Wanita

Hari Wanita Antarabangsa 2018: Wanita, Terus Mara Ke Hadapan!

Hari ini tanggal 8 Mac 2018, satu dunia bersatu dalam menyambut hari yang bersejarah, iaitu Hari Wanita Sedunia 2018 yang mana ia merupakan hari untuk memberi sokongan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dunia.

28795226_1452880564824142_3705320479088489810_n

Time is Now: Rural and Urban Activists Transforming Women’s Lives” merupakan tema yang dipilih oleh PBB sempena sambutan Hari Wanita Sedunia bagi tahun ini yang membawa erti “Inilah Masanya; Aktivis Bandar dan Desa Merubah Kehidupan Wanita”.

Tema yang signifikan ini menekankan bahawa aktivis wanita tidak kira dari bandar mahupun desa perlu berani dalam mengorak langkah menuju transformasi dan perubahan bukan sahaja di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, bahkan juga perubahan menuju sebuah negara yang rahmah.

Manakala, komiti International Women’s Day 2018 memilih tema #pressforprogress yang membawa erti menggesa untuk sebuah kemajuan.

Oleh itu, sempena Hari Wanita Sedunia 2018, Pena Syariah menyeru seluruh wanita dan rakyat Malaysia:

1- Wanita harus berani untuk melakukan transformasi dan memperkasakan potensi diri dengan memberikan keutamaan dari sudut ilmu pengetahuan, memajukan diri dengan pelbagai kemahiran agar dapat berdaya saing dalam membangunkan keluarga, masyarakat dan negara.

2- Wanita harus diberikan galakan, sokongan dan kemudahan untuk menyumbang dalam konteks sosial masyarakat menerusi bidang kepakaran masing-masing dengan menyediakan prasarana yang baik agar wanita dapat menyumbang dengan lebih efektif dan produktif untuk pembangunan negara.

3- Pembangunan institusi keluarga yang kukuh sebagai tapak asas sebuah transformasi adalah sangat signifikan untuk menjamin negara yang harmoni dengan mendokong prinsip saling melengkapi, hormat menghormati dan menunaikan hak dan tanggungjawab dalam keluarga dengan sempurna menurut syariat.

4- Wanita harus berani dan mara ke hadapan dalam menentukan kepimpinan negara yang terbaik, melibatkan diri dalam proses demokrasi, menunaikan hak sebagai seorang pengundi dalam pilihanraya dan bersedia untuk menjadi pemimpin dalam kapasiti, peringkat atau bidang masing-masing.

Selamat Hari Wanita Sedunia 2018
#pressforprogress

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad
Timbalan Pengerusi Pena Syariah 2017/2018

Isu Semasa

Rasulullah SAW Sebagai "Rahmatan Lil A’lamin

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Surah Al-anbiya`:107)

Umum mengetahui bahawa tarikh yang diterima umum bagi Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW adalah pada 12 Rabiul Awwal. Pada setiap tahun pasti rakyat Malaysia menyambutnya dengan penuh kerinduan dan kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW dengan pelbagai tema dan pada tahun ini bertemakan “Ukhuwwah Islamiyah asas penyatuan ummah”.

Kita sudah sedia maklum bahawa perutusan Rasulullah SAW adalah sebagai pembawa rahmah kepada sekalian alam.

Tetapi persoalannya sejauh manakah kita memahami bagaimana prinsip rahmah itu dibawa oleh Rasulullah dan apakah ertinya untuk pelbagai penganut agama di Malaysia?

Persoalannya juga, mengapakah sambutan ini masih eksklusif berlegar dalam kalangan masyarakat Islam, padahal Rasulullah SAW adalah pembawa rahmah untuk umat keseluruhannya tidak kira agama, bangsa dan negara? dan bagaimanakah Maulidur Rasul menjadi sebuah hari yang mendidik keharmonian hubungan etnik dan penganut agama di Malaysia?

APA ERTINYA UNTUK KEPELBAGAIAN ETNIK DAN PENGANUT AGAMA DI MALAYSIA_

Sambutan Maulidur Rasul yang lebih inklusif

Saya tertarik apa yang dikupas oleh Dr Maszlee Malik di dalam bukunya Risalah Pemuda Muslim di dalam bab 24 ms 139 bertajuk “Nilai Sejarah dan Maulid”. Beliau mengupas:

“Antara isu yang menjadi polemik ialah isu “maulid al-Rasul”. Setiap kali kedatangan “maulid”, kini sudah mula polemik tentang bidaah atau tidaknya sambutan tersebut. Ada yang mempertahankan,mereka dengan mudah menuduh lawan mereka sebagai golongan yang tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh islam. Dan ada yang menentang pula melemparkan dakwaan lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) dalam mendewakan Nabi, menderhakai Nabi kerana Nabi tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa.”

“Jika diteliti punca pertelingkahan tersebut ialah berpunca daripada apabila mereka menganggap isu maulid itu sebagai sambutan “ritual-spiritual” atau sesuatu yang bersifat diniyy (keagamaan). Bagi yang menyambut, upacara tersebut merupakan kewajipan, seumpama wajibnya menyambut Aidiladha setahun sekali. Bagi yang tidak merayakan, mereka seakan-akan berdosa dan tidak mencintai Nabi. Bagi yang menentang pula, mereka melihat, perayaan keagamaan yang dianjurkan berdasarkn dalil hanya dua iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”

“Ternyata ada jalan keluar untuk isu ini yang mana perayaan atau sambutan maulid perlu dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual yang ditanggapi selama ini. Perayaan itu harus dilihat melalui kacamata sebagai satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran.

Pemuliharaan unsur-unsur sejarah amat penting, termasuklah perayaan dan peringataan tarikh-tarikh tersebut.”

“Apakah yang akan dimanfaatkan oleh umat islam jika perayaan maulid ini dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya?

Tentunya banyak sekali manfaatnya malah ia jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apa kesannya.

Usaha mempromosi ajaran Nabi Muhammad SAW yang bersikap universal dan kemanusiaan perlu ditonjolkan.

Keperibadiannya yang hebat, pemimpin yang agung, peniaga yang berjaya, suami yang ideal, bapa yang mithali, guru yang berdedikasi, pendidik yang menyantuni, pahlawan perang yang berjaya dan pelbagai ciri kemanusiaan Baginda yang boleh diteladani.”

“Dan usaha memperingati Nabi Muhammad SAW  sepatutnya tidak berlegar-legar dalam kalangan umat islam semata-mata, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan islam. Perayaan berunsur sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan eksklusif untuk orang islam semata-mata.

Ajaran Nabi Muhammad SAW yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan “kesempurnaan hidup manusia”.”

Di penutup bab ini, Dr Maszlee Malik membuat kesimpulan bahawa sudah tiba masanya islam dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan daripada kesempitan dogma dan acuan golongan jumud yang berkepentingan. Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin (rahmat sekalian alam) perlu dijadikan inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan islam dan bukan untuk umat islam semata-mata.

Teladan daripada kebijaksanaan dakwah Rasulullah

Perutusan Rasulullah sebagai `rahmatan lil alamin` dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia keseluruhannya melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah melalui kebijaksanaannya dalam pengurusan dakwah. Seperti mana yang kita ketahui bahawa dakwah Rasulullah SAW terbahagi kepada dua peringkat, pertama ialah 13 tahun di Mekah dan kedua adalah selama 10 tahun di Madinah. Kedua-dua peringkat ini dilalui oleh Rasulullah dengan pelbagai pengurusan yang efektif dan strategi yang sangat bijaksana.

Di dalam buku “Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah” karya Ustaz Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, menekankan 5 aspek kekuatan dan kunci efektif dakwah Rasulullah, iaitu:

1-            Disiplin pengurusan wahyu

2-            Bijaksana dalam memberikan teladan

3-            Bijaksana dalam komunikasi

4-            Bijaksana dalam mendekatkan diri dengan pengikut

5-            Bijaksana dalam pengkaderan dan perwakilan yang terpilih dan tepat.

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah harus menjadi teladan kita dalam menyebarkan dakwah. Maulidur Rasul seharusnya menjadi medan untuk kita suburkan dakwah dalam kalangan bukan islam supaya masyarakat bukan islam juga dapat menjiwai dan merasai Maulidur Rasul kerana Rasulullah adalah model untuk semua, bukan sahaja golongan muslim.

Sebagai contoh menganjurkan ‘street dakwah’, ‘open masjid’ kepada non-muslim, menyebarkan risalah-risalah tentang kehebatan Rasulullah dan sebagainya.

Seterusnya, muslim perlu mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dengan bermuamalah dengan masyarakat bukan islam dengan baik. Sebagai contoh, memberi hadiah kepada bukan islam sempena Maulidur Rasul, bermanis wajah dan berkongsi kepada rakan non-muslim bahawa hari tersebut adalah hari kelahiran junjungan mulia.

Di samping itu, media juga perlu berperanan untuk menyebarkan info dan maklumat tentang baginda Rasulullah SAW kepada masyarakat bukan islam. Sebagai contoh membuat dokumentari tentang akhlak nabi, kedepankan komen-komen tokoh bukan islam terhadap keunggulan peribadi nabi dan sebagainya.

Di dalam buku “Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah” penulis juga menyebut Micheal H. Hart di dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History” mengulas mengenai Nabi Muhammad SAW dan meletakkan Baginda sebagai individu paling berpengaruh dengan komennya yang berbunyi:

“My choice of Muhammad to lead the list of the world`s most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world`s great religions, and became immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive”.

Ini menunjukkan bukti bahawa sarjana dan cendekiawan barat juga memuji dan menghargai kehadiran seorang insan agung dan ia wajar dimanfaatkan oleh orang islam khususnya para agamawan untuk menggunakannya bagi menyakinkan masyarakat bukan islam tentang keistimewaan Baginda dan ia bertepatan dengan mesej perutusan Rasulullah ke dunia ini sebagai rahmah kepada sekalian alam.

Rasulullah SAW ahli politik yang mithali

Kita juga perlu meneladani kebijaksanan Rasulullah dalam pengurusan politik. Rasulullah adalah ahli politik terawal dalam sejarah islam. Bermula dengan satu gerakan yang kecil kemudian Baginda mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah untuk membentuk satu pemerintahan atau dikenali sebagai negara islam pertama di Madinah.

