diri sendiri? Sedarkah kita wahai Mahasiswa?

Kita mahu ke syurga tetapi seorang diri. Hairan. Bukankah sepatutnya kesolehan ritual melahirkan kesolehan sosial?

Ya. Kita sangat sibuk. Sangat sibuk berkongsi juadah apa yang dibeli di bazaar, lauk apa untuk berbuka, terawih di masjid mana, persiapan itu dan ini sehingga terlupa akan golongan miskin, tertindas, gelandangan, yang wujud dalam komuniti kita.

Kita sangat sibuk sehingga tidak sempat memikirkan hal mereka. Bukankah antara pesanan terbesar Ramadan adalah untuk mengingati golongan miskin yang bersusah payah menyara hidupnya?

Selain itu, apakah falsafah disebalik galakan bersedekah di bulan Ramadan?

Mengapa Rasul Allah saw sangat pemurah ketika Ramadan?

Tanya diri kita, mengapa berbuka dengan kurma itu sunnah?

Mengapa tidak berbuka dengan kambing mungkin?

Apa falsafah disebalik itu?

Tanya lagi, adakah saat kita berbuka, masih ada insan lain yang tidak punya makanan untuk berbuka?

Yang mungkin telah pun ‘berpuasa’ lebih awal dari kita?

Mengapa kita beli makanan sehingga membazir? 

Tanya diri, Tanya iman. Kenapa hanya fikir diri sendiri sahaja?
Tanya.

TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN

Sempena Nuzul Quran, mari kita mengambil semangat al-Quran. Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
 
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

MAKSUDNYA: “(AL-QURAN INI) SEBUAH KITAB YANG KAMI TURUNKAN KEPADAMU (DAN UMATMU WAHAI MUHAMMAD), -KITAB YANG BANYAK FAEDAH-FAEDAH DAN MANFAATNYA, UNTUK ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA BERINGAT MENGAMBIL IKTIBAR.”

Berdasarkan dalil di atas, tujuan al-Quran itu jelas. Al-Quran itu menghadirkan segala faedah dan manfaat yang sememangnya terlalu banyak untuk dikongsikan sini.

Manfaat dan faedahnya bukan hanya dirasakan manusia bahkan seluruh alam cakerawala turut mendapat manfaatnya.

Pastinya, segala isi al-Quran bukan sebagai penjenamaan mahupun menjadi hujah kerana nafsu duniawi, tetapi nilai-nilainya seperti rahmah, keadilan, menolak kezaliman, menjaga nyawa, membantu yang lemah perlu dibumikan agar matlamat, prinsip dan maqasid yang sesuai dengan kemanusiaan tercapai.

Demikian al-Quran hadir merubah nasib manusia. Hadir menghidupkan peradaban manusia. Membangunkan hidup manusia. Mendidik manusia agar berakhlak mulia dan menolak kezaliman.

Mendidik manusia agar tidak pentingkan diri serta menyeru ke arah perpaduan sejagat. Ini terbukti melalui wahyu pertama Surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang menekankan perihal pendidikan melalui pembacaan sekaligus integrasi tauhid sebagai sumber segala ilmu pengetahuan.
Inilah yang dimaksudkan “soleh ritual melahirkan kesolehan sosial”. Beribadah dalam ruang lingkup tidak syok sendiri, di samping memahami dan membantu insan lain yang mungkin menghadapi kesusahan seperti tiada makanan, tiada tempat tinggal serta lain-lain keperluan.

Secara umumnya, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

1 Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.

2 Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.

3 Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.

4 Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.

5 Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.

6 Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.

KESIMPULAN

Kita perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Bacalah al-Quran. Jangan sesekali biarkan ia menjadi tempat mengumpul habuk Al-Quran tidak turun saja-saja tanpa sebab.
Ia diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia. Bahkan antara nilai yang terpenting, Islam menganjurkan perpaduan dan kesatuan serta bertaaruf antara satu sama lain agar ikatan ukhuwah begitu ampuh sesama manusia.

Kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna :

“AL-QURAN AL-KARIM ADALAH SEBUAH PERLEMBAGAAN YANG LENGKAP MERANGKUMI SELURUH HUKUM ISLAM. AL-QURAN ADALAH SUMBER YANG MENCURAHKAN SEGALA KEBAIKAN DAN ILMU KE DALAM HATI YANG BERIMAN. AL-QURAN ADALAH SUMBER YANG TERBAIK UNTUK PARA AHLI IBADAT MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT DENGAN CARA MEMBACANYA.” 

Akhir sekali, marilah kita Mahasiswa menjadikan Nuzul al-Quran sebagai inspirasi. Inspirasi untuk terus memaknakan Ramadan. Inspirasi untuk terus membumikan nilai-nilai al-Quran.
Inspirasi untuk menjadi qudwah hasanah. Inspirasi untuk memperbaiki diri sekaligus membaiki masyarakat sosial. Inspirasi untuk bersatu hati serta bertoleransi antara satu sama lain agar kita semua mencapai kebahagiaan abadi.

Inspirasi untuk membangunkan negara memacu perubahan sekaligus menjadi negara rahmah, iaitu negara yang harmoni aman makmur serta diampuni Tuhan.
Wallahu’alam.

Penulisan oleh :-

Amir ‘Izzuddin Bin Muhammad

Ramadhan

5 HADIAH RAMADAN

Saban tahun, saya memerhati dan mengamati erti satu bulan yang amat istimewa. Ia umpama tetamu VIP yang membawa hadiah yang mahal. Biasanya, hadiah dari VIP kita akan simpan dengan rapi dan kemas agar menjadi kenangan sepanjang masa.
Bezanya bulan Ramadan, ia adalah tetamu yang hadir dalam tempoh sebulan. Hadir membawa hadiah yang perlu kita manfaatkan. Hadiah yang menjadi pemangkin untuk menyuburkan benih iman yang ada di dalam jiwa. Jiwa yang yakin bahawa Allah itu ada. Jiwa yang tunduk patuh dan pasrah pada aturanNYA.
Apabila hadiah Ramadan dimanfaatkan sehabis baik dalam sebulan, kita akan rasa syahdu saat Ramadan melabuhkan tirai. Pasti kita mengharapkan bulan Ramadan akan bertamu lagi pada tahun hadapan.
Hadiah 1 : Puasa
Allah berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
Wahai orang-orang yang beriman..

Ini adalah ayat seruan untuk orang beriman. Apa saja arahan Allah selepas seruan ini adalah untuk meningkatkan tahap iman kita. Buat ikut aturannya baru rasa meningkat iman.

Di hujung ayat pula diungkapkan:

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Mudah-mudahan kamu mendapat taqwa

Puasa agar meningkat rasa taqwa. Taqwa ini bermaksud sedar diri hidup bertuhan. Sedar diri hamba. Ikut segala aturanNya. Berwaspada terhadap apa yang ditegah.

Hadiah 2 : Al-Quran
Bulan Ramadan adalah bulan Al-Quran.

Al-Quran mempunyai 3 fungsi yang kita dapat manfaatkan. Antaranya:

1. Petunjuk
2. Menerangkan, menjelaskan dan memperincikan petunjuk.
3. Pemisah antara yang baik atau sebaliknya

Al-Quran adalah kalam Allah. Kita perlu membacanya dan mentadabburnya sehingga kita merasai ada interaksi dalam jiwa. Bila wujud interaksi, emosi kita akan tersentuh seolah-olah kita membaca novel atau menonton filem. Bahkan lebih dahsyat lagi apabila terasa belaian Al-Quran yang menakjubkan.

Hadiah 3 : Doa
Kita berdoa semoga setiap langkah kita dipimpin olehNya.
Allah sedia mendengar.
Allah sedia memperkenankan doa.
Allah menjawab doa dengan cara yang paling baik.
Setiap langkah sentiasa dalam panduan. Selamat dan tetap fokus.

