Isu Semasa

8 Nasihat Hari Ini Untuk Para Pendakwah

1. Islam tidak rasis, ekstrem & provokatif. Islam adalah sejahtera, harmoni, sederhana, toleran dan rahmatan lil a’lamin.

2. Ilmu Usul Fiqh ialah alat untuk faham maksud dan kehendak Tuhan. Fahami KEHENDAK ayat al-Quran. Realiti dan praktikal.

3. Fahami Fiqhul Waqi’ & Fiqh al-Ta’asyush (kewujudan bersama/co-existence) agar betul & TEPAT dalam menyampaikan solusi & padangan kepada masyarakat majmuk.

4. Islam memberi seluas-luasnya ruang untuk berfikir dalam hal ijtihadiy serta dibenarkan khilaf padanya. Maka, fahamilah apa itu hukum qat’ie dan zhannie. Ibadat & muamalat. Thawabit dan mutaghayyirat.

5. Sebagai pentadbir, fahamilah ilmu Siyasah Syar’iyyah. Beza antara tafrit & ifrat. Kenali Fiqh al-Maalat (cause & effect), kaedah tahqiq al-Manath dan khitob wad’ie.

6. Fahami kaedah istinbat hukum. Pada ilmu قواعد استنباط الأحكام dibahaskan dengan mendalam apa itu al-‘am dan al-khas, al-mantuq dan al-mafhum, al-mutlaq dan al-muqayyad, al-nas dan al-zahir, al-mushkil dan al-mujmal, al-‘ibarah al-isyarah al-nas dan al-iqtida’.

7. Bagi mengelak fitnah, adalah pentingnya Fiqh al-Maqasid ini dibicangkan agar hukum yang sahih lagi tepat dapat dibumikan pada keadaan (konteks) atau suasana yang juga sahih.

8. Adalah wajar pendakwah yang rasis, ekstrem dan provokatif di samping masyarakat pula tidak selamat daripada lidahnya apatahlagi sebagai Qudwah hasanah, untuk ditarik tauliahnya sebagai pengajaran. Daulat Tuanku.

Islam Rahmah bukan marah-marah.

Penulis :

Amir ‘Izzuddin Muhammad.

Mahasiswa

TIDAK LAGI RELEVAN! Mahasiswa Kuliah, Kamar & Kafe

Berikan aku 10 orang pemuda, akan aku goncangkan dunia (Soekarno)

Mahasiswa yang homo-islamicus

Universiti bukan kilang untuk melahirkan robot-robot dan hamba kepada sistem kapitalisma, tetapi universiti adalah institusi untuk melahirkan pemimpin yang bakal menjadi pimpinan negara pada masa akan datang dan memakmurkan bumi ini dengan pengislahan yang menyeluruh termasuklah politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Seorang mahasiswa Muslim yang benar-benar memahami peranannya sebagai seorang khalifah ialah seorang mahasiswa yang ada ciri homo-islamicus dalam dirinya. Mahasiswa yang menyedari bahawa dia adalah makhluk, diciptakan Allah sebagai khalifah dengan misi mengabdikan diri kepadaNya serta melakukan ‘imarah’ iaitu memakmurkan dan membangunkan dunia.

Atas misi inilah, mahasiswa harus sedar bahawa dibahu mereka ada satu tugas yang besar, iaitu tugas memakmurkan kampus, memacu perubahan melalui aktivisma yang dianjurkan oleh gerakan masing-masing, menjadi duta kepada islam dalam erti kata seorang penuntut diuniversiti atau sebagai mahasiswa. Dan golongan ini dihantar ke kampus untuk menjayakan misi keadilan, keamanan dan mengislahkan kampus supaya kampus tersebut menjadi sebuah kampus yang damai dan harmoni dengan sistem Islam.

Budaya Mahasiswa 3K harus dicantas!

Mahasiswa harus bangkit dan keluar dari budaya 3K. Hakikatnya masih ramai yang ‘terlena’ dalam ‘selimut’ masing-masing tanpa menghiraukan keadaan sekeliling di kampus mereka, yang mana kampus sangat memerlukan usaha mereka untuk melakukan pengislahan dan perubahan. Aktivisme yang ada masih belum cukup menyedarkan mahasiswa supaya aktif melibatkan diri, mereka masih selesa berada dikamar, memikirkan pointer masing-masing dan ada yang terleka melayani filem-filem Korea dan Hindi, permainan atas talian dan sebagainya.