Selain itu, Rasulullah terlibat dengan perundingan, perjanjian dan sebagainya, dan Rasulullah menghadapi isu penentangan daripada kaum Yahudi, Nasrani dan Musyrikin. Semuanya dilalui oleh Rasulullah dengan amanah, qudwah yang baik, berdedikasi dan menepati janji.

Ketika Rasulullah menjadi ketua negara Madinah pada ketika itu, Baginda mengamalkan tadbir urus yang baik dengan memberi hak kesamarataan sosial kepada semua masyarakat tidak kira islam mahupun tidak dan ini adalah satu elemen yang penting yang perlu dimainkan oleh setiap dari pemimpin kita untuk merealisasikan keadilan yang mana ia adalah cabang daripada Maqasid Syariah dan ia perlu diletakkan sebagai asas dalam sistem pentadbiran negara.

Apa ertinya kita menyambut Maulidur Rasul jika negara kita masih dipenuhi korupsi, penipuan, politik adu domba, tiada akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran?

“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah” (Surah Al-Ahzab: 21)

Salam Maulidur Rasul buat semua rakyat Malaysia!

Jadikan Rasulullah sebagai contoh dan teladan dalam segenap aspek kehidupan pengurusan, pentadbiran, perniagaan, dakwah, akhlak, politik, ketenteraan, keluarga dan sebagainya.

Inilah keunggulan keperibadian dan akhlak baginda, bagaimanakah pula peribadi dan akhlak kita? Sudahkah kita mencontohi baginda tanda kasih kita kepadanya?

Rujukan:

[1] Risalah Pemuda Muslim, Maszlee Malik

[2] Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah, Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad

Biro Penyelidikan IKRAM

Terjemahan

Bagaimanakah jika Khalid bin al Walid menghancurkan gereja ‘Ainuttamar dan membunuh semua yang di dalamnya?

ماذا لو أن خالد بن الوليد فجَّر كنيسة عين التمـــر وقتل من فيها ؟؟!!

Bagaimanakah jika Khalid bin al Walid menghancurkan gereja ‘Ainuttamar dan membunuh semua yang di dalamnya?

هناك كنيسة اسمها عين التمر في بادية العراق لما فتحها خالد بن الوليد رضي الله عنه وجد فيها أربعين غلاما يتعلمون الأنجيل ويتدارسونه لنشر النصرانية في الشرق.

Terdapat sebuah gereja yang dikenali dengan nama ‘Ainuttamar terletak di sebuah perkampungan di Iraq. Ketika Khalid berjaya membuka gereja itu, beliau mendapati di dalamnya ada 40 orang pemuda yang saling mempelajari isi kitab injil dan menyebarkan ajarannya di bahagian timur Iraq.

 وكان بينهم سيرين و يســــار  و نصــير .. وبعد الفتح تعرف هؤلاء الثلاثة على الإسلام !!

Di antara pemuda itu adalah Sirin, Yasar dan Nasir.  Selepas pembukaan Islam (ke atas wilayah Iraq), mereka bertiga berkenalan dengan Islam

فأسلم الأول وأنجب محمد بن سيرين من أئمة التابعين فى الحديث والفقه وتفسير الرؤى !!

KeIslaman yang pertama telah melahirkan Muhammmad bin Sirin iaitu imam Tabi’in yang pakar dalam bidang hadis, fiqh dan tafsir mimpi!!

وأسلم الثانى وأنجب إسحاق أبو محمد بن إسحق بن يسار صاحب كتاب السير والمغازى المعروف باسم سيرة

ابن إسحاق !!

KeIslaman yang kedua telah melahirkan Ishaq Abu Muhammad bin Ishaq bin Yasar penulis kitab "al-Siyar wal Maghazi" yang lebih dikenali sebagai Sirah Ibn Ishaq!!

وأسلمالثالث وأنجب مــــوسى بن نصير فاتح الأندلس وشمال إفريقية !!

KeIslaman yang ketiga telah melahirkan Musa bin Nusair pembuka tanah Andalus dan Utara Afrika!!

هذا هو نتاج الإسلام الذي فهمه خالد بن الوليد والصحابة الكرام من الرعيل الاول  …

 الاسلام هو السلام والرحمة والخير للبشرية

 Inilah hasil Islam yang difahami oleh Khalid bin al-Walid dan para sahabat yang mulia daripada generasi awal

Islam merupakan kesejahteraan, rahmah dan kebaikan buat seluruh umat manusia

فأعتبروا يا أولي الأبصار !!

Maka ambillah pengajaran wahai orang-orang yang melihat!

المصدر:

البداية والنهاية الجزء  السادس وقعة عين التمر

Sumber: Kitab al Bidayah wa al-Nihayah jilid 6: Peperangan ‘Ainuttamar

Terjemahan: Team Terjemahan Pena Syariah

*Sekadar gambar hiasan

Isu Semasa

Bingkisan Wasatiyyah

Pada era yang sangat mencabar ini, pelbagai  krisis yang menyerang dunia umat Islam. Polemik yang tidak berkesudahan. Misalnya kemunculan suatu kelompok yang melaungkan slogan slogan jihad. Mengibarkan panji panji hitam lalu mendakwa mereka adalah pejuang Islam sejati. Kelompok yang sangat ekstrim. Berjuang dengan pedang dan senjata semata mata. Sesiapa yang tidak menerima dakwah mereka akan dipancung. Tidak langsung menonjolkan nilai nilai Islam sebagai agama yang rahmah dan mahabbah. Itulah modus operandi ISIS ( Islamic State of Iraq ) yang dipelopori  oleh Abu Bakar Al Baghdadi. Terang dan nyata mereka ini membawa suatu virus kepada umat manusia tentang definisi agama Islam itu adalah bermula dan berakhir dengan mata pedang sahaja. Sungguh menyakitkan.

Suatu ketika dahulu, gejala takfir menjadi suatu permasalahan yang tidak punya penyelesaian. Terutamanya kelompok kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai islamis dan agamawan. Jika  ada suatu kelompok manusia yang tidak bersetuju dengan mereka, habis dikafirkan secara membabi buta. Tidak hairanlah mereka itu ahli akademik, ahli politik dan ahli agama. Padahal mereka hanya berbeza dalam ruangan yang boleh berbeza dan ruang cabangan atau furu’ dalam agama. Tetapi kelompok ini semakin menjadi menjadi apabila ada pendokong pendokong mereka yang taksub terhadap ideologi mereka. Hinggakan kekal komited untuk menegakkan benang yang basah. Menggunakan agama  sebagai modal untuk menjatuhkan lawan dengan mengkafirkan kelompok yang tidak sependapat dengan mereka. Gaya mereka seumpama khawarij barangkali. Sungguh merugikan umat islam dan menambah lagi kecelaruan kepada masyarakat untuk menilai.

Polemik ini semakin serius. Jikalau tiada tindakan ianya akan menjadi semakin parah. Kerana akhirnya orang ramai akan memahami Islam yang ekstrim. Sungguh bahaya. Sedangkan agama Islam ini sifatnya adalah alami serta komprehensif. Sifatnya yang wasatiyyah dalam semua neraca kehidupan. Sesuai mengikut semua zaman dan sentiasa relevan. Sarat dengan nilai nilai manusiawi. Begitulah komentar Sheikh Yusuf Qardhawi  dalam bukunya yang bertajuk “ Islam Agama Wasatiy “. Banyak memberi penekanan yang murni terhadap memahami makna ad deen ini dalam kaca mata wasatiy iaitu kesederhanaan.

Ini antara cebisan cebisan ringkasan ciri ciri wasatiyyah yang diketengahkan oleh Sheikh Yusuf Al Qardhawi :

1.            Kefahaman Islam yang menyeluruh sebagai akidah, syariah, ilmu, amal, ibadah, muamalat, budaya, akhlak, kebenaran, kekuatan, dakwah, kenegaraan, agama, dunia, tamadun dan umat.

2.            Beriman dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai sumber hukum dan perundangan serta panduan hidup serta keperluan memahami nas yang bersifat cabang berdasarkan objektif umum.

3.            Memperkasakan nilai ketuhanan dan dan menekankan ibadah yang menjadi objektif utama penciptaan manusia.

4.            Menekankan nilai akhlak yang ditegaskan oleh Islam sama ada akhlak individu atau masyarakat. Menolak pendirian mereka yang menganggap hanya ibadat zahir yang mewakili keseluruhan tuntutan agama. Juga menolak pendirian golongan yang memadai hanya pengamalan akhlak sahaja.

5.            Mengembangkan dakwah Islami menjadi agenda memahamkan umat islam tentang agama , memperbetulkan kefahaman dan memperkukuh penghayatan Islam. Dakwah yang universal dan pendekatan yang harmoni.

6.            Mengajak kepada kesatuan rohani dan jasmani , ketuhanan dan kemanusiaan, akal dan perasaan. Memberikan setiap pihak haknya tanpa melampaui batasan. Dengan itu sempurnalah ibadat, pengetahuan, kesukanan dan sebagainya

7.            Mengimarahkan dunia dan membangunkannya dari aspek kebendaan dan kemanusiaan. Menjaga alam sekitar dari setiap sudut. Bekerjasama ke arah kehidupan lebih selesa dan indah.  

Keunikan buah fikiran yang yang diutarakan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi menunjukkan bahawa ketegasan peranan beliau sebagai ulama kotemporari demi menyatukan perpaduan umat Islam pada saat ini. Pemahaman terhadap pengertian Islam yang sewajarnya harus dipulihkan dengan segera. Jadikan wahyu sebagai suatu panduan yang hakiki tanpa menafikan keberadaan akal dalam melakukan suatu keputusan demi memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Maka ayuhlah lebih memaknai makna Wasatiy!

Penulis :

Muhammad Luthfi Bin Mohd Yusri

Isu Semasa

Pornografi Musnahkan Suami Isteri

Fakta 1

“Dia (bekas suami) seperti orang gila seks kerana sering menonton video lucah, berbual lucah dengan perempuan tidak dikenali, gemar melihat gambar lucah dan lebih teruk apabila pernah cuba mengacau adik saya.”

Fakta 2

Tidak tahan dengan sikap suami inginkan aksi seks secara terlampau sehingga memudaratkan menjadi antara faktor mendorong isteri memfailkan penceraian di negeri ini. (Sumber Sinar Harian, tajuk ; Suami gila seks punca isteri minta cerai, NOHASPIDA YATIM 20 JULAI 2017 )

Dua kes ini menunjukkan apabila seseorang bernikah, isu seks tidak akan selesai juga jika salah seorang pasangan mempunyai keinginan seks yang tidak mampu dikawal. Akhirnya masalah kekeluargaan berlaku yang membawa kepada penceraian.

Isu penceraian di Malaysia tidak asing lagi. Malah telah mencatatkan rekod peningkatan yang mendadak sejak akhir akhir ini.

Seramai 171,252 pasangan beragama Islam bercerai dari 2014 hingga 10 Julai lalu dengan Selangor, Sabah dan Johor mencatatkan kadar perceraian tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata mengikut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, sebanyak 59,712 kes perceraian dicatatkan pada 2014; 63,463 kes (2015) dan 48,077 kes sehingga 10 Julai lalu.

Salah satu punca penceraian ini ialah masalah ketagihan video lucah atau di sebut pengaruh Pornografi. Ramai beranggapan bila rumah tangga di dirikan maka masalah ini akan selesai. Namun sebaliknya tidak begitu.

Ustazah JQAF tumbuk Suami

========================

Saya pernah mendapat runggutan masalah. Seorang ustazah telah menumbuk suaminya. Ustazah berkenaan pada awalnya telah mengetahui suaminya merupakan penagih pornografi.

Sejak awal perkahwinan, beliau cuba membantu suaminya untuk memulihkan ketagihan suaminya. Segala keinginan suaminya dituruti asalkan tidak melanggar syarak yang telah di tetapkan.

Namun sayang, dek kerana ketagihan itu suaminya telah ‘makan luar’. Hal ini telah diketahui isterinya. Dengan perasaan yang marah, si isteri yang ber status ustazah telah menumbuk suaminya. Ini semua kerana geram dan marah.

Inilah bahana video lucah atau PORNOGRAFI.

Modul Perkahwinan perlu diKEMASKINIkan

==================================

Zaman semakin berkembang. Maklumat hari ini berada di hujung hari sahaja. Segala perkara mudah dicari. Hanya kesedaran dan pencerahan dapat memberi sedikit pengetahuan kepada bakal pengantin.

Hari ini kursus kahwin sebagai syarat perkahwinan. Terdapat peserta yang hadir hanya ingin mendapatkan sijil sahaja. Tadah telinga sehingga tamat. Inputnya? Ke laut. Itu belum lagi yang memonteng.

Penyampai isi atau penceramah pula ada yang memberi secara ‘old school’ sehingga yang berat di pandang enteng oleh peserta. Silibusnya pula se akan akan sama dari tahun ke tahun.

Sedangkan masalah penceraian setiap tahun meningkat. Jika kita amati kembali masalah penceraian, salah satu puncanya adalah masalah seksual dan ketagihan video pornografi.

Alasan mereka menonton adalah untuk mendapat ilmu bagaimana jimak, bersetubuhan atau kebersamaan berlaku. Hal ini bukan terjadi oada orang biasa. Berlaku juga pada mereka yang memegang status asatizah.

Inilah kelemahan kursus perkahwinan kita. Semasa dalam slot penceramah akan berkata

 “ nanti dah kahwin korang tahulah nak buat apa “

Sambil di sambut dengan gelak tawa. Tidak cukup dengan itu ada yang menyamakan dengan binatang.

“ kucing tahu apa nak buat, korang x kan tak

tahu “

Oleh kerana itu sudah tiba masanya kursus kursus perkahwinan ditambahkan masanya. Dari 2 hari ke seminggu contohnya. Ini bertujuan memberi kefahaman kepada bakal pengantin bukan sahaja mengenai tauhid, ekonomi, hal luaran rumah tangga tetapi perlu penekanan kepada hubungan di atas katil atau dalam selimut.

Jika hal seperti ini mahu dilakukan, maka pengasingan lelaki perempuan perlu dilaksanaka. Agar pencerahan dan keterangan yang telus dapat disampaikan.

Direkodkan terdapat suami yang ketagihan video pornografi melakukan kezaliman terhadap isterinya. Si suami gemar melakukan aksi seperti dalam video tontonannya.

Maka jika sekiranya input bahaya PORNOGRAFI diberikan kepada peserta kursus kahwin, sedikit sebanyak telah memberi input tentang permasalahan ini.

Oleh kerana itu MODUL GOODBYE PORNOGRAPHY berbesar hati jika mana mana institusi yang menganjurkan kursus perkahwinan dapat kita bekerjasama agar setiap individu dapat menjaga batasan pergaulan dan kehidupan mereka.

‘Porns kill Love’ Pornografi membunuh kasih sayang bukan menambahkan perasaan cinta. Maka marilah kita berganding bahu dalam membanteras masalah PORNOGRAFI dalam hubungan suami isteri agar kes kes penceraian dapat di kurangkan.

MOHD FADHLI BIN OTHMAN

FOUNDER & SPEAKER MODUL GOODBYE PORNOGRAPHY

AKTIVIS MALAYSIANS AGAINST PORNOGRAPHY

PENULIS PENA SYARIAH

0137001920

Terjemahan

Islam & Negara Sivil

Hubungan antara undang-undang alam dan undang-undang legal, antara undang-undang agama dan undang-undang buatan manusia, ialah semuanya akan bertemu dengan isu-isu yang memerlukan perbicangan dan pemerhatian yang lebih mendalam. Proses ini perlu diiringi dengan perspektif baru yang mampu membentuk sisi pandang yang baru, yang membawa kita jauh dari pertembungan sempit ke arah mengharmonikan dan mengintegrasikan dengan luas.

Oleh itu, saya bangkitkan satu persoalan mengenai berapa jauhkah Islam dan komuniti Islam boleh harmoni dalam sebuah negara sivil, negara yang mana undang-undangnya tergantung kepada kehendak rakyat, dan sistem perundangan dikuasai oleh sebuah institusi yang dipilih melalui pilihanraya? Institusi ini juga meluluskan sebarang undang-undang yang memenuhi kehendak rakyat dengan berdasarkan matlamat semaksimum mungkin.

Untuk menjawab persoalan ini, saya pilih untuk menonjolkan perbuatan Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang pemimpin (imam) dan kepimpinannya seperti yang dihuraikan oleh ulama’ usul al-fiqh (prinsip mengeluarkan hukum shar’ie) klasik. Cara-cara ini menunjukkan sinar baru dalam perbuatan Nabi yang telah melepasi pemerhatian, dalam kaitannya dengan membangunkan pengalaman politik semasa seorang muslim. Hal ini boleh memberi sumbangan dalam membebaskan seorang muslim semasa daripada rantai pengalaman sejarah, yang mungkin membataskan kejayaan yang boleh memberi manfaat kepada kita dalam kehidupan manusia semasa.

Kepelbagaian Perbuatan Rasulullah

Perbuatan Rasulullah telah dihuraikan oleh ramai orang sebagai perbuatan-perbuatan satu dimensi yang semuanya diilhamkan oleh Tuhan. Namun, beberapa ulama’ fiqh (ilmu perundangan shar’ie) dan ulama’ klasik usul al-fiqh (ilmu teknik mengeluarkan perundangan shar’ie daripada sumber) menyanggah pandangan ini dan percaya bahawa pandangan ini bertentangan dengan asal perbuatan Nabi. Sesetengah ulama’ mencadangkan perbuatan-perbuatan Nabi dibahagikan. Antara pelopor ulama’ ini ialah Abi Muhammad ibn Qutaybah al-Dinori (meninggal 276H) dalam bukunya Ta’wil Mukhtalaf al-Hadtih (menghuraikan hadith yang bercanggah), al-Qadi `Iyad al-Yahsebi (meninggal 544H) dalam bukunya al-Shifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa (Penawar bagi mengenali hak-hak Nabi Pilihan), ibn Qayyim al-Jawziyah (meninggal 751H) dalam beberapa tulisannya, dan ilmuan India Shah Wali Allah al-Dahlwi (meninggal 1176H) dalam bukunya Hujjat Allah al-Balighah (Petunjuk Allah yang Agung).

Beberapa ulama mencadangkan beberapa jenis pembahagian bagi perbuatan-perbuatan Nabi.

Sheikh Muhammad al-Taher ibn ‘Ashour, penulis buku Maqasid al-Shari’ah al-Islamiah (tujuan dan prinsip shari’ah) antara ulama semasa yang membuat satu sumbangan bernilai dalam medan ini.

Tetapi ulama’ pelopor prinsip-prinsip hukum ialah Shihab ad-Din al-Qarafi (meninggal 684H) yang merupakan penghurai paling luas dalam membahagikan jenis-jenis perbuatan Nabi. Dia menggambarkan sisi-sisi pandang ini dalam beberapa bukunya seperti ensiklopedia Fiqhnya berjudul az-Zakhirah, dan bukunya dikenali dalam menggambarkan kategori-kategori ini. Terakhir, ada bukunya yang dikhususkan untuk perkara ini berjudul al-Ihkam fi Tamiez al-Fatwa ‘an al-Hakam wa Tasarufat al-Qadi wa al-Imam (Penjelasan dalam membezakan fatwa (pandangan hukum) daripada pemberi fatwa, serta perbuatan hakim dan pemerintah).

Berdasarkan usaha-usaha terkumpul ini, perbuatan Nabi boleh secara umumnya dibahagikan kepada:

1.      Perbuatan yang menjadi syariat. Perbuatan yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan dan ikutan. Perbuatan ini pula dibahagikan kepada:

a.      Perbuatan yang menjadi syariat secara umum. Perbuatan yang tujuannya menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari Kiamat. Perbuatan ini samada diriwayatkan atau diberi dalam bentuk fatwa (pandangan hukum).

b.      Perbuatan yang menjadi syariat secara khusus. Perbuatan ini dikaitkan dengan tempat tertentu, masa, keadaan, atau orang tertentu, dan bukan umum untuk seluruh umat. Perbuatan ini termasuklah pemberian hukum-hakam, kepemimpinan, dan perbuatan-perbuatan khusus. Perbuatan ini dikaitkan dengan orang yang ditujukan kepadanya dan bukan untuk selainnya. Ianya dihuraikan oleh sesetengah sebagai perbuatan sebahagian atau syariat sebahagian atau percakapan sebahagian.

2.      Perbuatan yang bukan menjadi syariat. Perbuatan-perbuatan yang bukan tujuannya untuk diikuti dan diteladani, samada daripada seluruh umat atau kepada yang ditujukan sendiri. Antara perbuatan ini adalah perbuatan yang berdasarkan sangkaan, perbuatan berkaitan kehidupan harian, perbuatan yang menunjukkan pengajaran, dan perbuatan peribadi.

Pembahagian ini mempunyai kesan baik dalam memahami agama dan menguruskan tradisi Nabi menghadapi isu-isu dengan cara satu segi (one-sided) yang biasa dilakukan oleh mereka yang tidak memahami kata-kata dan perbuatan kecuali dari satu perspektif, dan menganggap semuanya mempunyai cara yang sama. Mereka membataskan kata-kata ini dari aspek pilihan huruf dan perkataan, dari aspek bahasa, dan tidak melihat suasana yang meliputi konteks kata-kata tersebut. Mereka mensia-siakan fakta yang menyebut begitu banyak perbuatan Nabi boleh berubah dengan situasi baru dan lebih terkait dengan kes-kes tertentu secara umumnya.

Pendekatan sebegini belum lagi jika kita lihat tujuan perbuatan Nabi, matlamat, dan objektif pengajaran dan pernyataan itu. Dalam konteks ini, sunnah Nabi Muhammad SAW, berubah menjadi prinsip dan peraturan abstrak yang tiada kaitan dengan realiti yang dinamik, kerumitan hidup manusia, atau situasi-situasi baru yang akan berlaku seiring dengan peredaran zaman. Pendekatan sebegini menjadikan sunnah sebagai undang-undang yang disusun dalam dunia abstrak yang tiada kaitan dengan kepelbagaian situasi politik atau sosial dan lebih jauh lagi daripada sifat semulajadi hidup manusia.

Semua ini menjelaskan kenapa Shihab ad-Din al-Qarafi menyusun perbezaan antara jenis-jenis perbuatan Nabi yang berbeza sebagai satu asal perundangan yang patut diberi perhatian dan diambil berat. Setelah menggambarkan jenis-jenis perbuatan Nabi yang berbeza dan apakah perbezaannya, dia menyatakan, dengan kaedah membezakan perbuatan ini, apa sahaja yang perkara dalam topik ini yang datang kepada kamu boleh dibezakan jenis perbuatannya (selawat dan salam atasnya), jadi perhatikan dengan teliti, kerana ini merupakan salah satu keutamaan agama ini.

Ibn Qayyim al-Jawziyah juga menyebut satu peraturan penting, “kata-kata Nabi yang sebahagian dan juga peribadi tidak sepatutnya dijadikan sebagai (peraturan) umum, atau dijadikan yang umum sebagai khusus, kelak akan menimbulkan percanggahan dan kesilapan.”

Perbuatan Nabi sebagai pemimpin (imam)

Perbuatan-perbuatan Nabi sebagai pemimpin didefinisikan sebagai perbuatan-perbuatan Nabi SAW sebagai ketua negara: seorang yang menguruskan urusan negara mengikut cara yang menjaga kepentingannya, dan mengelakkannya dari apa sahaja keburukan. Nabi, sebagai pemimpin, membuat keputusan-keputusan dan prosedur yang perlu untuk mencapai objektif Shari’ah dalam masyarakat. Sesetengah ulama’ menamakan perbuatan sebegini sebagai polisi berasaskan Shari’ah atau kepimpinan negara.

Sesetengah ulama’ klasik dalam bidang prinsip-prinsip perundangan Islam (fiqh) mengira konteks ketika perbuatan Nabi berlaku, dalam kes kita ini, berkaitan dengan kepimpinan negara. Perbuatan Nabi sebagai pemimpin, seperti yang dihuraikan oleh al-Qarafi, “adalah tambahan kepada perbuatan-perbuatan Nabi yang lain, yang diilhamkan oleh wahyu, peraturan-peraturan agama, dan penilaian legal.” Seterusnya diikuti dengan kepimpinan Nabi tidak akan sama keadaannya seperti perbuatan Nabi dan penyampaian Nabi dalam risalah wahyu. Perbezaaan ini secara asasnya dari dua segi:

1.      Pemimpin, seperti disebutkan al-Qarafi, ialah seorang yang “berkuasa mengurus polisi awam rakyat dan kepentingan-kepentingan, menolak keburukan, menghalang jenayah, menghukum orang yang zalim, dan untuk memberi kemudahan kepada warga sesebuah kawasan…”

2.      Pemimpin diberikan kuasa eksekutif. Kuasa ini tidak diberikan kepada mufti mahupun hakim. Perlaksanaan tanggungjawab kepimpinan, dari segi definisi, “dimaksudkan untuk memasukkan kuasa dan kerajaan.”

Dalam isu ini, sangat penting untuk mengkaji perbuatan-perbuatan Nabi berkaitan kepimpinan, untuk menjelaskan perspektif matlamat yang mana ulama’ klasik dalam bidang prinsip perundangan enggan mengaitkan isu ini. Empat jenis utama dalam perbuatan Nabi dibincangkan di bawah ini.

1.      Perbuatan Perundangan Khas

Perbuatan Nabi dalam memimpin, yang tidak berasaskan wahyu, adalah sejenis perbuatan sebahagian yang khas berkaitan dengan mengurus status dan polisi masyarakat, dalam masa, tempat, dan suasana tertentu. Oleh itu, ibn al-Qayyim menghuraikan jenis ini sebagai “polisi sebahagian,” menurut kepentingan yang tersirat bagi sesebuah ummah pada masa dan tempat itu, dengan disuluh oleh suasana khas. Al-Taher ibn ‘Ashour menamakannya sebagai “perundangan sebahagian.”

Oleh itu, ianya tidak ditetapkan untuk seluruh ummah selamanya, manakala para imam dan pemimpin, yang mengikuti jejak langkah Nabi, tidak seharusnya mengikuti yang ini secara membuta tuli. Sebaliknya, mereka seharusnya mengikut cara dan lebih memberi perhatian kepada memenuhkan kepentingan yang diambil berat oleh Nabi Muhammad SAW dalam konteks suasana tersebut. Al-Qarafi menggambarkan jenis perbuatan Nabi ini sebagai “tidak patut dicontohi melainkan dengan keizinan pemimpin semasa kerana dia (selawat dan salam atasnya) tidak melakukannya di bawah pimpinannya; tiada keizinan untuk diikuti jenis perbuatan ini tanpa pengesahannya (pemimpin).”

Sewajarnya, perbuatan-perbuatan berkaitan kepimpinan negara ini dirujuk kepada pemimpin atau pihak berkepentingan dalam sesebuah masyarakat, yang memastikan objektif shari’ah diambil berat, dan kepentingan dijaga, sepertimana yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW, dengan mengambil kira sepenuhnya tempat, masa, dan suasana kejadian. Kebekuan tanpa anjal menuruti perbuatan-perbuatan ini, tanpa mengira keperluan untuk berubah, adalah bercanggah dengan objektif shari’ah sepertimana bercanggah dengan sunnah itu sendiri.

Contohnya, sekiranya kita menganggap kata-kata Nabi, “sesiapa yang menghidupkan satu tanah, maka ia menjadi milknya,” tradisi ini dianggap oleh para ulama’ yang melihatnya berdasarkan cahaya kepimpinan politik sebagai satu kuasa yang ada sewaktu hayat Nabi untuk memberi hak pemilikan tanah kepada sesiapa yang menghidupkannya. Setelah kematiannya, kuasa ini terletak dalam tangan pemimpin atau pihak berkaitan untuk mengelakkan atau untuk menguruskan sistem ini menurut kepentingan tertentu. Inilah maksud Imam Abu Hanifah apabila dia berkata, “tiada siapa boleh menghidupkan (dan menjadikannya milik) suatu tanah terbiar kecuali setelah diizinkan oleh pemimpin.”

Kata-kata Nabi Muhammad SAW, “siapa membunuh seseorang (dalam peperangan) maka dia akan mendapat miliknya,” menurut al-Qarafi, ialah satu perbuatan berkaitan kepentingan semasa sewaktu dia (selawat dan salam atasnya hanya menyebutkannya kerana keperluan ketika itu, untuk menggalakkan orang ramai berperang.” Kerana itulah al-Qarafi menyatakan, “apabila seorang pemimpin melihat hadith ini ada kepentingan, dia patut gunakannya. Jika tidak, dia tidak patut. Inilah yang kami maksudkan sebagai perbuatan berkaitan kepemimpinan.”

2.      Perbuatan Berkaitan Kepentingan Awam

Ciri perbuatan kedua yang utama seorang pemimpin ialah asalnya perbuatan-perbuatan ini menyasarkan untuk memperolehi kepentingan awam. Al-‘Ezz ibn Abdul Salam menjelaskan bahawa “jika bukan kerana pemimpin, kepentingan awam mungkin telah hilang dan keburukan awam mungkin berlaku.” Perkara yang memberi makna bagi kepimpinan ketua negara (atau imam) ialah menurut al-Qarafi, “untuk menjadi jelas dalam menguruskan kepentingan dan politik mentadbir rakyat.” Seumpamanya, seperti penghakiman memerlukan alasan, bukti, dan sokongan–mengeluarkan fatwa (pendapat undang-undang shar’ie) ialah berdasarkan bukti yang sah– perbuatan kepimpinan yang bergantung kepada “kepentingan hak rakyat terbaik atau semata-mata.” Perkara ini kerana pemimpin ialah seseorang yang diwakilkan untuk menguruskan polisi awam rakyat, menguruskan kepentingan awam, mengelakkan keburukan, menentang jenayah, menghukum kezaliman, dan memberi kemudahan kepada rakyat.”

Nabi Muhammad SAW pernah menghalang daging korban disimpan lebih dari tiga malam dengan menyebut, “simpanlah hanya untuk tiga hari dan sedekahkan bakinya.” Namun, pada tahun hadapan dia menyebut, “saya hanya menyebutkan sedemikian kerana ada orang memerlukan sedang menziarahi Madinah. Tetapi sekarang, makanlah, sedekahkan, dan simpanlah seperti yang kamu mahu.”

Nabi Muhammad menghalang daging disimpan lebih tiga hari pada tahun pertama kerana dia mengambil kira keadaan ekonomi dan kehidupan disebabkan ramainya yang menziarahi Madinah. Dia maksudkan dalam arahannya ini untuk menyelesaikan krisis dan mengurangkan tekanan. Bahkan ‘A’ishah menyebutkan dalam kata-kata lain, “dia (Nabi) hanya menyebutkan demikian pada tahun rakyat sedang kelaparan.  Jadi dia mahu yang kaya memberi kepada yang miskin”.

Kepentingan awam ini diambil kira apabila berhadapan dengan undang-undang legal. Ahmad Muhammad Shakir mengira “perbuatan Nabi Muhammad SAW ini sebahagian daripada perbuatan seorang pemimpin berkaitan dengan mendepani kepentingan rakyat, dan jangan diambil sebagai undang-undang dalam seluruh urusan awam.”

3.      Perbuatan Berkaitan Logik Peribadi

Apabila Nabi Muhammad SAW menyampaikan kata-kata Allah atau menjelaskan sesuatu isu keagamaan, dia melakukan sepertimana yang diwahyukan; ketika dia membuat keputusan sebagai imam atau pemimpin politik, dia sentiasa bekerja berdasarkan logik (ijtihad) peribadi, yang boleh jadi betul atau salah. Perkara kedua ini dipersetujui oleh semua ulama’ klasik dalam prinsip perundangan dan ulama’ perundangan (fiqh dan usul al-fiqh). Konsep ini diriwayatkan oleh Muhammad ibn Ali al-Shawkani, “telah dipersetujui oleh ulama’ Islam bahawa Nabi mungkin bersandarkan kepada logik peribadi dalam berdepan dengan kehidupan seharian, peperangan dan seumpamanya. Perbuatan sebegini dikhabarkan oleh Selim al-Razi dan Ibn Hazm; sama seperti yang sebenarnya dibuat oleh Nabi SAW apabila membuat keputusan untuk membuat perdamaian dengan (kabilah) Ghatfan dalam isu buah-buahan Madinah, dan apabila dia mencadangkan jangan dikacukkan benih buah-buahan Madinah.” Abu Bakr al-Jassas, Abu al-Hassan al-Basri, Imam al-Juwaini, dan Fakhru al-Din al-Razi memilih pendapat ini. Pilihan yang sama ditekankan oleh Ibn Battah melalui Taqi al-Din Ibn Taimiyah:

“Nabi dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk sesetengah keputusan dan arahannya dan ini bukti jelas bahawa banyak darinya berasaskan pendapat dan penilaian peribadi. Hal ini diaplikasikan atas penilaian Nabi dalam urusan seperti tawanan Badar, menerima tebusan mereka, dan membenarkan rakyat yang datang kepadanya dengan apa sahaja alasan untuk dikecualikan dari peperangan Tabuk, sehingga orang yang tiada alasan mengecualikan diri mereka sendiri. Juga, ayat “ambillah pandangan-pandangan mereka dalam berurusan,” (Al‘Imran 3:159). Jika penilaian-penilaian ini merupakan wahyu, Nabi tidak memerlukan sebarang nasihat pandangan.”

Contoh ini menjelaskan banyak perbuatan dan keputusan politik Nabi dan menunjukkan yang mana daripadanya yang merupakan logik peribadi.

Mengambil nasihat dan pandangan para sahabatnya dalam membuat keputusan merupakan bukti selanjutnya bahawa perbuatan Nabi sebagai pemimpin adalah berdasarkan logik peribadi. Jika isunya diilhamkan oleh wahyu, dia tidak akan terpaksa memerlukan sebarang nasihat. Tetapi sebenarnya, dia mendengar pandangan mereka, bertanya kepada pakar dan mempertimbangkan serta membincangkan semua urusan dengan pilihannya sendiri.

Para sahabat dahulunya membezakan antara tugasnya sebagai penyampai risalah dan wahyu dan tugasnya sebagai pemimpin politik dan ketenteraan. Jika mereka keliru, mereka akan meminta penjelasan dari Nabi. Contohnya soalan al-Hubab ibn Munzir mengenai tempat yang dipilih dalam Badar, “adakah ini tempat yang dipilih oleh Allah, atau ianya pendapat, peperangan, dan muslihat?” Contoh lain ialah bukti soalan Sa’d ibn Mu’adh dan Sa’d ibn ‘Ubadah dalam peperangan Parit (Khandaq), “wahai Rasul Allah! Adakah ianya satu perkara yang kalau kamu sukai untuk kami lakukan, atau ianya arahan Allah yang wajib kami taati, atau ianya satu perbuatan yang kamu lakukan untuk kepentingan kami?”

4.      Perbuatan Berkaitan Urusan-Urusan “Bukan Agama”

Frasa yang digunakan oleh al-Qarafi untuk menggambarkan logik peribadi pemimpin hanya sesuai apabila dikaitkan dengan “sebarang yang dipertikaikan atas kepentingan dunia.” Dia menambah, “logik peribadi dalam perkara berkaitan ritual (ibadat) terpaksa dikecualikan, kerana perbahasan mengenainya adalah berkaitan dengan urusan selepas mati (akhirat) dan bukan urusan-urusan harian manusia; maka sudah pasti tiada ruang untuk ijtihad peribadi seorang pemimpin.

Membezakan antara perkara-perkara duniawi dan perkara-perkara akhirat adalah kritikal; namun demikian konsep ini perlu difahami melalui kerangka Islam (yang menghubungkan perkara-perkara agama dan duniawi secara holistik) dan bukan melalui kerangka Barat yang hanya melihat perkara tersebut sebagai sebuah perkara yang hanya melibatkan gereja. “Keagamaan” mempunyai dua maksud yang berbeza dalam teks Shari’ah. Maksud yang pertama merangkumi segala aktiviti seseorang Muslim, termasuk politik. Apa-apa amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim secara amnya adalah sebuah ibadah selagi niat di sebalik amal tersebut semata-mata hanya kerana Allah. Perbuatan-perbuatan yang disenaraikan di atas boleh diklasifikasikan di bawah terma “agama”.

Buku-buku fiqh berkaitan hukum-hakam praktikal mempunyai bab-bab berkaitan solat, puasa, dan zakat, di samping hukum-hakam hubungan kekeluargaan, perkahwinan, perceraian, dan wasiat. Buku-buku tersebut juga mengandungi hukum-hukum yang berkait dengan aktiviti-aktiviti ekonomi seperti jual beli, riba, pinjaman gadai janji, perkongsian tanaman dan urusan penyewaan, di samping bab-bab berkaitan aktiviti politik seperti kepimpinan, amar makruf nahi mungkar, jihad, dan mobilisasi tentera. Perkara-perkara ini dikategorikan sebagai urusan-urusan agama, yakni “agama” di sini bermaksud setiap amal kebaikan yang bermanfaat yang dilakukan oleh seorang Muslim.

Maksud “agama” yang kedua hanya merujuk kepada perkara-perkara berlawanan dengan perkara-perkara duniawi. Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Jika ia adalah perkara berkaitan agama, maka ikutilah aku. Tetapi jika ia adalah perkara duniawi, maka berbuatlah seperti yang kamu tahu,”. “Agama” yang dimaksudkan di sini diperjelaskan dalam sabda Baginda dalam sebuah hadith, tatkala Baginda melihat beberapa orang berdiri di sebelah beberapa pokok kurma, dan menanyakan mereka apa yang mereka lakukan. Mereka menjawab “Pendebungaan”. Baginda kemudian berkata “Padaku ia tidak akan menghasilkan apa-apa”. Mereka pun meninggalkan perkara itu dan pokok-pokok itu pun tidak membuahkan hasil. Apabila baginda mengetahui hal tersebut, baginda pun bersabda “lakukan apa yang berguna untuk kamu. Aku hanya memberi pendapat, maka janganlah mengambil pendapat tersebut sebagai sebuah arahan. Ikutilah kata-kataku jika berkaitan dengan Allah, kerana aku tidak akan berbohong tentang Allah”.

Dalam hadith yang berlainan, Nabi Muhammad SAW bersabda “jika aku memerintahkan kamu dalam perkara berkaitan agama, maka ikutilah arahan tersebut. Jika arahan tersebut merupakan pendapatku, maka pertimbangankanlah bahawa aku juga manusia”. Amalan agama adalah perbuatan berpandukan wahyu atau pertimbangan pendapat dalam perkara-perkara yang setaraf dengan wahyu. Amalan duniawi pula adalah amalan yang berkaitan kehidupan di dunia ini yang berdasarkan pendapat peribadi. Penekanan terhadap tindakan-tindakan Rasulullah SAW sebagai pemimpin dalam hal-hal duniawi adalah penting kerana:

–          Ia membezakan tindakan-tindakan tersebut daripada maksud kedua “agama”. Hal ini membuktikan wujudnya perbezaan dalam Islam antara “agama” dan kehidupan, aktiviti politik dan amalan-amalan ibadat khusus.

–          Ia menjelaskan tujuan Islam untuk membuang unsur-unsur pensakralan aktiviti politik, untuk menghalang monopoli (kuasa) politik atas nama agama dan membuang penyekatan kreativiti dan kebebasan.

–          Ia juga menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mengubah tindakan-tindakan baginda sebagai pemimpin jika ada perubahan dalam kepentingan rakyat yang menatijahkan tindakan tersebut. Kefahaman tersebut mengenai tindakan Rasulullah SAW adalah kefahaman yang disetujui semua.

Beberapa tindakan Rasulullah SAW sebagai pemimpin tidak menjadi kewajipan bagi sesebuah badan legislatif dan kita tidak perlu terus mengikutinya atas andaian bahawa amalan tersebut adalah sunnah. Parti-parti terbabit patut mengikuti cara yang diamalkan Rasulullah SAW dalam memimpin negara, yang mengambil kira kepentingan rakyat yang berasas. Tiada sesiapa yang patut memberi kata putus atas sesebuah tindakan melainkan ia berada dalam bidang pengurusan atau legislatif.

Apabila Ibn Qayyim meriwayatkan beberapa tindakan Rasulullah SAW dan beberapa khulafa’ dalam polisi kerajaan yang berorientasikan Shari’ah, beliau menyebut bahawa “polisi tersebut bersifat sementara dan akan berubah mengikut kepentingan am dan keadaan semasa. Ada juga mereka yang mengandaikan bahawa tindakan-tindakan tersebut tetap dan tidak berubah; setiap orang mempunyai alasan-alasan mereka dan ganjaran mereka. Sesiapa yang berusaha untuk menginterpretasi tindakan-tindakan tersebut demi Allah dan RasulNya akan mendapat ganjaran pahala sebanyak satu atau dua kali ganda.”

Penubuhan Negara Sivil

Tindakan Baginda Rasulullah SAW dalam hal-hal berkaitan polisi berlandaskan Shari’ah membuka ruang ijtihad dalam fiqh politik dan juga pertimbangan semula isu-isu lama. Hal ini juga memberi asas kepada keperluan kesedaran metodologi dalam merangka polisi berlandaskan Shari’ah dan juga penyebaran kesedaran tersebut dalam kalangan orang-orang yang mempunyai minat dalam kebangkitan Islam secara teori atau praktikal. Perbezaan antara apa yang diwahyukan dan apa yang dibuat oleh manusia adalah amat jelas di sisi Islam, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan aktiviti-aktiviti politik. Pemahaman yang mendalam dan pengamatan yang tajam tentang tindakan-tindakan Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin memberi asas yang penting dan kukuh dalam merangka strategi untuk menangani isu-isu semasa yang berkaitan dengan pemikiran politik Islam moden. Beberapa asas disenaraikan di bawah:

  1. Pemahaman yang mantap tentang tindakan Nabi SAW sebagai imam -yang tidak terhad- menawarkan asas sistematik yang penting dan jitu untuk kebanyakan isu semasa berkaitan dengan trend pemikiran politikal Islam moden.

Sifat-sifat tindakan Nabi sebagai imam menunjukkan bahawa negara Islam  pada asasnya adalah bersifat sivil dan tidaklah bersifat keagamaan seperti yang dianggap melalui pendekatan politik Barat. Sifat semulajadi dan peri tindakan Nabi sebagai imam menekankan bahawa Islam tidak mengkuduskan praktis dan keputusan pemimpin atau cara yang digunapakai oleh negara dalam menguruskan perihal ummah. Negara dalam Islam tidaklah teokratik dan tiada satu negara pun yang diinspirasikan oleh kuasa keagamaan mahupun oleh wahyu.

Negara dalam Islam adalah negara duniawi, yang mana keputusannya bersifat manusiawi dan tugasnya adalah untuk menerima pakai polisi terbaik yang subjektif dan praktikal dalam menguruskan hal-hal kemasyarakatan.  Seorang pemimpin dalam Islam seharusnya tidak mendapatkan legitimasi daripada kuasa keagamaan; beliau merupakan seorang insan biasa yang diiktiraf dan dipilih dengan rela oleh ummah yang diwakilinya dan dipertanggungjawabkan ke atasnya. Beliau, paling penting, adalah bertanggungjawab di hadapan Allah dalam setiap satu tindakannya.

Ulama` politik muslim klasik menekankan maksud sedemikian dalam mendefinisikan polisi yang berorientasikan Shari’ah atau fungsi imam dalam Islam. Sebahagian pendapat mereka, walau bagaimanapun, disalahfahami. Abu Al Hasan Al-Mawardi mendefinisikan imamiah (kepimpinan) sebagai “kepemangkuan bagi pihak kenabian dalam mempertahankan agama dan politik duniawi.” Ibn Khaldun telah berkata, “Ia adalah kebenaran untuk mempertahankan agama dan politik duniawi.” Kemudian dia berkata, “dalam perkara menggelarkannya sebagai seorang khalifah, ia adalah kerana beliau merupakan pewaris kepada Nabi dalam menguruskan perihal ummah”.

Pewarisan kenabian mungkin menyebabkan sedikit kekaburan makna berkenaan imamiah (kepimpinan). Walau bagaimanapun, sifat tindakan kenabian berkenaan hal ini menjelaskan bahawa pihak yang mempunyai kuasa hanya menggantikan Nabi dalam kedudukan baginda sebagai seorang pemimpin, yang dikendalikan baginda menggunakan sifat manusiawi baginda dan praktis politikal baginda secara kendiri (tidak dipandu secara terus oleh wahyu), yang mana baginda tidak maksum. Namun begitu, berdasarkan kesepakatan ulama Muslim,  pemimpin Muslim tidak menggantikan Nabi dalam hal kenabian, yang mana melibatkan penyebaran risalah dan Nabi adalah maksum dalam hal ini.

2.                  Hubungan antara apa yang bersifat keagamaan dan apa yang bersifat politikal telah mengambil bentuk yang berbeza dan bercanggah dalam pemikiran kontemporari.  Hal ini turut terpakai kepada Barat, walaupun terdapat titik persamaan antara pengalaman Muslim dan Barat.

Ia adalah perlu dalam perkara ini untuk mengambil manfaat daripada pengalaman pihak lain dalam mewujudkan model demokratik kita. Pengalaman politik manusia telah menyumbang dengan banyaknya dalam mencapai kestabilan negara dan merasionalisasikan sumbangan pelbagai pihak dalam pengurusan hal negara. Pembacaan yang dalam berkenaan pengalaman politik Barat membolehkan kita untuk mencapai sebuah model yang menggabungkan kedua-dua keagamaan dan undang-undang yang positif, model yang bertindak balas kepada keperluan khas kita dan membantu kita mencapai sebarang keperluan yang penting.  Hal ini memerlukan, sebagai timbal balik, pengecualian sebarang petanda yang mengkuduskan aspek politik agama, pengecualian prinsip-prinsip umum dan tujuan utama Shari’ah. Selebihnya merupakan manusia, hal keduniaan dan tindakan kepimpinan Nabi dalam konteks ini hanyalah sebagai seorang manusia.

Ulama perundangan muslim (tidak kira yang lama mahupun kontemporari) bersetuju  bahawa ummah ataupun rakyat merupakan asal kepada legitimasi sesebuah negara. Nabi Muhammad SAW sendiri wafat tanpa melantik seorang pengganti. Baginda SAW meninggalkan hal itu sepenuhnya kepada rakyat untuk bukan sahaja memilih individu yang dikehendaki, malah untuk memilih kaedah pemilihan. Tindakan sebegitu daripada Nabi membentuk sebuah asas perlembagaan yang bermakna. Para pemimpin dipilih oleh rakyatnya sahaja; persetujuan ikrar setia adalah sebuah kontrak yang termeterai antara pemerintah dan yang diperintah, di mana persetujuan mutlak merupakan syarat utama yang mana kontrak tersebut adalah terbatal dan tidak sah tanpanya. Pemerintah, akhirnya, adalah seorang individu yang dipilih daripada ummah untuk menguruskan kuasa; beliau tidak mempunyai kelebihan disebabkan pemilihan tersebut, dan beliau seharusnya bertindak berdasarkan kontrak yang telah dipersetujui.

Ulama` klasik dan kontemporari bersama-sama menyumbang beberapa hujah berkenaan hal ini. Namun saya hanya menyebut penghujahan Imam Shafi’i. Beliau selalunya merujuk kepada kata-kata Nabi “Tiada diterima solat seorang imam (pemimpin solat) yang dibenci orang…” Beliau merumuskan bahawa “tidak digalakkan seseorang untuk menjadi imam kepada sekumpulan orang yang membencinya.” Kemudian, beliau menggunakan prinsip tersebut kepada aspek politik: “Tidak disukai bagi seseorang untuk memimpin rakyat yang membencinya. Dan sekiranya dia memerintah sedangkan majoriti tidak membencinya dan sebahagian kecil membencinya, aku berkata ia masih begitu, disebabkan prinsip tidak disukai menguruskan wilayah secara amnya.” Tidak diragukan lagi bahawa ia merupakan satu inferens yang hebat; sekiranya adalah tidak diterima untuk menjadi imam kepada orang yang membenci imam tersebut, hal yang sama boleh digunakan kepada prinsip pemerintahan.

Legitimasi dalam sejarah Islam selalunya bergantung kepada ummah dalam satu cara atau yang lain. Negara baru diasaskan di atas runtuhan negara yang lain, yang mana sama ada gagal untuk mencapai keadilan dalaman atau kestabilan atau mempertahankan wilayah ummah daripada musuh. Seseorang selalunya termotivasi untuk menubuhkan sebuah negara yang mampu mencapai kedua-dua tujuan, agar natijahnya rakyat berhimpun sekelilingnya, seterusnya memberikan legitimasi kepada pemerintahannya. Kes ini mengingatkan tentang kemunculan projek negara bangsa atau bentuk lain di dunia Arab, yang mana telah ditubuhkan melalui revolusi. Negara-negara ini dalam satu cara atau yang lainnya bertindak balas kepada harapan kebebasan dan keadilan sosial yang popular. Negara-negara sebegini diangkat pada awalnya, namun ia kemudiannya bertukar kepada negara penindasan dan paksaan untuk beberapa sebab yang subjektif dan objektif, dan ia seterusnya gagal untuk mencapai kebebasan mahupun keadilan sosial.

Mengaitkan legitimisi kepada kemampuan memenuhi keperluan asasi ummah telah digambarkan sebagai legitimasi berdasarkan agama, namun bukanlah dalam erti kata teokratik. Sebaliknya, ia bermaksud legitimasi ummah sedemikian lebih bergantung kepada kemampuan untuk mempertahankan agama dan menyuburkan ummah islami. Dalam kata lain, ia merupakan sebuah negara sivil, dengan legitimasi popular, yang diberikan kuasa untuk melindungi agama ummah tersebut, seperti mana negara moden melaksanakan tugasnya untuk melindungi rakyat dan kepentingannya.

Dengan cara yang sama, prinsip ini boleh digunakan kepada artikel perlembagaan yang lain seperti pindaan institusi politik, pilihanraya, penentuan tempoh berkuasa, dan mendefinisikan hubungan antara pelbagai pihak berkuasa, kebebasannya dan sebagainya. Hal yang telah disebutkan sebelum ini tertakluk kepada pertimbangan manusia yang bebas.

3.                  Berurusan dengan peristiwa sejarah pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin; pengalaman Islam pada zaman khalifah-khalifah tersebut sentiasa mendominasi pemikiran politik dan legislatif kontemporari. Ia tidak diragukan lagi, merupakan pengalaman yang cemerlang dan unggul; meskipun begitu, hal ini tidak bermakna ia mempunyai sebarang implikasi secara terus yang dapat mengatasi zaman, tempat dan keadaan sekelilingnya.

Jika praktis politik Nabi adalah relatif, maka pengalaman khalifah-khalifah tersebut tentulah relatif juga. Sekiranya kita diwajibkan untuk menuruti jejak langkah kaedah umum Nabi sebagai ketua negara, tanpa kepatuhan tidak berbelah bagi kepada keputusan separa, maka kita perlu mengambil Khulafa’ ar-Rasyidin sebagai model hanya dalam hal mereka menuruti Nabi SAW, interaksi mereka dengan pembolehubah realiti islamik dan pelaksanaan penyataan agama mereka.

Bentuk institusi, mekanisme institusi, interpretasi legislatif dan politik semasa zaman khalifah tersebut hanyalah hasil manusiawi yang dipengaruhi konteks sejarah, persekitaran kebudayaan dan melieu pada zaman tersebut. Legasi tersebut tidak seharusnya dijadikan sebagai sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada agama yang mengikat semua muslim pada setiap zaman. Pemikiran politik dan budaya manusia sentiasa ditenggelami oleh beberapa aksiom yang telah mempengaruhi  pemahaman muslim berkenaan sistem politik Islam. Aksiom-aksiom ini telah menghalang muslim daripada mencapai tujuan Islam melainkan dalam had persekitaran budaya manusia yang terdapat pada setiap zaman.  Qur’an, walau bagaimanapun, merupakan satu inspirasi yang mana dimanfaatkan manusia berdasarkan potensi mereka, yang mana mereka tidak mampu menghabiskan ajaran yang cuba disampaikannya.

Mewujudkan sebuah negara islam yang sivil yang memperoleh legitimasinya daripada rakyatnya menjadikan muslim lebih terbuka kepada perkembangan bentuk kerajaan yang berterusan berdasarkan mekanisme dan sistem yang dijana oleh manusia. Ini menjadikan mereka juga lebih berkemampuan untuk melaksanakan bentuk demokrasi yang terbaik, yang mana mereka mampu lebih memperkayakannya dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam yang membawa keunggulan kepercayaan (iman) dan kedalaman sosial dan kemanusiaan kepada bentuk demokrasi yang telah disokong.

Penulis asal: Saadedine El ‘Othmani (Setiausaha Agung Parti Keadilan dan Pembangunan di Maghribi)

Diterjemahkan oleh:

Zainal Abidin Bin Abdul Rahim merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti al-Eman Yaman yang kini calon Ijazah Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau merupakan tenaga pengajar di beberapa pusat Pendidikan Islam. Penulis kini merupakan sukarelawan JK Ulama` IKRAM Malaysia dan JK dakwah IKRAM bagi kawasan Setiawangsa.

Iskandar Zulqarnain Bin Mohamed merupakan graduan berkelulusan M.B.B.S dari University College London (UCL) dan B.A dari University of Cambridge (Cantab). Kini beliau sedang berkhidmat sebagai seorang doktor serta terlibat aktif sebagai aktivis IKRAM UKE.

Mohamad Danial Bin Othman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Astronomi dan Astrofizik dari Pennsylvania State University dan sekarang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Pendidikan Al-Itqan, Pulau Pinang. Beliau turut terlibat aktif dalam IKRAM Siswa Perlis dan IKRAM Siswa Pulau pinang.

Mahasiswa

Negara Rahmah : Kita Harus Bagaimana?

“Kaum nasionalis hanya berfikir untuk membebaskan negerinya. Bila kemudian mereka membangun negerinya, mereka hanya memerhatikan aspek­-aspek fisik seperti yang kini terjadi di daratan Eropah. Sebaliknya, kami percaya bahawa di setiap leher Muslim tergantung amanah besar untuk mengorbankan seluruh jiwa dan raga serta hartanya demi membimbing manusia menuju cahaya Islam…”

Petikan kata­-kata Imam Hassan Al-Banna dalam bukunya Himpunan Risalah (Maj’muatul Rasail) yang berkisar tentang semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme itu sebenarnya perlu dalam sebuah perjuangan. Perubahan itu bukan semata dalam aspek fisik bahkan juga dalam aspek spritiual dan pemikiran demi kesejahteraan manusia.

Hari ini, Malaysia bakal melalui satu anjakan dan perubahan menuju sebuah negara rahmah yang diimpikan. Aspirasi yang dibawa melalui gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah barangkali merupakan satu titik permulaan ke arah masa depan yang lebih baik. Fenomena kebangkitan rakyat di negara-­negara Timur tengah –Syria, Palestin, Tunisia dan Mesir, menyaksikan semangat masyarakatnya yang ingin berubah kepada keadaan yang lebih baik telah meransang generasi muda untuk lebih progresif dan bersifat analitikal.

Penelitian dan pemahaman terhadap konsep rahmah yang cuba dibawakan perlu dilakukan dengan sebaiknya untuk mengelakkan berlaku salah faham seterusnya mencetuskan ketegangan antara banyak pihak. Frasa Rahmah jika diteliti secara literasinya membawa maksud belas kasihan, keberkatan, kebahagiaan dan kelebihan serta berhikmah. Dalam erti kata lain, nilai yang cuba diterapkan dalam konsep ‘negara rahmah’ ini ialah tafahum (saling memahami) dan tasamuh (toleransi dan kesefahaman) dalam segenap ruang masyarakat sejajar dengan sifat tabii (fitrah) agama islam dan risalah yang dibawa berdasarkan firman Allah SWT:

 “Dan kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam” (Surah al-­anbiya:107)

Malahan konsep ini juga sangat bertepatan dengan Maqasid Syariah yang terkandung dalam sistem syariah islam yang menjadi kemaslahatan umat dan menolak kefasadan. Apa yang menarik, dasar ini mengambil kira ketiga-­tiga elemen penting pembinaan sebuah negara iaitu dalam kerangka politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Bahkan juga, ia bukanlah semata-­mata dapat dirasai oleh Muslim bahkan kesejahteraan yang ingin dibawa juga bakal dirasai oleh mereka yang berlainan bangsa dan agama. Dasar dan intipati yang ingin diimplementasikan bukanlah sebuah retorik dan bersifat ‘angan­-angan mat jenin’ kerana bagi penulis inilah satu dasar yang sesuai dan relevan dalam konteks masyarakat majmuk dalam usaha mengarus­perdanakan syariat islam.

Tambahan pula, sebuah gagasan yang berorientasikan muafakat dan kesefahaman ini pastinya mampu menarik sokongan ramai di saat negara sedang bergolak dengan pelbagai konspirasi dan masalah perselisihan faham. Di samping itu, usaha ini dilihat mampu menyemai benih kasih sayang dan suasana mawaddah antara ahli masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia sesuai dengan firmanNya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal­kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia­mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya). “(Surah al-Hujurat : 13)

Cabaran

Analisis kondisi negara Malaysia menunjukkan berlaku terlalu banyak masalah dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial dalam masyarakat kita. Medan politik negara makin dicemari dengan masalah ketirisan, korupsi dan penipuan yang terus berleluasa di sana sini. Pemerintah dilihat gagal mengatasi angka korupsi yang kian meningkat saban tahun walhal pembangunan fisik negara terus-­terusan berjalan. Perpecahan kian merebak dan sentimen perkauman terus menjadi mainan politik. Rakyat jelata berterusan dihantui dengan kadar kemiskinan yang tinggi dan keperitan hidup lantaran peningkatan kos sara hidup serta pelaksanaan cukai yang semakin tinggi. Fenomena keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan rakyat kita dilihat semakin menjadi­-jadi barangkali natijah daripada sistem pendidikan yang kurang berkesan sedangkan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan telah dilakukan, namun hasilnya masih tidak menunjukkan kesan positif.

Realitinya, kita perlukan sebuah perubahan ke arah negara yang baru. Mengguna pakai model negara­-negara membangun sedia ada dan sejarah lampau adalah kunci penyelesaian terhadap semua masalah ini. Pengislahan sedikit demi sedikit dalam setiap aspek pembangunan negara adalah sangat perlu bagi membangunkan sebuah masyarakat madani sekaligus membina sebuah negara rahmah yang dicita-­citakan.

Titik Perubahan

Perlu difahami suatu gerakan perubahan bukanlah bersifat segera tetapi ia merupakan satu proses jangka masa panjang yang memerlukan usaha dan kerjasama yang tinggi. Status quo negara Malaysia kini perlulah diambil kira dalam menilai aspek mana yang perlu diubah dan diperkukuhkan. Justeru, melihat senario masyarakat kini yang telah dibahaskan semasa pembentangan ucapan dasar, saya meyakini bahawa untuk mencapai ciri-­ciri negara rahmah yang telah digariskan sangat memerlukan sokongan dan kerjasama padu dari semua pihak.

Seruan untuk membentuk sebuah negara “baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur”­ negeri yang baik dan mendapat keampunan tuhan, (Surah ­Saba`: 15) dan menjadikan konsep rahmatan lil’alamin sebagai tunjangnya perlu disahut oleh semua lapisan masyarakat. Dengan menjadikan sejarah negeri Saba’ sebagai contoh sebuah negara makmur justeru adalah satu paradigma yang jauh kehadapan. Namun, apakah titik perubahan yang ingin dilakukan dalam dasar gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah”?.

Penulis melihat perubahan yang cuba dilakukan tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadikan prinsip­-prinsip Syariah Islamiyah itu dapat dilaksanakan dalam semua cabang kehidupan. Antaranya mewujudkan sistem pemerintahan yang adil dan berlandaskan syariah, sistem kehakiman yang telus dan saksama, bahkan juga mempersiapkan sebuah negara yang menampilkan para ulama sebagai rujukan utama para umara’. Menurut Saari Sungib (2011) di dalam bukunya “Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia”, fasa­-fasa perubahan dan pengukuhan ini dilakukan dalam kerangka memelihara kesejahteraan manusia sejajar dengan prinsip hak asasi manusia yang terkandung dalam Shahifatul Madinah pada zaman Rasulullah SAW dan Maqasid Syariah itu sendiri.

Antaranya, memastikan pemerintah yang dipilih benar­-benar adil dalam melaksanakan tuntutan syariah dan meletakkan ketaatan sepenuhnya kepada pemerintah disamping menjamin hak sama rata antara manusia dapat dipertahankan. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya telah musnah umat sebelum daripada kamu kerana apabila orang yang mulia di kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya dan apabila orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan ke atasnya hudud (hukuman). Demi Allah sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya” (Bukhari dan Muslim) .