Sungguh Allah itu Dekat. Satu lagi dimensi rasa yang mahu kita tingkatkan lagi pada Ramadan tahun ini.

Hadiah 4 : Solat taraweeh
Jika dibilang pasti terasa banyak. Jika diamati pada kualiti pasti terasa nikmat. Taraweeh membawa erti rehat yang banyak.
Pasti ada aturan untuk meraih solat yang memberi impak. Ramadan peluang untuk meningkatkan kembali kualiti berhubung denganNya melalui solat taraweeh. Pada setiap solat perlu ada interaksi dengan apa yang dibaca oleh imam. Bukan sekadar aktiviti fizikal dalam solat.
Melazimi solat teraweeh satu persediaan penting untuk menanti malam yang paling istimewa. Malam yang hanya ada di bulan Ramadan. Itulah hadiah ke lima.

Hadiah 5 : Lailatul Qadar
Lailatul Qadar hanya ada di bulan Ramadan. Hadiahnya tersedia untuk kita ambil. Sungguh untung siapa yang dapat. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Hadirnya adalah rahsia. Tiada siapa dapat buat ketetapan dan umumkan seperti hebahan bermula Ramadan dan syawal.

Malam yang perlu kita usaha untuk dapatkan agar ia menjadi antara hadiah bermakna untuk Ramadan kali ini. Kerana ganjarannya luar biasa. Apatah lagi impak pada diri dan hidup.

Untuk dapatkan hadiah ini bukan cukup sekadar menunggu sahaja. Ia berbeza dari malam-malam yang lain. Caranya ialah dengan menggunakan sebaiknya 4 hadiah sebelum ini.

Inilah serba sedikit refleksi saban tahun pada indahnya Ramadan. Nikmat bertamu meneguk kasih rahmatNya di bulan yang begitu mulia. Sungguh, bulan ini memberi 1001 harapan untuk jiwa.

Moga puasa kita tidak sekadar lelah menahan lapar dan dahaga. Moga Ramadan kali ini penuh impak untuk menuju hidup bahagia dan berjaya.

Penulis : Mardhiah Samsuri

Ramadhan

10 BEKAL DAKWAH DALAM IBADAH PUASA

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”

(Albaqarah: 183)

Ibadah puasa merupakan satu ibadah yang penting dan ia menjadi bekal kepada para daie dalam meneruskan perjalanan dakwah.

Kata Sheikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Fiqh Dakwah beliau menyatakan “Muslim yang benar dalam keislamannya akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan gembira dan bahagia, sebagaimana kegembiraan kaum mukmin dengan karunia dan rahmat Allah. Ia beristirahat sejenak dari kepenatan hidup, berbekal dan memperbaharui semangatnya untuk meneruskan perjalanan dakwah. Namun tiada yang dapat menikmati kebaikan tersebut dan memperoleh bekal tersebut kecuali orang hidup bersama Ramadhan dan menunaikan puasa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW”.

10 BEK

Di sana terdapat pelbagai bekal dakwah yang dapat diperolehi melalui ibadah puasa antaranya:

1- Bekal Alquran. Pada bulan Ramadhan, kita lebih bersemangat untuk membaca, mengkaji, menghafal dan mengamalkan Alquran. Di samping itu kita dapat meneguk hikmah, hidayah, ibrah dan sebagainya untuk menghidupkan hati kita yang kering. Ini adalah sebenar-benar bekal untuk seorang dai. Alquran sebagai bekalnya dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam dakwah. Alquran menjadi tempat rujukannya untuk melalui jalan dakwah.

2- Bekal solat malam. Orang yang berpuasa melakukan solat malam selama sebulan penuh, ini adalah bekalan yang tidak terhingga, ia dapat mendidik jiwa, merasai kenikmatan berhubung secara langsung dengan Allah disepertiga malam, mengadu dan merintih kepadaNya.