Gerakan mahasiswa dikampus masing-masing harus bersiap sedia untuk memacu perubahan, memainkan peranan penting dalam mengubah cara fikir dan budaya hidup mahasiswa zaman kini kepada mahasiswa yang lebih aktif, proaktif dan prihatin. Sebagai sebuah organisasi yang mementingkan amal dan produktiviti, setiap aktiviti yang dijalankan oleh setiap gerakan mahasiswa mestilah memelihara kualiti dan perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh seperti mana seorang muslim itu memastikan kualiti amal peribadinya seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain.

Gerakan mahasiswa terutamanya gerakan Islamis dan individu mahasiswa di kampus juga harus mengambil inspirasi dari ayat Al-Quran dan membuat refleksi yang mendalam dalam erti kata untuk memacu perubahan diri dan memacu perubahan kampus masing-masing.

Antaranya, Ayat 1-3 Surah al-asr yang mana Allah menyebutkan sesungguhnya manusia di dalam kerugian, kecuali yang beriman dan beramal soleh dan memberi nasihat untuk kesabaran dan kebenaran.

Persoalannya disini, adakah gerakan mahasiswa atau individu mahasiswa di universiti telah menunaikan hak sebaiknya untuk berpesan-pesan kepada kesabaran dan kebenaran. Sejauh manakah amal soleh yang telah kita laksanakan di kampus masing-masing?

Seterusnya, Ayat 105 Surah Attaubah yang mana Allah menyebut: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang mukmin akan melihat amalan kamu itu dan kamu kembalikan kepada Allah yang mengetahui akan yang ghaib dan nyata, Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. Melalui ayat ini kita dapat simpulkan bahawa amal manakah yang telah kita semua jalankan sehingga Allah mampu memperlihatkannya di akhirat kelak?

Gagasan kampus harmoni yang memacu perubahan kampus!

“Begin with the end of mind”. 8 ciri ini menjadi destinasi kepada perjuangan gerakan mahasiswa.

1. Gaya hidup warga kampus yang sihat, mesra dan berakhlak.

2. Warga kampus bebas bersuara dan diiktiraf

3. Pentadbiran kampus yang cekap dan berkualiti

4. Pengamalan budaya politik nilai dalam pilihan raya kampus

5. Penyuburan budaya ilmu dan intelektualisme

6. Penghasilan mahasiswa berkualiti, berkepimpinan dan berdaya saing

7. Kampus selamat, berkebajikan dan mesra mahasiswa

8. Peranan siswa dalam isu masyarakat, negara dan antarabangsa diiktiraf

Gagasan ini bakal membuka mata semua masyarakat kampus untuk sama-sama berganding bahu dalam menjayakan satu projek mengharmonisasikan kampus dengan ciri yang disebutkan diatas seterusnya memacu perubahan kampus. Misi ini tidak mungkin dilaksanakan oleh hanya satu entiti mahasiswa, sebaliknya semua entiti mahasiswa harus berganding bahu bersama dalam menjayakannya.

Sesuatu perubahan tidak akan berlaku jika kita masih takut untuk melangkah. Jadi ayuh mahasiswa, kita sama-sama aturkan langkah memacu perubahan, tinggalkan budaya 3K yang masih menghantui hidup kita!

Ke arah melahirkan kampus yang harmoni dan mahasiswa yang produktif!

Isu Semasa

Apa Masalah Dengan Budaya Arab di Malaysia?

Budaya Arab Vs Budaya Melayu

“Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui dan Maha Teliti” (al-Hujuraat: 13)

Kita dapat memahami melalui ayat di atas bahawa Allah menciptakan bangsa Melayu, bangsa Arab dan sebagainya untuk kenal-mengenal antara satu sama lain. Dan ia sudah pasti untuk mengambil kebaikan dan manfaat dari budaya yang baik dan menghindari budaya yang tidak baik.

Baru-baru ini semakin banyak gesaan terhadap masyarakat Melayu untuk memelihara bahasa dan budaya mereka. Malah, terdapat cadangan untuk menggunakan istilah Melayu seperti ‘Hari Raya’ dan ‘buka puasa’ berbanding istilah Arab walaupun bermaksud sama seperti ‘Eid al-Fitr’ dan ‘iftar’.

Akan tetapi, menurut seorang tokoh ilmuan terkemuka negara, ajaran Islam tidak pernah menyuruh untuk mengamalkan kebudayaan Arab, kerana Islam bukan agama berbentuk perkauman Arab. Namun perlu disedari bahawa sebahagian perkataan Arab telah menjadi istilah yang dipakai dalam keilmuan Islam”

Hakikat Penyerapan unsur Bahasa Arab dalam Bahasa Melayu

Tidak ada bahasa di dalam dunia ini yang tidak dipengaruhi oleh bahasa asing. Sebagai bahasa yang pesat membangun dan berkembang, Bahasa Melayu telah banyak menerima pengaruh bahasa asing terutamanya dari Bahasa Arab dalam aspek kosa atau perbendaharaan kata.

Sistem tulisan Arab pada mulanya diserap ke dalam Bahasa Melayu untuk menghasilkan buku-buku agama terutamanya mengenai ibadat. Iaitu seperti mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa dan sebagainya.

Apabila Islam dianuti oleh golongan kerabat istana dan rakyat Melaka, peminjaman kata-kata Arab mula meresap masuk ke dalam Bahasa Melayu. Islam diletakkan sebagai asas pemerintahan semasa Melaka dibawah tampuk pemerintahan Sultan Muzafar Syah. Dan ia membawa kesan yang lebih besar iaitu pengaruh Bahasa Arab menular masuk dengan drastik dalam aspek keagamaan, pentadbiran dan keilmuan.

Antara perkataan Arab yang meresap masuk dalam Bahasa Melayu iaitu:

  1. Berkenaan agama: Islam, iman, rukun, wali, tauhid, syariah, syaitan, masjid dan sebagainya
  2. Berkenaan Ilmu: akal, nafsu, yakin, ikhlas, nasihat, hawa dan sebagainya.
  3. Berkenaan hukuman atau undang-undang: hukum, adil, zalim, wilayah, wakil, kadi dan sebagainya
  4. Adat dan pergaulan manusia: kaum, umat, tahniah, martabat, mastautin, darjat dan sebagainya
  5. Benda-benda, kejadian atau perbuatan: haiwan, wajah, maut, akhirat, rezeki, jenazah dan sebagainya

Maka, dari segi keilmuan, benarlah kata tokoh cendekiawan tersebut bahawa tiada salahnya menggunakan istilah Arab sebagaimana kita menerima istilah Inggeris kerana bahasa Arab tersebut amat hampir dengan maksud syarak dalam kerangka istilah keilmuan. Tokoh tersebut juga berpandangan bahawa Islam tidak memaksa umatnya untuk memakai jubah ataupun mensyariatkan Muslim mesti memakai jubah. Malah, tiada apa yang pelik kerana penggunaan jubah sendiri telah diiktiraf diperingkat global. Tambahan pula, jubah telah sekian lama menjelma sebagai pakaian sarjana. Pada hari ini pakaian ‘Arab’ tersebut telah ‘membaluti’ jutaan tubuh manusia tatkala hari graduasi di pelbagai universiti diseluruh dunia!

Mengapa pentingnya penilaian yang adil dalam isu budaya Arab vs Barat?

Penilaian yang adil sangat penting dalam hal ini supaya kita tidak berat sebelah dalam menilai sesuatu budaya dan meletakkan kritikan padanya. Tidak salah untuk kita mengkritik budaya yang tidak sesuai dengan identiti kemelayuan kita, tetapi kita harus juga ingat bahawa kita harus bersikap adil dan bukan meletakkan double-standard pada penilaian tersebut.

Kita berhak untuk tidak bersetuju terhadap budaya Arab atas hujah bahawa orang Melayu harus mempunyai jati diri Melayu. Namun kita harus ingat bahawa kita juga perlu meletakkan hal yang sama pada budaya Barat yang jauh lebih terpesong dan bertentangan dengan budaya Melayu, tidak kira dari sudut pemakaian, tingkah laku dan sebaginya. Kita harus adil dan kritis dalam menilai perkara ini.

Islam tidak pernah menyuruh Melayu menjadi Arab!

Tidak dinafikan, budaya Arab banyak tersebar dalam masyarakat Melayu pada hari ini. Dan kita lebih dekat dengan makanan Arab, restoran Arab membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, penggunaan istilah-istilah Arab yang meluas dan sebagainya. Tidak mengapa!

Islam sesekali tidak pernah menyuruh bangsa Melayu untuk menjadi bangsa Arab. Sebaliknya setiap manusia harus memelihara budaya yang baik dan menghindari yang buruk. Bak kata Prof. Tariq Ramadan, tiada satu pun budaya di dunia ini yang baik secara mutlak, hatta budaya Arab. Maka, semua budaya ada kebaikannya yang tersendiri serta kelemahan. Begitu juga dengan budaya Barat dan budaya Melayu, tidak buruk atau baik secara mutlak. Namun, syariat Islam itu sendiri menjadi kayu ukur yang akan memisahkan sama ada sesuatu itu baik atau buruk.

Bukan masalah jika kita tidak bersetuju dengan budaya Arab meskipun hakikat penyerapan budaya Arab ke dalam budaya dan Bahasa Melayu itu sendiri telah berlaku sejak berkurun lama sejak dari penggunaan tulisan jawi lagi yang diambil daripada tulisan Arab. Hari ini kita menumpang ‘tuah’ daripada Bahasa Arab kerana apabila Bahasa Melayu banyak mencerap istilah Arab, maka datuk nenek moyang kita serta masyarakat Melayu menjadi semakin mudah untuk beramal dengan ajaran Islam.

Isunya bukan pada bahasa, tetapi cara kita melihat isu menggunakan kaca mata yang tepat!

Mahasiswa

5 Tip Membudayakan Politik Nilai Dalam Pilihanraya Kampus Dari Kaca Mata Pelajar

Pilihanraya Kampus (PRK) adalah satu medan untuk mahasiswa membentuk ideologi mereka yang matang, menggerakkan ideologi itu dengan penuh hikmah dan menoktahkan perjuangan ideologi tersebut dengan satu pengislahan yang menyeluruh kepada masyarakat kampus khususnya, masyarakat umum amnya.

Pada tahun ini kita dapat lihat satu perubahan landskap politik kampus yang mana rata-rata mahasiswa mengharapkan hadirnya satu gelombang baru dalam kerangka membawa kampus menuju suasana yang harmoni, tidak terdidik dengan suasana agresif, meraikan kepelbagaian kelompok, bersikap progresif dan lebih matang dalam apa jua tindakan dan sebagainya.

Politik Nilai, Adakah Sekadar Angan-Angan?

Menyebut tentang pengamalan budaya politik nilai dalam pilihanraya, suka untuk saya sebutkan bahawa mahasiswa lebih cenderung untuk melihat suasana politik yang berasaskan nilai, jauh dari unsur-unsur yang tidak sihat, pembunuhan karakter, fitnah-memfitnah dan sebagainya.

Jika perkara ini berterusan ia akan memberi kesan yang lebih besar iaitu menatijahkan kemualan kepada sesetengah kelompok mahasiswa untuk bersama dalam proses demokrasi pilihanraya kampus dan menyebabkan peratusan yang turun mengundi menurun dan perkara ini seterusnya menyebabkan budaya tidak berpartisipasi dalam pilihanraya kampus lebih berterusan dan berleluasa.

Politik nilai adalah satu budaya politik baru yang wajar diketengahkan dan difokuskan dalam Pilihanraya Kampus. Ia mengajar kita untuk berpolitik secara berhujah, berdasarkan merit, bukannya politik yang jatuh menjatuh mahupun pembunuhan karakter.

Mahasiswa universiti juga tidak berminat dengan cara perebutan kuasa antara mana-mana kelompok mahasiswa yang bertanding, bahkan apa yang mereka harapkan ialah sejauh manakah calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya itu mampu menjadi suara mereka dalam apa jua perjuangan dan masalah yang dihadapi.

Politik nilai juga membawa mahasiswa supaya lebih fokus untuk menabur khidmat yang terbaik kepada masyarakat kampus, termasuklah isu-isu kewangan yang berlaku dalam kalangan siswa seperti contoh kesempitan kewangan, gagal membayar yuran pengajian dan sebagainya.

Seterusnya, isu golongan mahasiswa OKU di universiti dan kebajikan-kebajikan lain seperti menganjurkan program Free Ride, Food For Siswa atau Suspended Meal dan lain lagi. Sesiapa sahaja yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, maka dialah yang layak untuk diundi, tidak kiralah datang dari kelompok mana sekalipun.

Selain itu, mahasiswa perlu matang dalam memilih pemimpin mereka, meletakkan asas dan prinsip yang betul, bukannya memilih disebabkan mengikut rakan sekelas, memilih berdasarkan wajah dan sebagainya. Mahasiswa yang juga bergelar insan minda kelas pertama haruslah bijaksana dalam meletakkan kriteria calon yang dipilih.

Pilihlah calon yang mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus, bertindak bijak dalam apa jua keadaan, tidak agresif sebaliknya professional, mampu untuk kekal atas prinsip membawa keadilan dan rahmah untuk semua, beramanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul dan yang paling penting adalah ‘qawiyyul amin’ seperti yang disebutkan di dalam Al-quran.

Bagaimana Membudayakan Politik Nilai Dalam Kempen PRK?

Kelompok mahasiswa tidak kira daripada persatuan mahasiswa mana sekalipun perlu berusaha membumikan politik nilai terutamanya dalam kempen pilihanraya masing-masing.

Calon yang bertanding dan jentera yang menggerakkan pilihanraya seharusnya mengamalkan politik yang murni, bersaing dengan sihat, meraikan perbezaan dan mengamalkan politik nilai dan matang.

Terdapat 5 tip membudayakan politik nilai semasa kempen PRK. Antaranya:

1. Buku Manifesto

Pertama, menghasilkan buku manifesto secara terperinci oleh calon. Elemen penting yang perlu ada dalam buku tersebut ialah pertama, apa yang ingin diperjuangkan, kedua mengapa memperjuangkan perkara tersebut dan ketiga bila untuk realisasikannya.

3 elemen ini penting dan menjadi bukti bahawa calon tersebut bersedia untuk di ‘check and balance’ oleh persatuan lain dan juga mengamalkan budaya transparen dalam kempen masing-masing.

Buku manifesto tersebut boleh diedarkan kepada mahasiswa di universiti agar mereka tahu apa yang ingin dibawa dan diperjuangkan oleh calon dan mereka mampu memilih dengan baik berdasarkan merit dan khidmat yang ingin ditawarkan oleh calon tersebut selepas memenangi pilihanraya nanti.

2. Debat Manifesto

Kedua, menganjurkan atau menyertai debat manifesto atau rapat umum. Sebagai persatuan mahasiswa haruslah menyediakan platform untuk debat manifesto antara calon yang bakal bertanding dan menyeru ahli persatuan masing-masing untuk turut bersama dalam penganjuran berkenaan.

Penganjuran debat atau rapat umum ini penting bagi memastikan calon tersebut boleh membentangkan dan menghujahkan apa yang ingin diperjuangkan untuk kebajikan mahasiswa keseluruhannya.

Mahasiswa juga haruslah menyertai debat atau rapat umum ini untuk menilai, menimbangtara dan mempersoal apa yang diperjuangkan oleh calon seterusnya mereka dapat memilih yang paling berkredibiliti dan layak untuk diundi.

3. Disiplin Calon Dan Jentera

Ketiga, calon hendaklah mendisiplinkan jentera masing-masing semasa kempen berlangsung. Calon haruslah menentang penyokong mereka yang melakukan perbuatan yang boleh mengancam persatuan lain seperti contoh memburukkan pihak lain dan sebagainya.

Ini akan menguji calon tersebut samaada mampu atau tidak menguruskan jentera terlebih dahulu, sebelum memimpin warga kampus yang lebih besar dan kompleks. Calon seharusnya memberikan amanat kepada jentera supaya dapat berkempen dengan matang dan harmoni.

Jentera seharusnya membawa inspirasi yang sama yang ingin diperjuangkan oleh calon sebagai contoh jentera mampu untuk menerangkan manifesto calon jika calon tiada di ‘booth’ atau tempat berkempen.

4. Sifat Negatif

Keempat, tidak melontarkan fitnah dan melakukan pembunuhan karakter dan mengurangkan konfrontasi antara satu sama lain. Calon dan juga penyokong seharusnya menjauhi perbuatan keji ini dan tidak sewenang-wenangnya menimbulkan sesuatu yang boleh menyemarakkan api permusuhan dan perbalahan.

Cybertrooper masing-masing juga perlu menjauhi perbuatan yang kurang beradab terhadap pihak yang lain. Mahasiswa seharusnya matang dalam menangani kepelbagaian dan berusaha semampu mungkin untuk menunjukkan akhlak yang baik sepanjang kempen berlangsung.

5. Meja Bulat

Kelima, menganjurkan sesi meja bulat atau diskusi bersama persatuan mahasiswa merentasi kaum dan agama di universiti masing-masing sebagai platform dan keterbukaan untuk membincangkan halatuju masing-masing terutamanya berkaitan pilihanraya kampus termasuklah bersama golongan mahasiswa OKU dan sebagainya.

Semua persatuan mahasiswa mempunyai ideologi tersendiri dan seharusnya berganding bahu dalam perkara yang disepakati bersama demi pembawakan politik nilai dalam kampus masing-masing.

Selamat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan selamat menempuh Pilihanraya Kampus 2016 kepada semua mahasiswa Malaysia.

Semoga calon yang memenangi pilihanraya kali ini mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus dan bertindak amanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul tidak lama lagi. Bersama kita menyokong budaya politik nilai, matang dan berkebajikan demi melahirkan sebuah kampus yang harmoni.

Selamat memilih! Menuju kampus harmoni!

Ibrah

Belajar Dari Kesabaran Rama-Rama

Kehidupan seorang manusia pastinya tidak akan terlepas dari melalui proses perubahan. Tetapi, yang menjadi titik muhasabah kita bersama adalah apakah perubahan yang dibuat itu benar-benar menghasilkan kesan yang kekal dan berpanjangan.

Jika perubahan positif yang dibuat hari ini hanya mampu bertahan seketika, maka perlulah untuk kita koreksi dan intropeksi diri kembali adakah benar cara kita mengubah diri.

Perubahan memerlukan pengorbanan

no pain, no gain

Kita selalu disebutkan dengan kata-kata ini di saat kita lelah dalam melakukan sesuatu. Bahkan dalam jihad menuntut ilmu sendiri, Imam As-Shafie pernah berkata ,

 jika kamu tidak tahan menanggung lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya sebuah kebodohan

Keluar dari zon selesa merupakan satu pengorbanan yang berat dan susah. Mudah untuk kita ucapkan tetapi susah untuk dilaksanakan.

Belajarlah dengan sang ulat beluncas. Haiwan ini sebenarnya mengajarkan kita bahawa untuk berubah ke arah yang lebih baik memerlukan pengorbanan dan semangat yang kental.

Sang ulat yang ingin berubah menjadi seekor rama-rama yang cantik perlu meninggalkan masa-masa lazatnya menikmati dedaun hijau. Saat ia memilih untuk menjadi seekor rama-rama, ulat ini harus bertukar menjadi kepompong.

Dalam tempoh inilah, ulat mengajar kita erti tawakal pada tuhan dalam melakukan sebuah perubahan, kerana ia tidak tahu apa nasib yang ditakdirkan untuknya dalam tempoh itu.

Siang dan malam silih berganti, tiba masanya untuk sang ulat keluar dari kepompong dan bertukar menjadi sang rama-rama yang cantik warnanya.

Pengorbanan perlu juga dilakukan. Sang ulat tadi harus keluar dari keselesaan berada di dalam kepompong untuk mencapai cita-cita yang diimpikan. Dan begitulah seharusnya manusia.

Pengorbanan demi sebuah perubahan pastinya menatijahkan sesuatu yang bermakna, dengan syarat semuanya kerana Allah.

Perubahan ada tahapannya

Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam …(ali-imran : 28 )

Kerap kali kita membaca ayat-ayat al-quran yang menyebut tentang peredaran siang dan malam. Namun, jarang sekali pula untuk kita mentadabbur hikmah di sebalik kejadiannya untuk diamalkan dalam kehidupan kita.

Perubahan dari siang kepada malam dan dari malam kepada siang memberi kita satu petanda bahawa perubahan itu perlulah bertahap dan berperingkat-peringkat. Datangnya siang dimulakan dengan hadirnya cahaya sedikit demi sedikit bermula saat fajar menyinsing. Begitu jugalah datangnya malam.

Cahaya itu hilang sedikit demi sedikit bermula saat gelincirnya matahari pada waktu zohor sehingga terbenamnya ia pada waktu maghrib.

Semua ini menunjukkan kekuasaan dan hikmahnya Allah dalam mencipta. Allah tahu akan tabiat hidup manusia. Kejadian siang dan malam begini adalah untuk disesuaikan dengan fitrah semula jadi manusia supaya kita dapat menjalani kehidupan ini dengan selesa dan aman.

Kita juga tidak akan terkejut dengan siang yang datang jika cahaya dari matahari itu perlahan-lahan menyinari alam.

Begitulah juga perubahan yang seharusnya manusia lakukan. Kadang kala perubahan yang begitu drastik hanya bersifat sementara.

Bahkan dalam banyak keadaan, memaksa sesuatu perubahan ke dalam diri boleh menyebabkan kita mudah putus asa dan lelah saat diuji.

Islam sendiri hadir dalam hidup masyarakat arab dahulu secara berperingkat, bermula dengan menanam keyakinan akan tauhid kepada Allah hinggalah turunnya perintah untuk melaksanakan syariat Islam.

Mengapa kita ingin berubah?

Dalam setiap keputusan yang diambil, tanyakan kembali pada diri mengapa kita lakukan sedemikian. Kenapa sebenarnya kita ingin berubah kepada seorang muslim dan manusia yang lebih baik?

Adakah kerana Allah atau kerana manusia. Nabi Muhammad sendiri mengingatkan kita tentang pentingnya niat dalam setiap amal perbuatan.

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab radhiallahuanhu, dia berkata,

Saya mendengar Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya  karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan. (sahih bukhari muslim)

Persoalkan dalam diri selalu, dalam setiap gerak laku tentang niat dan sebab kita lakukan sesuatu. Ingatlah gagalnya kita dihujungnya mungkin kerana rosaknya langkah pertama.

Letakkan juga garis akhir dan target dalam perubahan yang dibuat supaya menajdi pembakar semangat saat kita mula rasa goyah. Jika sudah berazam maka bertawakkal lah. Teruskan berdoa moga langkah-langkah yang diambil terus didorong oleh hidayah dan petunjukNya.

Penulis :

Nusaibah Mohamad

Penulis Pena Syariah

Wanita

Sambutan Hijab Sedunia

1 Februari menjelang kembali, menjadi hari yang begitu signifikan buat seluruh wanita berhijab di dunia ini untuk bersama-sama menyebarkan falsafah Nazma Khan tentang hijab di mata masyarakat awam tidak kira beragama apa mahupun berbangsa mana di mana beliau mendatangkan idea ini sebagai satu cara untuk memupuk toleransi dan pemahaman agama dengan menjemput wanita tidak hijabis Islam atau bukan Islam untuk mengalami hijab untuk satu hari. Konsep berhijab yang dulu sering dipandang serong oleh masyarakat kini, sudah sedikit demi sedikit dapat ditangkis dengan memberi pendedahan mengenainya melalui kempen sebegini. Malahan ianya juga sebagai salah satu modus operandi wanita muslim untuk membuka mata pihak berkuasa tentang kebenaran bebas berhijab di negara mereka sendiri.

Prof. Madya Dr. Tuba Isik

Namun ada sesetengah pihak yang berpandangan bahawa wanita-wanita yang bangkit menuntut hak berhijab ini sebenarnya membawa imej feminisme. Di German misalannya, seorang aktivis wanita Jerman yang juga merupakan Presiden Muslim Women Society , Prof. Madya Dr. Tuba Isik merupakan antara wanita yang berani dan lantang dengan pihak berkuasa demi menuntut pemakaian berhijab bagi wanita muslim di sana. Namun akibat tindakan beliau ini, beliau telah dilabel sebagai “feminist” oleh beberapa pihak di sana.

The Creation of Partriarchy karya Gerda Lerner

Menurut Gerda Lerner di dalam bukunya The Creation of Partriarchy, beliau mendefiniskan feminisme sebagai sebuah doktrin yang menyokong hak-hak sosial dan politik yang setara bagi perempuan, beliau juga menambah bahawa feminisme juga bermaksud sebuah gerakan yang peduli dengan kesamarataan antara perempuan dengan lelaki dalam semua aspek masyarakat. Antara contoh yang kita boleh ambil, mereka ini menuntut agar apa yang telah terkandung dalam hukum syariat seperti contohnya dalam pembahagian harta pusaka, itu perlu sama rata antara lelaki dan perempuan. Ini jauh sekali berbeza dengan perjuangan feminisme wanita yang berlandaskan syariat di mana mereka ini menuntut keadilan bagi wanita terhadap sesuatu hak yang sepatutnya diperolehi oleh mereka seperti dalam isu pemakaian berhijab. Hal ini kerana pemakaian berhijab ini sememangnya hak seorang wanita muslim yang bukan sahaja dituntut atas dasar untuk memenuhi tuntutan agama, malahan juga sebagai melindungi diri sendiri daripada segala perkara buruk yang tidak diingini ibarat topi keledar yang berfungsi menjaga dan memelihara si pemakainya.

Di dalam Islam, kita sama sekali tidak menghalang wanita menuntut hak terhadap sesuatu perkara yang sepatutnya dituntut oleh mereka. Islam tidak pernah menyekat wanita untuk bersuara melahirkan suara hati mereka sendiri. Perkara ini ada tertera di dalam Kitabullah, Surah Al-Mujadilah di mana seorang wanita yang telah dizihar oleh suaminya tampil berjumpa sendiri dengan Nabi Muhammad S.A.W untuk mendapakan penjelasan tentang keadaanya. Islam hanya menghalang jika seorang wanita itu menuntut kesamarataan dengan kaum lelaki. Maka sudah terang lagi bersuluh tindakan sesetengah wanita feminisme yang bersyariat seperti Prof Dr Tuba Isik mahupun Nazma Khan sendiri dalam bersuara menuntut perjuangan hak berhijab ini bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya tuntutan hak wanita bukan hak kesamarataan antara wanita dan lelaki. Justeru, adakah layak perjuangan keadilan terhadap wanita digelar untuk menyebarkan agenda feminisme?

Maka, Sambutan Hijab Sedunia ini bukanlah salah satu propaganda untuk menyebarkan agenda Feminisme. Tetapi ia adalah satu sambutan untuk meraikan wanita muslim khususnya dalam pemakaian hijab atau dikenali sebagai tudung mahupun kerudung di kalangan masyarakat awam. Justeru, andai anda yang sedang membaca ialah seorang wanita muslim, maka ayuh bersama-sama kita berganding bahu menunjuk tanda sokongan terhadap hari hijab sedunia ini, dan seandainya juga anda yang sedang membaca merupakan mana-mana wanita non-muslim, maka ayuh bersama-sama dengan kami mendalami dan memahami lagi isu-isu kewanitaan agar kita menjadi wanita unggul di alam siber kini yang bijak bersuara bukan terbabas bicaranya dan akhirnya mampu untuk menjadi pencetus kebaikan buat seluruh kaum wanita di dunia ini juga yang terakhir, jika anda yang membaca ialah seorang lelaki, ayuh bersama kami juga untuk saling bantu-membantu dalam kebaikan demi kesejahteraan dunia dan seisinya.

Rujukan :

World Hijab Day

Lerner, Gerda, The Creation of Patriarchy, Oxford University Press, New York, 1986.

PENULIS:

Asma Hamizah Bt Mohamad Ghazali

Penulis Pena Syariah

Pelajar tahun 3, Pengajian Akidah dan Agama (Theology and Comparative Studies)

Aktivis dakwah dalam masyarakat majmuk IKRAM Siswa USIM Nilai.