Di satu sudut yang lain, perubahan berlandaskan syariat dalam sistem pendidikan perlu segera dilakukan. Sistem pendidikan sedia ada hari ini didapati gagal menjamin penghasilan modal insan yang diimpikan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan Negara. Penekanan dalam aspek pembinaan intelek dan akhlak perlu selari memandangkan pada peringkat pelajar akan mula dibentuk dengan acuan tertentu. Oleh itu, sesebuah institusi pendidikan perlu dilengkapkan dengan sebuah proses yang syumul, yang merangkumi proses tarbiyah (mendidik), ta’dib (membentuk akhlak) dan ta’lim (memberi pengajaran).

Mahasiswa: Pemuda Dan Ejen Pengubah

“Kalau engkau ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada pemuda­pemudinya” ­(Saidina Ali).

Suatu masa dahulu, pengasas fahaman Marxism, Marx secara terang-­terangan mengemukakan pandanganya terhadap cara (uslub) yang seharusnya diambil oleh gerakan­gerakan Komunis dalam melakukan perubahan sosial dan mengubah Kapitalisme. Katanya, “Tidak ada jalan bagi menggantikan Kapitalisme dengan Sosialisme kecuali dengan revolusi”. Menurut Fathi Yakan, pemuda dalam konteks revolusi adalah medan yang sangat subur untuk digunakan dalam proses ke arah itu.

Walau bagaimanapun, ia tidaklah menafikan pentingnya peranan orang-­orang dewasa dan orang­-orang tua dalam turut sama menyumbang ke arah sebuah perubahan. Sesuai dengan kata­-kata yang telah diungkapkan oleh Saidina Ali, pemuda merupakan ladang-­ladang tanaman yang perlu dibaja dengan sebaiknya supaya hasil yang terbaik dapat dinikmati oleh manusia. Begitu juga dengan pemuda, perlu dipersiapkan jasmani dan spiritual untuk sama­-sama membina sebuah tamadun yang berjaya. Penulis tertarik dengan petikan Imam As-syahid Hassan Al-Banna dalam “Risalah Wahai Pemuda”, yang menjelaskan “karakter iman, ikhlas, semangat dan amal yang melekat pada pemuda sebenarnya rahsia kepada sebuah pemikiran yang berjaya diwujudkan”.

Jika dilihat kembali dalam ciri­-ciri negara rahmah di fasa transisi yang telah diceritakan, secara zahirnya kita hanya melihat perubahan di fasa itu perlu dilakukan oleh mereka yang dewasa dan dimanakah peranan seorang mahasiswa? Mahasiswa hari ini perlu mengorak langkah menjadi tiang pendukung kepada golongan pelopor. Betapa beruntungnya mahasiswa hari ini apabila mereka sudah tidak perlu berjuang bermati­-matian menuntut hak kebebasan beragama mahupun mengembalikan hak yang dirampas seperti yang telah dilalui oleh mereka pada zaman dahulu. Malah, hari ini, pemuda merasa bahagia dengan kesejahteraan yang dikecapi. Namun, sedar atau tidak ia justeru menyebabkan kita leka dan cenderung untuk bermain­-main kerana merasa aman dan tenang dalam kondisi yang sedia ada.

Dalam keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang pelbagai, seharusnya kita mengambil peluang untuk lebih proaktif dan agresif menyebarkan batas­-batas islam secara jelas dan sempurna. Peluang hidup bercampur antara bangsa perlu dimanfaatkan dengan memelihara imej Islam supaya tidak menjadi fitnah kepada agama. Bahkan atas dasar kepelbagaian inilah, kita belajar untuk lebih bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain. Jika para masyayikh (orang tua) berhempas pulas berfikir untuk melakukan perubahan diperingkat yang tinggi, apa salahnya kita sebagai mahasiswa muslim memainkan peranannya di akar umbi untuk sebuah perubahan. Medan ilmu yang dibentangkan seharusnya mampu mempersiapkan diri kita menjadi pengganti para pemimpin sedia ada untuk memacu sebuah negara yang sejahtera.

Namun dari satu sudut, kita perlu sedar bahawa membina mahasiswa yang berdaya saing dan benar­-benar memahami Islam itu tidak cukup sekadar itu. Mahasiswa yang kompeten perlu sama­-sama turun padang menyampaikan risalah­-risalah dakwah kerana pada hakikatnya matlamat utama persiapan pemuda ini bukanlah sekadar memelihara dirinya daripada kecundang oleh hawa nafsu. Menurut Fathi Yakan dalam bukunya “Generasi Pemuda dan Perubahan” sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-­pemuda islam hari ini adalah untuk melaksanakan matlamat tercapainya ‘Qawamah’ (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia.

Hal ini memerlukan tugas pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliyyah ke tangan Islam dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliyyah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam. Ia selari dengan ciri yang digariskan dalam fasa pengukuhan dasar “Negara Rahmah” iaitu sebuah negara yang memastikan risalah dan dakwah Islam ditegakkan dan menjadikannya ciri utama kelangsungan pentadbirannya. Bergaullah dengan masyarakat sekeliling kerana dengan banyaknya bergaul, kita akan lebih maju kehadapan. Bahkan Islam sendiri menganjur kita untuk saling kenal­ mengenal antara satu sama lain. Seorang ahli falsafah terkemuka, Aristotle ada menyebut “orang yang menyisihkan diri daripada pergaulan tidak akan mencapai kemajuan. Pergaulan itu mencerdaskan dan menajamkan ingatan”.

Buat Mahasiswa Timur Tengah

Jika diintai kembali keseluruhan dasar gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah”, tidak dapat tidak, golongan pemikir dan intelektual terutama bakal ilmuwan Islam sangat diperlukan pada masa akan datang. Masyarakat pastinya ternanti­-nanti siapakah yang bakal menggantikan ulama’ yang sedia ada hari ini.

Apabila berbicara mengenai kelahiran ulama’, pastinya graduan timur tengah akan menjadi fokus utama perkara ini kerana sewajarnya mereka inilah yang menjadi seorang tokoh ilmuwan yang menguasai bidangnya dengan mendalam. Namun begitu, tidak dapat dinafikan keadaan mahasiswa di sini yang tidak terdedah dengan realiti kehidupan masyarakat di Malaysia terkadang menyebabkan mereka leka dan tidak tahu menyesuaikan diri. Bahkan adakalanya, kelompok­-kelompok mahasiswa timur tengah tidak bersedia untuk mendepani mehnah dan tribulasi di tanah air sehingga ada yang hanyut dibawa arus gelombang modenisasi.

Mahasiswa ini juga kurang berpeluang untuk sama­-sama menyumbang masa dan tenaga turun padang bergaul dengan masyarakat Malaysia dalam usaha menyebarkan risalah dakwah. Tetapi menyedari hakikat ini, penulis sendiri berpendapat relung dakwah itu luas dan sebenarnya keadaan ini bukanlah satu kelompongan yang besar. Jika dilihat dari aspek lain, graduan timur tengah sebenarnya lebih berpeluang untuk menyumbang sumbangan yang lebih besar kepada ummat apabila pulang ke tanahair dengan penguasaan ilmu Islam yang ada.

Kepulangan mahasiswa timur tengah sebenarnya sangat dinanti-­nantikan kerana merekalah yang bakal menjadi ejen perubahan kelak. Tidak kira mahasiswa jurusan perubatan mahupun pengajian Islam, seharusnya mereka mengambil peluang yang ada untuk menggarap segala ilmu dan pengalaman dari bumi ini kerana sememangnya suatu masa dahulu perubahan dan peradaban manusia bermula dari Tanah Arab. Jika mereka yang berkelulusan Pengajian Islam diasuh untuk menjadi ulama’, bagi jurusan selainnya tanamlah tekad untuk menjadi golongan teknokrat yang benar-­benar merasai roh Islam yang sebenar.

Persiapkanlah diri dengan kefahaman­ Islam yang jelas dan terus membumikannya di dalam diri supaya ia menjadi bekal untuk dibawa pulang. Mulakan langkah membina sebuah negara rahmah di sini dengan saling bertukar­ pendapat, cakna dan terus bersungguh­-sungguh dalam memperdalam ilmu. Teruslah berdampingan dengan ulama’ kerana para ulama’ itu adalah pewaris para nabi.

Sikap Kita

Nilai dan usaha murni untuk mengaplikasikan syariat Islam dan pada masa yang sama memelihara keharmoniaan umum perlu untuk kita hargai. Bahkan inilah yang pernah dilakukan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW di saat baginda ingin membangunkan negara islam pertama, Madinah. Mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar seterusnya melakukan baiah antara penduduk Islam dan bukan Islam melalui Shahifatul Madinah. Sejarah ini turut mengajar kita cara bermuamalah dan berdakwah dengan mereka yang baru mengenali Islam. Syeikh Ramadhan Al-Buti dalam bukunya Fiqh Seerah turut menjelaskan bahawa sikap toleransi, lemah lembut dan sabar sangat dituntut di fasa ini. Islam sendiri menuntut umatnya untuk berhikmah dalam menyampaikan risalah Agung selaras dengan Firman Allah Taala :

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik…”(Surah annahl: 125)

Justeru bersiap siagalah! Jalan ini masih panjang. Untuk menegakkan syariah Islam di muka bumi memerlukan kesungguhan dan Himmah ‘Aaliyah dalam diri semua manusia. Bercita­citalah untuk melihat Islam kembali memayungi empayar dunia seperti mana suatu masa dahulu. Berusahalah untuk menjadi salah satu dari batu bata kepada binaan sebuah peradaban Islam dan sedarlah agama ini tidak memerlukan kita bahkan kita yang memerlukannya sesuai dengan firmanNya:

“Ingatlah, kamu adalah orang-­orang yang diajak mengifakkan (hartamu) di jalan Allah. Lalu di antara kamu ada orang yang kikir dan barangsiapa kikir maka sesungguhnya dia kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah lah yang maha Kaya dan kamulah yang membutuhkan karunianya. Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar), Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan (durhaka) seperti kamu.” (Surah Muhammad: 36)

Penulis adalah mahasiswi tahun akhir Fakulti Syariah pengkhususan Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Mu’tah Jordan. Beliau juga telah dilantik sebagai salah seorang penasihat bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu’tah Jordan (PERMATA) dan terlibat aktif sebagai aktivis Kelab IKRAM Jordan.