3- Bekal Iktikaf. Bulan Ramadhan adalah bulan yang Rasulullah SAW melazimi iktikaf. Iktikaf memiliki pengaruh dan kesan yang amat mendalam pada jiwa. Orang yang beriktikaf menjadi tetamu Allah di rumahNya, meninggalkan seketika kesibukan dunia semata-mata untuk fokus beribadat kepada Allah, mendekatkan diri kepadaNya, berzikir, bermunajat dan menangis kerana takit pada Allah. Allah memuliakan para tetamuNya, sehingga mereka keluar dari Ramadhan dengan membawa bekal taqwa, keimanan dan petunjuk.

4- Bekal Ikhlas. Puasa membimbing pelakunya untuk sentiasa mengikhlaskan niat kepada Allah. Dan keikhlasan menjadi bekal yang signifikan oleh setiap individu yang menapaki jalan dakwah kerana amal akan menjadi sia-sia tanpa keikhlasan.

5- Bekal mujahadah. Dalam puasa kita akan menghadapi saat mujahadah terhadap keinginan nafsu kita. Mujahadah adalah bekal penting bagi seorang dai yang berjuang di jalan Allah. Orang yang berpuasa mengekang nafsu liar dalam jiwa mereka dan hal itu dapat membantunya untuk menghindari yang diharamkan pada bulan-bulan berikutnya.

6- Bekal sifat sabar. Ibadah puasa akan membangunkan sifat sabar dalam diri muslim. Kesabaran merupakan sifat yang paling penting oleh para daie kerana dengan sifat itulah mereka dapat mengatasi rintangan dan meneruskan perjalanan dalam jalan dakwah tanpa kelemahan dan kelesuan.

7- Bekal sifat santun. Puasa dapat membentuk sifat santun (tidak mudah marah) dalam diri muslim. Apabila ada yang menentangnya, mencelanya, maka dia menahan amarahnya dan mengatakan “sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Alangkah pentingnya sifat ini kepada para aktivis dakwah, pengendalian jiwa yang baik, berlapang dada dan tidak mudah marah kerana inilah menjadi penyebab keberhasilan dakwah.

8- Bekal mengasihi yang lain. Puasa akan mendidik hati untuk mengasihi orang lain terutamanya golongan fakir miskin. Kewajipan zakat fitrah di akhir Ramadhan menegaskan makna ini. Saat berpuasa kita akan merasai betapa peritnya apa yang dihadapi oleh orang miskin dan kita akan lebih mengasihi mereka dengan sedekah yang kita hulurkan kepada mereka yang memerlukan. Ini bekalan penting dalam dakwah.

9- Bekal ketahanan fizikal. Puasa, terutamanya pada musim panas menyebabkan muslim perlu bersabar dan tahan ujian di medan jihad atau peperangan dan melawan musuh. Kita kembali menyelak lembaran sejarah bahawa Perang Badar juga berlaku dalam bulan Ramadhan dan bekal puasa menyebabkan mereka kuat dan thabat dalam menentang kaum musyrikin.

10- Bekal disiplin dengan masa. Puasa membiasakan muslim untuk disiplin waktu, kerana setiap orang yang berpuasa akan memerhatikan waktu berbuka dan waktu imsak. Para dai sangat memerlukan bekalan ini untuk menjadikan mereka berdisplin dengan masa kerana kehidupan para dai penuh dengan pertemuan, mesyuarat, dan sebagainya yang memerlukan para dai untuk sentiasa menepati waktu dan menguruskan masa dengan sebaiknya. Melalui ibadah puasa, ia secara automatik membentuk peribadi muslim yang bijak menguruskan masa.
Semoga dengan bekalan yang kita perolehi daripada ibadah puasa ini, memudahan untuk kita menempuhi jalan dakwah ini.

Jalan dakwah kita masih panjang dan semoga syurga menjadi pengakhirannya.

Selamat Menyambut Ramadhan 1439H!

*artikel ini diadaptasi daripada Buku Fiqh Dakwah, Sheikh Mustafa Masyur tajuk Dalam Ibadah Puasa Terdapat Bekal Dakwah, ms 64.

Penulis: Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad